Khamis, 25 Jun 2009

Berfikir dan mencuba

Hujung minggu lalu saya berserta 10 orang guru dan 30 orang murid berkampung di SK Rantau Petronas, Kerteh, Terengganu menyertai Karnival bersama badan beruniform sekolah. Sesuatu yang luar biasa, tapi hebat dan memberi impak yang baik kepada kedua-dua sekolah dan negeri, kata pegawai wakil PPD Kemaman. Terima kasih Pn Khadijah, GB SKRP, En. Alias Othman, PKKO, yang juga macam saudara saya yang banyak memberi nasihat ketika sama-sama jadi mahasiTUA di UPSI serta semua guru, staf dan murid SKRP yang memberikan yang terbaik kepada kami satu rombongan. Walaupun keletihan, saya yakin guru-guru dan murid-murid yang menyertainya memperolehi pengalaman dan ilmu berguna dalam belajar dan mengajar.

Dalam setiap aktiviti atau apa saja yang dilaksanakan di sekolah, sebagai guru, kita harus memberikan yang terbaik. Guru, segala-galanya bagi seorang murid dan kanak-kanak. Justeru, kita di beri kepercayaan dan tanggungjawab untuk mendidik dengan ilmu yang terbaik. Pada kanak-kanak, gurulah segalanya, serba boleh dan serba tahu. Alasan untuk menidakkan tanggungjawab dan tidak memberikan ilmu pengetahuan yang terbaik kepada kanak-kanak, bermakna kita bukanlah guru yang tulen. Guru seharusnya tahu dan mampu berada di mana saja sebagai fesi atau jurulatih kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Guru mengganti tanggugjawab ibu bapa ( in loco perentis ), dalam terma undang-undang. Ini bererti besarnya tanggungjawab guru sehingga boleh didakwa jika didapati cuai menjalankan tanggungjawab. Kalau dulu kecuaian hanya ditafsir akibat daripada kemalangan, tetapi hari ini, kegagalan murid menguasai pelajaran juga boleh mengakibatkan guru didakwa sebagai cuai.

Untuk menjadikan kita serba boleh, dan berada satu tahap lebih baik daripada orang lain (outstanding), amalan berfikir dan mencuba adalah satu kaedah yang paling baik. Orang berkata, seseorang yang suka berfikir diluar kotak fikirannya, selalunya akan menghasilkan kerja yang lebih baik daripada orang lain dan tidak konvensional. Dengan kata lain, guru mesti kreatif dan berfikir di luar daripada kebiasaannya dan mencuba untuk menghasilkan kerja yang keluar juga daripada kebiasaannya. Cuba untuk membangkitkan rasa tidak puas hati setiap kali kita menyiapkan sesuatu kerja dan cuba berfikir untuk mengubahnya supaya dilihat menunjukkan ada perubahan dalam hasil kerja kita. Tidak stereotype dan merupakan sesuatu ciptaan yang baru. Pada saya ianya bukanlah sesuatu amalan yang sukar, hanya berfikir sedikit dan mengubahnya sedikit. Untuk menghasilkan tugasan yang lebih baik, hasil daripada berfikir dan mengubah tadi, kita juga harus menokok tambah dengan ilmu berkaitan apa yang kita buat. Setiap perkara ada hukumnya, dan kita tidak boleh syok sendiri mengatakan hasil kerja kita sudah bagus. Untuk mendapatkan ilmu ini, biasalah, dengan membaca atau merujuk sebanyak mungkin maklumat yang ada dari pelbagai sumber.

Halangan besar dalam diri guru-guru kita hari ini adalah malas untuk berfikir dan mencuba, wapun sedikit. Sehingga perkara-perkara kecil yang tidak sepatutnya silap, sudah menjadi kebiasaan dan sudah dianggap betul. Jika ada orang lain yang menegur kesilapan ini, kata mereka kita cerewet dan serba tak kena. Saya pernah mendengar cerita bagaimana swasta menguruskan sumber tenaga mereka. Staf yang tidak berubah dianggap tidak lagi produktif dan dicadangkan untuk berhenti. Dalam soal ini, di sekolah, seharusnya kita mempunyai kayu ukur produktiviti seseorang mengikut bidang tanggungjawbnya serta keperluan asas kebolehan dan kemahiran seorang guru. Guru yang dianggap tidak produktif dicadangkan untuk hadir berkursus atau menyertai latihan tertentu. Jika ini berlaku, saya yakin sekolah akan menjdi pusat mendidik yang sangat baik dan profesional.

Rabu, 17 Jun 2009

Persediaan ke SK Rantau Petronas

Hari ini, hari terakhir membuat persiapan untuk menyertai Karnival Badan Beruniform antara SK Tunku Ismail, Kedah dengan SK Rantau Petronas, Terengganu. Pagi esok kami akan bertolak satu bas dengan 30 orang murid dan 10 guru. Serampang 2 mata, itulah matlamat kami. Menyertai perkhemahan badan beruniform secara bersama dan membuat banchmarking. SK Rantau Petronas, antara sekolah terbaik di Terengganu. Kebetulan GB Pn. Khatijah dan PKKO En. Alias Othman adalah rakan saya ketika kami sama2 sambung belajar di UPSI.

Walaupun menggunakan kos yang agak tinggi, tetapi saya lebih positif kepada hasil yang akan kami capai. Murid-murid yang menyertai perkhemahan bersama ini adalah merupakan barisan pemimpin pasukan beruniform sekolah yang diharapkan akan menimba banyak ilmu dalam program menarik ini. Begitu juga 10 orang guru yang saya bawa bukanlah hanya untuk bersantai atau melancong, tetapi mereka ditugaskan untuk membuat banchmarking apa yang baik di SK Rantau Petronas untuk dijadikan sumber idea bagi membawa perubahan di sekolah sendiri.

Aktiviti luar sekolah khususnya perkhemahan, pada saya seharusnya memberi peluang untuk pelajar bergerak keluar dari sekolah dan merakamkan sebanyak mungkin pengalaman dan pembelajaran yang tidak diperolehi di dalam bilik darjah. Bermula dari menaiki tangga bas, mereka sudah mula belajar berdikari berpisah dari ayah bonda buat seketika dengan dibantu guru-guru sebagai fesi dan penasihat untuk mengharung pengalaman yang mungkin belum pernah mereka alami. Justeru, peluang seharusnya diberi seluas-luasnya kepada para pelajar dan guru untuk menimba pengalaman yang pelbagai di luar sekolah.

Saya merakamkan ucapan terima kasih, atas bantuan dan sokongan banyak pihak dalam usaha menjayakan program ini, terutama Guru Besar dan PKKO SK Rantau Petronas, PIBG, Ibu bapa serta para penyumbang. Sesungguhnya usaha dan sokongan begini akan memberikan banyak kelebihan kepada guru dan murid bukan saja membangunkan personaliti mereka tetapi juga dunia pendidikan negara.

Jumaat, 12 Jun 2009

Perjalanan singkat

Sejak selasa lalu, saya mengambil kesempatan membawa anak2 (yang kecil2) pulang ke kampung. Biasa, bila cuti sekolah, inilah kesempatan melayan anak2 untuk bersantai bertemu saudara mara yang tidak kurang besarnya. Kebetulan saya masih ada ayah yang berumur sudah menjangkau seratus tahun, jadi keluarga besar kami tersebar hampir seluruh Kelantan. Tapi malangnya perhubungan agak terbatas dek kedaifan hidup dan tinggal pada jarak yang agak jauh. Wbagaimanapun, saya sentiasa mengambil ksempatan untuk berkunjung, maklumlah, saya antara yang merantau ke negeri orang.
Selain ketemu sanak saudara, perjalanan jauh ini memberi kesempatan untuk saya ketemu sahabat-sahabat lama yang membongkar segala nolstagia ketika kanak-kanak dan remaja. Masing-masing dengan haluan hidup yang pelbagai. Tengah hari ini ketika selesai solat jumaat saya berkesempatan ketemu rakan2 ketika remaja. Bila melihat mereka, ternyata kami semua sudah pada alam yang tersendiri dengan pelbagai gelagat hidup. Ada yang kelihatan jauh lebih berumur daripada saya atau yang sepatutnya. Inilah kehidupan dengan bahana apa yang dilalui sepanjang menikmati hidup yang singkat ini. Wpun tidak berpeluang berbual panjang, tetapi daripada riaksi mereka, saya dapat membayangkan peranan masing-masing dalam kehidupan ini. Ada yang telah menjadi Imam besar masjid, ada yang telah menjadi taukeh dan ada yang masih terkial-kial mencari haluan yang lebih baik.
Perjalanan singkat ini juga memberi peluang kepada saya mendapatkan maklumat tentang perjalanan pendidikan di kelantan. Wpun mengamalkan dasar yang sama KPM, tetapi drp apa yang saya dengar terdapat pelbagai isu yang pada saya sangat menyedihkan, khususnya pada peringkat kepimpinan tertinggi pendidikan negeri. Jika diambil kira dengan apa yang berlaku pada peringkat sekolah, pada pendapat saya, pendidikan di kelantan sedang mengalami zaman yang mengecewakan. Mungkin tidak banyak mempengaruhi pencapaian pelajar, tetapi kesan kepada seluruh warga pendidikan rasanya kurang menyenangkan.
Saya sempat berkunjung ke daerah Setiu, Terengganu kerana membawa anak-anak yang sudah lama mengidam untuk mandi pantai. Alhamdulilah, kami rasa sangat seronok ketika bersantai di pantai penarik. Pantai yang bersih dan selamat untuk mmandi manda bersama anak-anak. Sekarang ini di kelantan sudah tidak ada lagi pantai yang bersih. Dari pemerhatian saya, ada sesuatu yang sangat bernilai di sepanjang pantai negeri Terengganu yang sepatutnya di teroka sebagai sumber pelancongan negara. Tetapi, siapalah kita untuk melihat perkara itu lebih jauh.

Ahad, 7 Jun 2009

Pentingnya ilmu kejurulatihan

Petang semalam saya mengambil kesempatan hadir untuk memberi sokongan kepada 2 pelajar saya Mohd Amir Adli dan Mohd Nor Faiz yang mewakili negeri Kedah dalam pertandingan akhir bola baling bawah 12 tahun MSSM di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Walaupun sedikit kecewa kerana tewas dan mendapat naib johan, tetapi tahniah diucapkan kepada mereka berdua serta guru-guru yang memberi bimbingan selama ini. Setakad ini, 3 orang pelajar SKTI sudah menggengam pingat perak pada peringkat MSSM (Kebangsaan). Ini satu pencapaian terbaik sekolah dalam bidang sukan dan kokurikulum. Semoga ini adalah satu permulaan kepada kegemilangan seterusnya sesuai dengan matlamat Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang menjurus kepada pencapaian murid secara holistik.
Satu perkara yang menjadi perhatian saya ketika menonton pertandingan akhir ini ialah, betapa guru yang diberi peranan sebagai jurulatih perlu mempunyai ilmu dan kebolehan dalam bidang kejurulatihan. Wpun tidak mempunyai sijil rasmi, tetapi kebolehan memahami dan membaca kebolehan pemain serta situasi pertandingan sangat penting dan amat diperlukan terutama di dalam perlawanan genting. Secara keseluruhan saya lihat pasukan Kedah dan lawannya pasukan Selangor adalah seimbang, sehingga mereka dalam keadaan sentiasa rapat dalam jaringan gol. Kedah lebih banyak mendahului dan dilihat akan memenangi perlawanan. Tetapi inilah yang dikatakan kebolehan dan kebijaksanaan jurulatih yang memain peranan menggerakkan pemain pada waktu puncak dan tepat pada masanya. Kebetulan saya duduk di belakang kontinjen pasukan Selangor, sempat saya memerhatikan bagaimana jurulatihnya memain peranan sehingga pasukan selangor berjaya mengalahkan kedah dengan jaringan hanya 11-10. Inilah bezanya yang saya lihat antara dua pasukan ini, kebolehan dan kepakaran jurulatih. Walaupun pada peringkat sekolah, guru-guru harus mengambil kesempatan untuk mendalami ilmu kejurulatihan serta sains sukan untuk memastikan tanggungjawab yang diamanahkan berjaya direalisasikan.

Sabtu, 6 Jun 2009

Tiba2 jadi malas menulis

Sudah lebih 2 minggu saya tidak menulis di blog ni. Minat untuk menulis seperti diragut tiba-tiba. Wpun banyak idea dan pengalaman dilalui tapi, hasrat untuk meluahkan perasaan di sini, jadi kaku. Sebenarnya idea untuk menulis banyak bergantung kepada hati dan perasaan, bukan boleh dipaksa. Mood saya untuk menulis mungkin juga terbantut oleh gangguan hati dan perasaan. Terfikir dan terasa oleh saya, mungkin ada pembaca mengatakan saya mengada-ngada atau mcm2 lagi dengan hak mereka untuk mengatakan apa saja. Perasaan itu tiba-tiba menghilangkan minat saya untuk menulis dan merakamkan pengalaman sebagai bahan perbincangan dan cermin diri. Dalam penulisan, penulis mengambil pendekatan dan style yang pelbagai sesuai dengan minat, pengalaman dan cita rasa hati mereka. Mungkin penulisan saya banyak berkisar kepada hal-hal pengurusan pendidikan dan keinginan untuk mengajak para pembaca mengemukakan pandangan yang baik tentang isu yang saya tulis. Tapi saya tahu dan sedar semua orang mempunyai hak dan citarasa tersendiri untuk memberi respon.

Sejak kebelakangan ini banyak diskusi telah dibuat tentang kebebasan menulis di blog (bloger). Saya tertarik kepada beberapa pandangan tentang betapa blog boleh memain peranan yang sangat baik untuk dijadikan medan berdiskusi secara lebih ilmiah. Namun kebanyakan penulisan blog lebih menjurus kepada hal-hal yang lebih peribadi dan santai sebagai tempat menghilangkan tekanan. Inipun ada baiknya. Saya sangat tertarik dengan rakan2 bloger yang begitu baik penulisannya sehingga mampu mencetuskan perkembangan minda yang baik kepada para pembaca. Semoga saya juga terus berminat untuk menulis.