Sabtu, 17 Oktober 2009

Sungai Petani yang semakin berkembang maju

Hampir 10 tahun saya berkelana di Sungai Petani Kedah, sebuah bandar di utara tanah air yang sedang berkembang maju. Ketika awal penghijrahan saya dan keluarga ke Sungai Petani (2000), rasa sedikit kaku, maklumlah 18 tahun saya membina kehidupan dengan pelbagai rintangan di bandaraya Kuala Lumpur. Namun hari ini, kehidupan di Sungai Petani sudah banyak berubah dan apa yang ada di Kuala Lumpur, jika tidak samapun, boleh dikatakan ada juga di Sungai Petani. Pendek kata, jika pertama kali sampai di Sungai Petani, dan jika nak mencari rumah saudara mara, pastinya perlukan panduan yang jelas. Jika tidak, berpusing-pusinglah di Sungai Petani yang sedang berkembang kepada beberapa bahagian bandar. Saya masih ingat ketika saya mula2 menjejakkan kaki ke bandar Sungai Petani untuk menikahi seorang gadis di pekan Tikam Batu, pada sekitar 1986, bandar Sungai Petani masih tidak ada lampu isyarat pun. Tetapi hari ini bandar Sungai Petani merupakan bandar lampu isyarat. Pergerakan anda di jalan utama (utara-selatan) pastinya membosankan dengan jumlah lampu isyarat yang begitu banyak. Namun demikian, sekarang ini bandar Sungai Petani telah dilengkapi jalan lencong timur dan barat yang tidak memerlukan anda melalui pusat bandar yang sibuk dan berlampu isyarat itu.

Minggu lepas, penduduk Sungai Petani, dikejutkan lagi dengan pembukaan Pasaraya Besar Tesco Sungai Petani Selatan, iaitu pasaraya Tesco yang kedua di Sungai Petani, selepas pasaraya Tesco Sungai Petani Utara. Jadi, bayangkan perkembangan pesat ini. Pembangunan perumahan tidak terkira banyaknya sehingga wujud bandar2 kecil seperti Taman Sejati, Lagenda Hieght, Ambangan Hieght, Bandar Laguna Merbok dan sebagainya. Dari segi pendidikan, Bandar Sungai Petani mempunyai beberapa pusat Pengajian Tinggi seperti, UiTM, Open Universiti, AIMST Universiti, Institut Kemahiran Mara dan lain-lain. Industri Perhotelan juga berkembang pesat, dari yang kecil sehinggalah ke taraf 4 bintang. Jadi, jika anda berkunjung ke Sungai Petani, anda tidak perlu risau di mana untuk menginap, menjamu selera, membeli-belah dan bersantai. Pendek kata, Sungai Petani hidup 24jam dan anda boleh menjamu selera wpun anda tiba dinihari. Selamat Datang.

Khamis, 15 Oktober 2009

Hak murid-murid di sekolah

Pagi2 lagi anak murid kita yang sesetengahnya liat bagun tidur itu, sampai juga di sekolah sebagai memenuhi tanggungjawab untuk belajar sebanyak mungkin ilmu bagi membina diri bekalan hidup masa depan. Saya kagum dengan kesungguhan kanak-kanak untuk berada di sekolah sepanjang hari untuk menghadapi pelbagai aktiviti dan kerenah guru-guru. Wpun di dalam hati, kadang-kadang berat untuk hadir dek pelbagai tekanan dan tiada daya penarik di sekolah, tetapi kebanyakan mereka tetap tercongok di dalam kelas bila tiba waktunya. Dan mereka sebenarnya mempunyai hak yang sangat besar, iaitu pendidikan. Hak ini dituntut daripada orang yang diberi tanggungjawab mendidik iaitu guru. Namun demikian sejauh mana kanak-kanak yang masih mentah ini mampu menuntut sepenuhnya hak mereka sehingga membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan ini tidaklah sangat diambil kisah. Dan mereka sendiripun tidak mampu menilai sejauh mana hak mereka telah diperolehi. Kerana mereka kanak2, mereka hanya boleh bergantung harap kepada orang-orang yang bertanggungjawab seperti guru di sekolah, ibu bapa di rumah serta masyarakat di sekitar mereka. Melihat kepada senario hari ini, boleh dikatakan sebahagian kanak2 bernasib baik jika mereka dilahirkan di dalam keluarga yang statusnya lebih baik. Selebihnya, mereka benar-benar berharap mereka memperolehi hak sebenar daripada orang-orang yang bertanggungjawab tadi.

Dalam proses mendidik kita sebagai guru sepatutnya mengaplikasikan semua ilmu tentang pendidikan seperti Pedagogi, Psikologi, Falsafah dan sebagainya. Ilmu ini seharusnya membolehkan seseorang guru menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap dan berkesan. Tiada rungutan begini dan begitu tentang seadanya kanak-kanak yang mereka bimbing. Pelbagai pendekatan boleh dilakukan berdasarkan pengetahuan tentang keperluan pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh, keperluan dalam pengurusan bilik darjah untuk kanak-kanak sesuai dengan perkembangan mereka mengikut psikologi dan pedagogi. Bilik darjah sepatutnya sesuai dengan naluri dan pergerakan kanak-kanak yang melihat alam sekelilingnya penuh keriangan dan warna warni. Namun apa yang berlaku hari ini, hampir 11 tahun mereka didera dengan kehendak kita orang dewasa, dengan menyediakan sebuah kerusi dan meja dan mengongkong pergerakan mereka dengan peraturan yang sangat rijik bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Jadi, sejauh mana sebenarnya kanak-kanak di sekolah mendapat hak mereka. Banyak lagi perkara di sekolah yang kita dapati tidak menyebelahi mereka. Keinginan dan minat mereka jarang sekali kita cungkil dan suburkan mengikut keperluan yang sepatutnya. Apa yang berlaku kita sering menyalahkan mereka dan berkata mereka itu lemah dan tidak berbakat. Malangnya mereka kerana kita tidak melihat perkara ini secara ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Selasa, 6 Oktober 2009

Saya di IAB lagi

Saya di IAB lagi dari 4-9 Okt 2009. Kali ini kursus Pengurusan dan Pentdbiran Pejabat. Walaupun saya pernah laluinya dalam Diploma Kepengetuaan, namun kali ini masih banyak perkara yang saya perolehi melalui sesi kuliah dan perbincangan dalam setiap topik yang diberikan. Sesungguhnya masih banyak yang perlu kita ketahui dalam proses menjadikan kita ketua jabatan yang baik di sekolah. Apa yang menariknya, terlalu banyak isu yang kami kupas berkaitan pengurusan pejabat di sekolah. Ini kerana banyak bezanya antara sekolah dengan jabatan-jabatan yang lain dalam perkhidmatan awam. Sedangkan peraturan-peraturan pengurusan pejabat yang diguna pakai dalam perkhidmatan awam yang lain, itulah juga yang terpaksa diikuti di sekolah. Justeru, saya mencadangkan kepada IAB dalam memberi kursus kepada Guru Besar Pengetua fokus perbincangan haruslah menjurus kepada pengurusan di sekolah. Jika dapat menyediakan garis panduan yang jelas pengurusan di sekolah, inilah yang lebih bagus.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Sukan dan negara kita.

Saya tidak pernah lepas menonton (melalui TV) perlawanan tenis profesional termasuk Terbuka Malaysia. Tapi rasa terkilan sedikit, apabila melihat stadium kosong. Walhal pemain2 hebat dan ternama beraksi. Bukan senang nak dapat peluang begitu. Jika di KL, saya pasti berada di stadium. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah tentang nilai diri dan negara kita. Kita kalau boleh, semua kita nak anjur, kononnya kita hebat, negara maju dan kaya. Tapi pada pengamatan saya semua yang kita anjur, tidak seperti negara lain yang anjur. Mungkin orang lain memperolehi keuntungan tetapi kita, jika stadium kosong, dari mana nak dapat untungnya. Sekarang, pada masa yang sama juga sedang berlangsung Tenis Terbuka Thailand. Astro menayangkan kedua-dua pertandingan ini. Cuba bandingkan. Stadium di Bangkok lebih dipenuhi penonton daripada di Kuala Lumpur.

Bila melihat stadium kosong di Kuala Lumpur, saya perhatikan pemain-pemain seperti tidak ada semangat bermain dan seperti mereka bermain pertandingan pertunjukan. Wpun saya tidak berada di stadium, tapi rasanya sebagai rakyat Malaysia, terasa malu juga, bukan saja kepada para pemain tetapi juga kepada peminat tenis di seluruh dunia yang menyaksikan pertandingan itu melalui TV. Mungkin mereka tertanya-tanya, bintang2 tenis itu main dalam hutan ke?. Sebab sepanjang yang saya tengok siri jelajah tenis ni, tak pernah nampak stadium yang kosong. Lagi pula, bintang-bintang tenis ni ketika bermain mereka seperti berinteraksi dengan penonton dan penyokong2nya. Suasana begitu meriah, sehingga dapat dirasai oleh kita yang hanya menikmatinya melalui kaca TV.

Inilah negara kita, indah khabar dari rupa. Jika beginilah keadaannya, untuk apa pengajuran sukan besar ini. Bukan kali ini saja, kita pernah melihat kejohanan bola sepak belia dunia, ketika era Robeto Carlos suatu ketika dulu yang dianjurkan di negara kita, cuba bandingkan kejohanan yang sedang berlangsung di Mesir ketika ini, yang mana lebih meriah?. Di Mesir saya lihat, semua negara bertanding, penuh dengan penyokongnya, tetapi ketika di negara kita, kita terpaksa bawa budak2 sekolah untuk jadi penyokong pasukan2 bertanding. Apakah penyokong dari Afrika, German, England dll tak tahu bahawa ada kapal terbang yang mendarat di negara kita? Inilah yang perlu kita renungkan bersama.

Saya rasa banyak yang perlu kita pelajari, tentang situasi ini dan negara kita ini. Sebelum mengajurkan apa2 kejohanan besar fikirkanlah manfaatnya kepada rakyat. Wang berjuta ringgit dibuang (bukan dilabur) begitu saja, hanya semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Saya rasa wang sebanyak itu jika kita laburkan untuk pembangunan tenis di sekolah-sekolah pastinya lebih memberi banyak manfaat bukan saja kepada rakyat, tetapi juga kepada negara. Hentikanlah pengajuran2 besar yang membazir dan retorik itu. Fokuslah kepada pembangunan pendidikan, rakyat dan negara. Rakyat negara kita, belum mencapai tahap minat, pemikiran dan profesional kepada semua jenis sukan. Justeru, kita perlu mendidik di sekolah, bahawa sukan mendatangkan pelbagai manfaat yang baik dalam kehidupan hari ini. Setiap sekolah harus diberi peluang membangunkan budaya kehidupan yang sihat dan maju melalui aktiviti bersukan.