Jumaat, 30 Januari 2009

Anak muridku Qaiyum

Satu kejutan bila satu pagi saya melihat ada sesorang yang bernama Qaiyum menjeguk blok saya. Cepat2 saya cuba mengingati siapa budak ni. Antara ingat tak ingat. Tapi nama tu memang arif pada saya ketika saya sebagai PK HEM di SK Bukit Kecil, Kota Kuala Muda pada tahun 2000. Saya tak dapat menceritakan banyak tentang Qaiyum ni, kerana antara ingat tak ingat. Tapi yang saya ingat budak ni antara pelajar yang baik dan pintar.

Saya juga cuba menjeguk blognya. Rupa-rupanya anak murid saya sedang menuntut di Moscow, Russia. Hebat. Tahniah kepada Qaiyum dan rakan-rakan. Pesan saya jadilah insan terbaik di muka bumi ini untuk diri, ibu bapa, orang lain dan pelusuk dunia ini. Kehidupan mendatang semakin mencabar dan tidak menentu. Jadi kuatkan diri dalam semua aspek. Biarlah perjalanan jauh menuntut ilmu itu berbaloi dengan segala pengorbanan orang tua dan diri sendiri.

Rabu, 28 Januari 2009

Anak-anak yang kusayangi

Aku sebenarnya bangga dikurniakan 8 orang cahaya mata. Rasanya hari ini tak banyak pasangan suami isteri yang punyai anak lebih drp 5. Tapi kami, alhamdulilah. Dikuniakan anak2 yang tiada cacat celanya. Paling membanggakan kehebatan dan keupayaan isteriku, tidak pernah sedikitpun punya masalah ketika mula berbadan dua dan sehinggalah bersalin. Dari anak pertama (NurNuaim), sehinggalah yang terakhir (NurIrsyad), semuanya selamat dan sihat walafiat. Hatta, rasa loya pun, tak pernah dirasainya. Jadi, aku tidak pernah dibebankan dengan isteri yang menyusahkan suami ketika mengandung. Aku juga tak pernah disuruh cari itu dan ini, kononnya mengidam. Segala-galanya berlalu dengan baik. Sehinggakan anak kami yang ke 5, (arwah) lahir terbujur kaku, kerana terlewat, pun bersalin dengan baik seperti biasa. Pada aku, sesungguhnya ini semua kehebatan yang dianugerahkan Allah kepada isteriku. Kehebatan ini aku cuba balas dengan kedangkalan dan kekuranganku cuba menjadi ayah yang baik kepada anak2 dan suami yang baik kepada isteri. Segala-galanya aku belajar urus sendiri, sejak mula anak-anak lahir sehinggakan aku rasa seperti pakar dalam menguruskan bayi yang kecil, masih kemerahan dengan kakinya sebesar 2 jari itu. Aku tidak sedikitpun kekot menguruskan hal-ahal berkaitan penjagaan isteri selepas bersalin dan anak kecil yang masih dalam pantang ini. Sememangnya taklah rumit sangat, kerana aku sudah biasa dengan tugas2 memasak dan sebagainya. Kebolehan aku yang sedikit ini dan kekuatan isteriku yang jarang dimiliki wanita lain ini, seperti akan memberikan kelebihan kepada anak2ku ketika mereka membesar dan meningkat dewasa. Harapanku, semoga kebolehan dan kekuatan ibu dan ayahnya ini diwarisi dengan baik atau mungkin lebih baik mengikut zamannya.

Hari ini, anak2ku mula membesar dan meningkat dewasa. Yang sulung sudah 23th dan yang bongsu 6 tahun. Apapun yang berlaku hari ini, aku masih rasakan aku lebih bertuah daripada orang lain kerana dikurniakan ramai anak. Sekurang-kurangnya, aku sudah ada 5 anak lelaki yang bakal mengusung jasadku ke pusara satu masa nanti. Tetapi, kadang-kadang aku cuba merenung, mungkin orang lain yang hanya punyai 2 atau 3 anak lebih baik dan bahagia daripada aku dan keluarga. Mereka tidak perlu menghadapi pelbagai kerenah anak2 yang menekan jiwa. Kehidupan dan kebahagiaan ketika anak2 masih kecil sudah semakin hilang. Peluang untuk memeluk, membelai dan mencium mereka sudah tidak ada lagi. Terasa benar diri semakin dimamah usia. Dan yang paling membuatkan hati tidak keruan, bila kata-kata dan nasihat kita ini sudah tidak bernilai lagi. Terlalu sukar untuk memberikan kefahaman bahawa kedua ibu bapa terlalu sayangkan mereka dan berharap kehidupan yang bahagia.

Semoga anak-anakku dirahmati Allah.

Isnin, 26 Januari 2009

Selamat Tahun Baru

Selamat tahun baru. Sudah 3 tahun baru kita lalui. Kerana kita orang Malaysia, tahun baru, tahun baru ini bukan baru bagi kita. Cepat benar masa berlalu. Ada sesetengah orang menyambut tahun baru banyak maknanya. Dan ada pula yang tak rasa apa-apapun selain tahun yang bertukar. Tak banyak perubahan. Orang penang kata, pi mai pi mai tang tu.

Sebut pasal perubahan ni, memang senang sebut tapi susah dilaksanakan. Orang-orang hebat nampak perubahan yang dia buat. Sebagai contoh bagaimana Mandiang Goh Tong mengubah hutan belentara menjadi pusat pelancongan terkenal, Genting Highland. Banyak orang yang berubah hanya umur, semakin lama semakin tua.

Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai kepada rakan2 cina.



Selasa, 20 Januari 2009

Susahnya mengurus sekolah tanpa wang

Kini masuk minggu ke 3 sesi persekolahan 2009. Sekolah pada saya, takada waktu yang boleh dikatakan lega. Sepanjang masa sibuk. Yang lega tu kepada yang taknak bertindak. Macam2 kena buat, pendek kata, takwim sekolah tu, penuh dengan aktiviti dan program bagi memastikan sekolah dapat diuruskan dengan baik sebagaimana sepatutnya tanggungjawab kepada stake holder dan para pelanggan. Kalau nak buat lebih kurang, hasilnya lebih kuranglah.
Di SKTI, saya sangat optimis kita mempunyai kekuatan dan peluang untuk membangun dengan cemerlang. Semua guru dan staf sekolah mempunyai kelebihan dan kepakaran tersendiri sesuai dengan bidang masing-masing. Cuma yang perlu sekarang adalah bertindak.
Apapun faktor kewangan adalah aset penting kepada usaha membangunkan sekolah. Tanpa wang, sangat sukar untuk menggerakkan pelbagai rancangan yang telah diatur dan hal-hal yang memerlukan tindakan segera. Apa yang hendak saya gambarkan di sini, betapa sekolah sangat memerlukan sumber kewangan seperti bayaran tambahan daripada ibu bapa. Sumber gran perkapita yang diberikan kepada sekolah oleh kerajaan hanyalah untuk menguruskan aktiviti kurikulum dan kokurikulum serta sedikit untuk utiliti. Perkara2 lain, yang hendak dibuat di sekolah, memerlukan sokongan sumber PIBG atau membuat permohonan kepada unit pembangunan JPN. Namun apa yang berlaku, peruntukan yang disediakan selalunya tidak dapat memenuhi keperluan sekolah.
Dengan tiadanya pungutan yuran atau bayaran tambahan daripada murid (ibu bapa), sehingga kini, sekolah dalam keadaan RM0. Dengan kata lain, Kumpulan Wang SUWA ( Sumbangan Wang Awam ) dalam akaun sekolah adalah kosong. Sumber inilah selalunya digunakan untuk aktiviti murid-murid seperti Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah serta pertandingan2 permainan peringkat daerah dan sebagainya. Jadi bayangkanlah, bagaimana nak uruskan semua ini jika tiada sumber kewangan.
Harapan untuk mendapatkan sumber kewangan daripada ibu bapa (PIBG) menjelang bulan Jun nanti sebagaimana yang diarahkan oleh JPN dan KPM, rasanya seperti satu usaha 'abu nawas'. Masakan tidak, jika sekolah sudah berjalan hampir setengah tahun, siapa ibu bapa yang benar-benar bersedia membayarnya, kerana ibu bapa selalunya membuat persediaan awal ketika permulaan tahun baru dan sesi baru bermula. Sesuatu yang sangat mendukacitakan, ketika kami para Guru Besar bermesyuarat untuk menyusun program2 pada peringkat kumpulan dan daerah, seperti cerita dongeng kerana apa yang dirancang sukar untuk dilaksanakan kerana tiada sumber kewangan.
Di SKTI, saya sedang memikirkan bagaimana cara untuk memastikan kejohanan olahraga sekolah yang menelan belanja RM5,000 pada tahun 2008 dulu, dapat dilaksanakan dalam keadaan semasa kita ini tiada sedikitpun sumber. Menunggu janji KPM untuk memberi pendahuluan, nampaknya hanya tinggal janji.

Sabtu, 17 Januari 2009

Dirgahayu Tuanku

Hari ini seluruh Kedah bercuti sempena Hari ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Sultan Kedah. Bersambung dengan Jumaat Sabtu, dapatlah 3 hari cuti. Alhamdulillah dapat buat kerja-kerja rumah yang tertangguh sejak sekolah mula dibuka 2 minggu lalu. Ni lah rutin orang gomen, selagi belum tutup mata, kerja, kerja, kerja.. Walaupun cuti dan buat kerja-kerja rumah, terselit juga sikit2 kerja sekolah. Biasalah, sebagai persiapan menghadapi minggu berikutnya. Saya selalu cakap pada guru2, sentiasa buat home work, untuk mengemaskinikan kerja masing-masing. Lagi satu, buat home work ni maknanya kita sentiasa dalam keadaan bersedia dan nampak cekap bila menguruskan sesuatu program. Kecekapan bermakna mendorong kepada hasil yang lebih baik dalam semua aspek.

3 hari bercuti masih memenatkan dengan rutin kerja rumah. Ikutkan semua perkara di rumah perlu dibuat atau perlu ditambahbaikan. Termasuklah memulihara pokok-pokok bunga di halaman rumah. Walaupun tak banyak, tapi kekeringan kerana dah banyak hari tak hujan dan tak dibaja. Jadi pagi ni, kesempatan ini digunakan sebaik mungkin, setelah pagi semalam hampir setengah hari uruskan membersih 2 buah kereta. Dalam rumah juga perlu penambahbaikan. Cuci jamban, kemas sana-sini dan macam-macam. Nasib baik, minggu ni anak dara saya yang sedang belajar di tingkatan 5 SM Teknik Butterworth, ada di rumah. Dia ni, bukan boleh tengok rumah semak. Alhamdulilah, rajinnya harap berterusan bila bergelar isteri orang nanti. Isteri saya, lain pula ceritanya, selain menguruskan masak memasak di rumah, dia ambil kesempatan ke sekolahnya yang hanya 500m dari rumah kami untuk membuat penambahbaikan Pusat Sumber Sekolahnya yang dipertanggungjawabkan kepadanya tahun ini. Baguslah kalau rajin begini dan ikhlas buat kerja untuk kebaikan sekolah.

Walaupun hari cuti hari keputeraan Sultan Kedah, tapi takdalah program yang menarik di Sungai Petani ni. Apapun, kita doakan tuanku sultan sentiasa dirahmati Allah. Dirgahayu tuanku.

Khamis, 15 Januari 2009

Membudayakan sekolah

Hari ini saya bermesyuarat lagi di sekolah. Kali ini dengan JK Disiplin Sekolah. Post mortem 2008 menggambarkan keadaan disiplin sekolah tidaklah seteruk mana. Namun demikian, masih terdapat kes-kes salahlaku murid yang serius. Faktor penyebab kepada isu ini boleh dirumuskan ianya dipengerahui oleh budaya sekolah.

Budaya sekolah adalah sebuah sistem sosial di sekolah. Menurut Reid dan Holly (1987), budaya sekolah ialah hasil daripada cara individu di sekolah itu berinteraksi, bagaimana mereka berkelakuan antara satu sama lain dan harapan mereka untuk hidup dengan harmoni antara satu sama lain. Budaya sekolah mempunyai pengaruh yang kuat terhadap hidup warganya dari segi kemajuan akademik, sosial dan personal yang dicapai oleh individu di sekolah. Budaya sekolah dipengaruhi oleh pelbagai faktor; sejarah, warganya, komuniti sekeliling, polisi pendidikan serta perubahan dalam ekonomi dan politik negara. Budaya sekolah dikatakan berubah kerana kedinamikannya. Mengikut Bolman dan Deal (1971), budaya merupakan produk dan proses. Sebagai produk budaya sekolah mengandungi pengetahuan dan kebijaksanaan para pendidik, sebagai proses pula, budaya sekolah sentiasa diperbaharui dan dibina semula oleh warga sekolah itu sendiri mengikut keperluan dan jenis norma yang hendak diubah.

Budaya sekolah mempunyai peranan yang penting dalam mengubah sekolah ke arah menjadi sekolah lebih berkesan. Hal ini dipengaruhi oleh bagaimana warga sekolah mengubah cara mereka berfikir dan bertindak dengan nilai-nilai keberkesanan yang dikongsi bersama. Program-program menjayakan sekolah harus memberi perhatian kepada pembentukan budaya sekolah. Jadi apa saja usaha untuk mengubah sekolah jika tidak mengambil kira nilai dan kepercayaan (budaya) sekolah, akan menghadapi kegagalan. Budaya sekolah mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan kualiti peluang yang disediakan untuk setiap pelajar. Sekolah secara keseluruhan dan iklim bilik darjah mempunyai pengaruh yang kuat dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta pembentukan sikap warga sekolah. Dari itu pengetahuan tentang budaya sekolah adalah penting bagi guru-guru yang ingin mengubah sekolah.

Pembangunan disiplin dan jatidiri murid merupakan sebahagian daripada faktor perkembangan budaya sekolah yang baik. Justeru, kita perlu merancang pelan tindakan strategik yang baik berasaskan SWOT analisis sekolah dengan matlamat kemenjadian murid dijadikan pemangkin kejayaan membudayakan sekolah.

Rabu, 14 Januari 2009

Pelan Tindakan Strategik UPSR 2009

Hari ini pada sebelah paginya saya menghadiri mesyuarat JK Pengelola Kejohanan Olahraga MSS Daerah Kuala Muda/Yan. Tahun ini, SKTI diberi kepercayaan sebagai JK Kebersihan. Mungkin kerana venue kejohanan di SMK Tunku Ismail adalah jiran kami, maka tugas ini diamanahkan kepada kami.

Habis meeting di PPD, saya berkejar balik ke sekolah kerana ada lagi meeting, JK Kecemerlangan UPSR 2009. Dari reaksi JK, saya yakin mereka sudah bersedia dengan satu pelan perubahan yang mungkin agak drastik memandangkan berlakunya kemerosotan dalam pencapaian 2008. Memang benar, jauh di sudut hati saya, saya sangat berharap untuk melakukan perubahan ke arah penambahbaikan dan kecemerlangan jangka panjang. Daripada analisis yang saya buat serta post mortem pencapaian 2008 menunjukkan banyak yang perlu diperbaiki dalam semua aspek. Antara punca kelemahan boleh dikatakan 80% boleh dipertanggungjawabkan kepada sekolah. Faktor-faktor yang dikenal pasti, hampir semuanya menunjukkan banyak perkara perlu diperbaiki pada peringkat pengurusan kurikulum, HEM, Kokurikulum dan pengurusan sekolah seluruhnya. Berdasarkan kajian2 yang menunjukkan ciri-ciri sekolah berkesan antaranya; kepimpinan yang profesional, visi & matlamat yang dikongsi, persekitaran pembelajaran (learning enviroment), penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran, jangkaan tinggi, ganjaran positif, memantau kemajuan pelajar, hak dan tanggungjawab pelajar, pengajaran yang jelas tujuannya, organisasi pembelajaran dan perkongsian sekolah dan rumah, menunjukkan sekolah ini masih memerlukan kerja-kerja penambahbaikan.

Hasil pemerhatian dan analisis saya serta mesyuarat hari ini memberikan banyak gambaran bahawa sekolah ini telah lama membudayakan pengajaran dan pembelajaran di Tahun 6 berorientasikan peperiksaan. Ini jelas sekali bertentangan dengan amalan yang sepatutnya. Perasaan takut murid-murid gagal atau tidak mencapai A dalam mata pelajaran menghantui setiap guru yang mengajar. Tapi yang menghairankan perasaan itu tidak dikongsi bersama dengan guru-guru di Tahun 4 dan 5. Amalan meniru apa yang dilakukan oleh sekolah-sekolah lain juga menjadi budaya sekolah.

Merumus segala isu berkaitan UPSR, pelan tindakan strategik UPSR 2009 seharusnya merangkumi juga pelan pembangunan murid Tahun 4 dan 5 serta memberi fokus juga kepada Perancangan Strategik Kecemerlangan Sekolah 2012. Apapun hasil perbincangan menunjukkan guru-guru Tahun 6 belum bersedia untuk berubah sepenuhnya dengan strategi baru penambahbaikan akademik sekolah. Namun demikian, persetujuan dibuat perubahan sepenuhnya kepada fokus 2010. Ini merupakan satu perkembangan dan penerimaan yang baik dikalangan guru yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan akademik sekolah. Saya sebagai pemimpin bertanggungjawab memberi ruang dan peluang serta pimpinan terbaik untuk merealisasikan visi sekolah.

Saya sangat berharap akan berlaku penambahbaikan dan perkembangan yang sangat baik berasaskan kefahaman dan pemakaian headcount serta pelan tindakan yang strategik dalam semua aspek. Semua guru tidak perlu takut dengan perubahan sebaliknya menerima sebagai satu cabaran yang menguntungkan semua pihak. Bangunkanlah SK Tunku Ismail sehebat namanya.

Selasa, 13 Januari 2009

Memenuhi tanggungjawab yang memenatkan

Hari ini, awal pagi saya dah bertolak ke Dewan Ibnu Khaldun, IPG Kampus Jitra untuk menghadiri taklimat praktikum guru2 jQAF. Macam biasa, dengar taklimat dan tanya beberapa soalan berkaitan, lepas tu habis. Kami guru besar dan pengetua, tamat sesi pukul 11. Bagi guru-guru pembimbing taklimat diteruskan sehingga petang. Pada saya, usaha untuk melatih guru berasaskan sekolah macam jQAF ada baik dan buruknya. Baiknya, guru itu lebih cepat dapat pengalaman dan menyesuaikan diri dengan sekolah. Buruknya pula tambah beban kerja kepada sekolah khususnya pengurus sekolah, kerana tugas yang sebelum ini dipikul oleh IPG telah berubah ke sekolah. Kalau kata nak lahirkan guru berkualiti, banyaklah kerja dan prosedur yang perlu dibuat. Tapi di sekolah, seribu macam kerja lagi yang hendak diuruskan. Pada saya sekolah takda jauh bezanya dengan pejabat pos, ada macam-macam. Semuanya ditimbunkan di sekolah. Pejabat pos ok jugalah, dah swasta mungkin gaji ketua pos dan anak buahnya dah berubah. Tapi di sekolah, dengan hanya alaun rm100, GB nak kena buat macam2. Silap2 kena saman. Berkebetulan saya berkesempatan bersembang dengan rakan GB di satu sekolah, katanya dia pernah didatangi ibu bapa dengan siap bawa lawyer sebagai jurucakap. Jadi berbaloi ke jadi GB dengan seribu macam tanggungjawab ni.

Di sebelah petangnya pula saya terpaksa menghadiri Majlis Penyerahan Waran Belanja Mengurus 2009 di JPN Alor Setar. Sekolah PTJ. Seronok juga tengok angka waran tu lebih satu juta rm. Tapi bukan duit kita. Kita cuma tukang jaga dan tukang urus saja. Yang hebatnya tahun ini, GB dipanggil oleh tuan pengarah untuk terima waran dengan naik ke pentas. Hebat nampaknya. Tapi pada saya, banyak lagi perkara yang lebih perlu kita fikir, bincang dan kita buat. Habis majlis, sampai di rumah hampir 6ptg, letih bukan kepalang. Tapi hasilnya, pada saya, lebih banyak kalau saya duduk di sekolah.

Isnin, 12 Januari 2009

Bertindaklah sebijaknya

Sesi persekolahan 2009 sudah menjengah minggu kedua. Mod bercuti dan bersantai sepatutnya sudah berlalu bersama kenangan 2008. Kita sudah berada pada landasan tanggungjawab untuk bergerak menuju matlamat 2009 dan visi sekolah 2010. Seharusnya kita semua sudah benar-benar bersedia dan mengumpul kekuatan untuk membuat 'takeoff' terbaik supaya kita berada pada sasaran sebenar menjelang rintangan dan cabaran yang lebih getir pada pertengahan perjalanan nanti. Hampir segala-galanya sudah tersedia berasaskan SWOT analisis sekolah dan kita sepatutnya berjaya menggapai kecemerlangan pada akhir nanti.

Guru-guru yang saya hormati, bertindaklah sebijaknya. Tindakan yang proaktif akan membuahkan hasil yang kadang-kadang melampaui matlamat yang kita buat. Kita tidak perlu lagi menunggu arahan-arahan rutin seperti seorang murid menunggu apa saja yang akan diberikan oleh gurunya pada dekad pembelajaran yang lalu. Gunakanlah segala perancangan dan takwim sekolah yang ada untuk terus memacu tanggungjawab dengan penuh wibawa dan komited. Belajarlah berdikari dan mendapatkan maklumat dengan teknologi dan kemudahan yang ada secara efisyen dan kompetatif bagi melambangkan kita ini guru yang profesional pada era global ini. Sebagai pemimpin saya akan sentiasa memberikan yang terbaik, sokongan, bimbingan dan penghargaan seadanya saya ini. Teruskanlah apa yang sepatutnya kita buat mengikut bidang, kepakaran dan tanggungjawab yang terpikul pada kedaifan diri kita ini sebagai guru dan pemimpin di sekolah dan keluarga.

Untuk memacu perjalanan kita ini, kita seharusnya bergerak sederap dalam keutuhan kekitaan di sekolah yang kita cinta dan bangga ini. Kita saling memerlukan seperti jari-jemari yang punya kekuatan jika kelima-limanya berfungsi dengan baik mengikut tanggungjawab masing-masing. Ada ketikanya berseorangan itu lebih baik bagi kita, tetapi percayalah, bersatu itu lebih utuh dan kuat untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang akan kita tempuh.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan-rakan guru yang sudah mulai faham aspirasi saya sebagai pemimpin di sekolah ini untuk menjana kecemerlangan sekolah secara berpasukan dan satu keluarga. Teruskanlah apa jua niat dan rancangan yang baik itu dengan penuh berhemah dan bijaksana. Saya sangat yakin dan sentiasa optimis kita akan berada di puncak dengan penuh rasa terhormat dan kebanggaan bahawa kita ini insan yang dipilih tepat untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik seluruh anak bangsa. Jadi, bertindaklah sebijaknya.

Khamis, 8 Januari 2009

Sekolah, padang dan guru

Hari ini saya merasa sangat teruja bila turun ke padang sekolah melihat rakan2 guru dan pekerja mesin rumput untuk membuat persediaan kejohanan olahraga tahunan sekolah. Sebenarnya kerja-kerja mesin rumput ni dah bermula 3 hari yang lalu. Cikgu Shidi, Cikgu Pendi, Ustaz Amir, seperti dah tukar profesion, menolak mesin rumput di padang yang sangat luas itu. Sebenarnya SKTI merupakan sebuah sekolah yang mempunyai kawasan padang yang paling luas di Sg. Petani. Selalunya kebanyakan sekolah, ada kawasan padang untuk murid-murid bermain hanya sekangkang kera. Tapi SKTI, luasnya saujana mata memandang. Disebabkan padang dan kawasan sekolah yang luas inilah, ianya sukar dijaga. Tapi itu bukan alasannya, mulai tahun 2009 ini, saya sangat berharap apa yang dirancangkan dalam program kokurikulum dan sukan akan memberi impak yang besar bukan sahaja kepada murid, tetapi juga kepada kebersihan dan keceriaan padang sekolah.

Saya, sejak remaja sangat teruja bila melihat padang sekolah yang cantik. Terasa diri amat sihat dan segar bila berdiri di tengah padang dengan tiupan angin pagi yang bersih itu. "Macam stadium Wembley", ujar cikgu Pendi menggambarkan kepuasannya bila melihat padang bersih dan rata selepas mesin rumput yang baru dibeli itu berlalu dengan deruan dan hayunan langkah gagah orang kuat sekolah, Sethuraman. Dialah orang harapan sekolah dalam apa jua kerja penyelengaraan dan penambahbaikan fizikal sekolah.

Memang betul, sekolah kami mempunyai padang yang cantik, jika dijaga dengan baik. Tapi malangnya selama ini ia terbiar usang dan semak-samun bermaharajalela. Harapan saya selepas ini ianya akan mengubah dan membuka satu lembaran baru kepada perkembangan sukan dan kokurikulum sekolah.

Sukan dan kokurikulum di sekolah bukan sekadar untuk memenuhi takwim sekolah dan dibuat ala kadar sahaja, tetapi ianya merupakan sebahagian daripada apa yang dihasratkan oleh FPN. Dimensi dan oreintasi sekolah yang menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata seharusnya diperbetulkan. Kesilapan membina sekolah tanpa padang dan ruang rekreasi yang cukup seharusnya tidak diulangi lagi jika kita mengharapkan rakyat menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Sekolah sepatutnya bukan sahaja dibekalkan dengan kemudahan sukan dan rekreasi tetapi juga guru-guru atau jurulatih yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam acara sukan. Di sekolahlah sepatutnya bermula seorang jaguh sukan, bukannya selepas tamat sekolah. Pertumbuhan pada peringkat kanak-kanak ini seharusnya dijadikan peluang untuk membina kecemerlangan insan secara menyeluruh, bukan hanya tumpuan kepada akademik semata-mata. Guru-guru di sekolah, termasuk pemimpin sekolah sepatutnya serba boleh dan mampu menguruskan semua aktiviti pendidikan di dalam dan di luar bilik darjah.

Saya sangat berharap guru-guru di sekolah ini mengubah paradigma daripada seorang guru yang hanya pakar dalam akademik kepada guru yang serba boleh. Jangan takut, kita sebenarnya adalah orang-orang terpilih. Ruang dan peluang belajar sentiasa terbuka. Teruskanlah kecemerlangan diri.

Selasa, 6 Januari 2009

Mesyuarat yang berkesan

Menguruskan mesyuarat bukan sesuatu yang senang jika tiada ilmu dan pengalaman. Dalam sesebuah organisasi, mesyuarat merupakan aktiviti yang sangat penting untuk menentukan hala tuju dan membuat keputusan. Sebenarnya bukan semua orang tahu bagaimana menguruskan mesyauarat yang baik walaupun dia pernah menghadiri mesyuarat. Selain daripada pengalaman bermesyuarat, ilmu tentang pengurusan mesyuarat perlu diketahui khususnya kepada pengurus atau pemimpin organisasi. Paling baik, semua ahli yang hadir bermesyuarat mengetahui sedalam-dalamnya selok-belok bermesyuarat. Daripada kajian tindakan yang pernah saya buat menunjukkan pengurusan mesyuarat di sekolah tidak diuruskan dengan baik kerana guru-guru dan pemimpin sekolah tidakpernah diberi bimbingan secara formal tentang pengurusan mesyuarat. Pengurusan mesyuarat yang terdiri daripada fasa sebelum mesyuarat, semasa mesyuarat dan selepas mesyuarat tidak difahami sejelas-jelasnya oleh orang yang menguruskan mesyuarat dan ahli-ahli yang hadir mesyuarat.

Sebenarnya dalam sesebuah mesyuarat semua orang penting. Bukan hanya pengerusi dan setiausaha, tetapi ahli-ahli juga penting untuk menjayakan mesyuarat. Ahli yang hadir pastinya mempunyai kepentingan berkaitan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat. Justeru itu, semua orang perlu membuat persediaan yang rapi mengikut tanggungjawab masing-masing. Adalah malang sekali jika seseorang yang hadir mesyuarat hanya sebagai penumpang atau sebagai memenuhi korum atau kerana terpaksa. Tetapi yang lebih mengecewakan lagi, orang-orang yang hadir dan tidak memberi sebarang respon di dalam mesyuarat, dia begitu hebat 'bermesyuarat' di luar bilik mesyuarat. Ini sering terjadi. Inilah yang dikatakan naluri dan kekuatan yang ada di dalam diri seseorang. Dia mempunyai idea tetapi tidak mampu berkata-kata di dalam mesyuarat atau di depan khalayak kerana tidak mempunyai keyakinan diri. Di dalam mesyuarat bukanlah memerlukan seseorang itu petah berbicara, cukup hanya bersuara memberikan pandangan daripada isi hati kita terhadap isu yang dibincangkan.

Bersedia sebelum mesyuarat merupakan faktor penting kejayaan sesebuah mesyuarat. Semua yang terlibat perlu membuat persediaan. Ahli-ahli sepatutnya telah menerima minit mesyuarat selewat-lewatnya seminggu selepas mesyuarat untuk membolehkan mengambil tindakan mengikut apa yang diputuskan di dalam mesyuarat dan bersedia untuk membuat laporan di dalam mesyuarat akan datang. Setiausaha, merupakan orang yang sangat penting dalam memastikan mesyuarat dapat berjalan dengan lancar dengan menyediakan semua keperluan mesyuarat termasuk persediaan tempat mesyuarat. Pengerusi pula, selain daripada memastikan persiapan mesyuarat berjalan lancar, dia harus tahu dan bersedia dengan fokus atau harapan dalam mesyuarat yang akan berjalan nanti. Selain itu, pengerusilah yang bertanggungjawab memastikan mesyuarat berjalan dengan sempurna dan mencapai matlamatnya. Ibarat kata, pengerusi adalah nakhoda di dalam kapal mesyuarat .

Hari ini, saya menghadiri mesyuarat Panitia Matematik 1/2009 di sekolah saya sebagai penasihat. Banyak tujuan dan harapan saya setiap kali saya bermesyuarat dengan guru-guru. Bukan sahaja memastikan matlamat mesyuarat tercapai tetapi juga mengambil peluang memberi bimbingan kepada guru-guru tentang pengurusan mesyuarat dan hal-hal yang berkaitan di dalam mesyurat tersebut. Apa yang berlaku di dalam mesyuarat ini sangat membanggakan saya apabila melihat satu perkembangan yang positif dan baik sekali tentang pengurusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pn Shrina ketua Panitia Matematik. Pada permulaan mesyuarat saya perhatikan Pn. Shrina, walaupun seorang guru junior tetapi cuba untuk memastikan mesyuarat dan panitia yang dipimpinnya berjaya. Beliau dilihat membuat persediaan yang sangat baik dalam banyak perkara. Ahli-ahli yang hadir juga dilihat bersedia walaupun tidak sepenuhnya tetapi cukup untuk merancakkan perbincangan. Semua ahli berjaya memain peranan masing-masing dan dapat membantu panitia membuat keputusan2 penting sebagai pelan tindakan strategik 2009.

Saya sangat berharap perkembangan yang baik ini akan terus cemerlang di semua peringkat pengurusan sekolah ke arah menjayakan visi dan misi sekolah, Sekolah Cemerlang Daerah Kuala Muda/Yan 2010.

Isnin, 5 Januari 2009

Permulaan yang baik

Di Kedah dah masuk hari kedua sesi persekolahan 2008. Di sekolah saya, SK Tunku Ismail, Sungai Petani Kedah, alhamdulilah semuanya berjalan lancar berkat persediaan yang baik serta kerjasama daripada semua guru dan warga sekolah. Panduan tak taklimat awal persediaan hari pertama persekolahan dipatuhi dan dilakukan dengan baik oleh semua guru. Kehadiran murid-murid Tahun 1 seramai 104 sebagai ahli keluarga baru menceriakan hari pertama dengan kehadiran ibu bapa mengiringi anak-anak. Pendaftaran dan taklimat awal yang telah dibuat pada 31 Disember 2008 banyak membantu kelancaran hari pertama. Tidak ada murid yang dilihat bermasalah atau menangis takut untuk menyesuaikan diri. Ibu bapa memahami dan mematuhi pesanan yang dibuat ketika hari melapor diri. Antaranya ibu bapa tidakdibenarkan menunggu di luar bilik darjah dan menunggu melayan anak di kantin ketika waktu rehat, kerana ini akan mewujudkan perasaan yang tidak baikkepada anak2 yang tidak ditemani ibu bapa.

Yang paling saya merasa bangga semangat yang ditunjukkan oleh guru terutama guru tahun satu yang telah merancang minggu orientasi dengan baik sekali. Kerjasama semua guru serta murid-murid yang hadir membantu membuat persediaan sebelum sekolah dibuka lagi memperlihatkan hari pertama berjalan lancar dengan pengajaran dan pembelajaran. Lebih memudahkan lagi, guru-guru kelas tidak sibuk memungut yuran yang boleh mengganggu perjalanan P&P. Ada baiknya juga begini. Kalau boleh tak payah pungut duit langsung. Tapi sekolah perlu duit untuk menjalan aktiviti sekolah termasuk penyelenggaraan. Bagaimana, saya cadangkan menteri pelajaran buat keputusan sabsidi sepenuhnya. Senangkan. Cikgu dan pengurus sekolah boleh tumpu sepenuhnya kepada tugas utama mendidik.

Hari kedua juga memperlihatkan kepatuhan guru-guru terhadap takwim sekolah dengan mengadakan mesyuarat2 panitia mata pelajaran. Mesyuarat ini penting untuk meletak kerja bagi tahun 2009 ini. Kertas kerja untuk kejohanan olahraga sekolah juga telah mula diperkemaskan untuk dibentangkan dalam mesyuarat MSS. Jadi melihat kepada perkembangan yang baik ini,saya merasakan ini satu permulaan yang sangat baik kepada usaha mencapai visi sekolah dan matlamat bagi tahun 2009.

Jumaat, 2 Januari 2009

Kita dan Tahun Baru

Sebagai guru, aku sedih sekali melihat malam sambutan tahun baru dan berita keesokan harinya. Ibu segala sembutan di negara kita ialah Dataran Merdeka. Perkiraan aku yang hadir dalam sambutan di Dataran Merdeka dan di mana2 di seluruh negara, 70%nya MELAYU. Begitu juga dengan malam sambutan Merdeka. Merdeka, merdeka, merdeka, begitulah bunyinya riuh rendah di Dataran Merdeka, kononnya kita patriotik. Bangsa selain daripada Melayu, aku tengok, macam tak pedulipun baik kepada sambutan merdeka maupun tahun baru. Pada mereka, hiburan bukanlah yang utama, tapi mencari kekayaan dan kehidupan lebih diutamakan. Tapi KITA, tak pernah lekang dari hiburan. Yang menyedihkan segala pesta dan hiburan ini dianjurkan oleh pihak yang diberi kuasa oleh kerajaan. Maka datanglah para pembesar hanya untuk menunjukkan prehatin kepada rakyat, tapi selepas itu tinggallah hamba rakyat dengan segala kerugian, kemusnahan dan kehancuran. Siapa?..anak-anak kitalah itu. Selepas detik 12.00 malam, maka bermulalah pelbagai PESTA. Pesta hiburan, pesta arak, pesta sex, pesta dadah, dan sebagainya. Bayangkan seluruh negara, yang dikatakan negara Islam ini. Malam sambutan maal Hijrah, sepi seperti bukan negara Islam.

Keesokan harinya, kita dihidangkan dengan berita dan gambar2 yang sangat menyedihkan. Semuanya MELAYU. Kalau adapun bangsa yang bukan MELAYU, tapi mereka boleh dianggap kes terpencil dan terkawal. Sebagai pemimpin, banggakah kita? Sebagai guru, berbaloikah ajaran kita? Sebagai ibu bapa, mengapa kita biarkan anak2 kita yang terlibat. Aku pernah tinggal di Kuala Lumpur, dan pernah memandu kereta di Jalan Kucing pada malam sambutan Merdeka (15 tahun lalu) Aku lihat, orang MELAYU sehingga sanggup mendukung anak-anak kecil untuk dibawa ke Dataran Merdeka untuk menikmati hiburan. Dan anak-anak muda yang memenuhi dataran merdeka pada hari ini, mungkin anak-anak yang kecil itu yang pernah dibawa ibu bapa mereka 15 tahun yang lalu.

Pada pendapat aku, sebenarnya tidak ada cara lain untuk membendung budaya yang semakin merosakkan ini. Hanya kerajaan yang boleh menentukannya. Pada aku, haramkan saja pesta begini. Pesta yang mengumpulkan ribuan remaja ini boleh dianggap perhimpunan haram sekiranya melebihi 5 orang. Bolehkan? Sebab perhimpunan dan pesta itu tidak sedikitpun mendatangkan faedah samada pada malam itu, mahupun keesokan hari dan 356 hari yang mendatang. Pada aku, kerja membazir dan bodoh. Apa ertinya kehadiran Perdana Menteri jika selepas dia kembali ke kediamannya berpuluh ribu remaja ROSAK seumur hidup. Inikah yang dimahukan oleh negara? Remaja sebagai pelapis pemimpin hari ini? Kita sering menyalahkan ibu bapa yang dikatakan tidak mengawal anak2. Soalan saya, bagaimana nak mengawal jika anak sudah dewasa di Kuala Lumpur, sama ada belajar atau bekerja, sedangkan ibu bapa jauh di kampung? Persoalannya sebab ada pesta. Bayangkan jika tidak ada, siapa yang nak ke dataran merdeka, jika hanya seorang diri, tanpa hiburan, tanpa bunga api dan tanpa para pembesar.

Kadang-kadang aku seperti mahu berhenti saja menjadi guru. Sekolah hari ini hanya mengharapkan jumlah A yang diperolehi pelajar, bukan sahsiah dan kemenjadian pelajarnya. Masyarakat tidak akan bangga jika sekolah melahirkan anak2 yang alim dan baik budi pekertinya, jika tidak ada A.