Khamis, 30 April 2009

Tetamu di sekolah

Ni satu lagi cerita, yang aku nak gambarkan keadaan yang berlaku di sekolah. Sorry, pakai bahasa aku hari ni. Tengah hari semalam aku berbual dengan seorang tetamu sekolah, salesmen. Biaq pi la kalau ada orang kata aku puji diri. Tapi cerita sikit apa yang kawan kita salesmen ni cerita boleh kot. Kalau taknak dijadikan pedoman pun, ikut hangpalah. Salesmen ni cerita, pengalaman dia masuk ke sekolah, dia menghadapi macam2 kerenah GB/Pengetua. Maklumlah, mereka ni hebat dan ada kuasa. (Besar mana sangat kuasa tu?) Sesetengahnya tak beri peluang langsung. Dari pintu masuk lagi diarahnya jaga sekolah, tahan dan tak benarkan masuk. Kononnya untuk keselamatan sekolah. Bagus jugalah kalau fikir begitu. Ada setengahnya pula dia ada di sekolah, tapi disuruhnya staf sekolah yang sambut tetamu tu kata dia takda di sekolah. Macam2lah, ada yang kata sibuk, mesyuarat, takda duit dan sebagainya.

Apa yang aku nak hangpa bayangkan, bagaimana rasanya jika kita terbalik, hang jadi salesmen dan salesmen tu jadi hang. Lepas tu, salesmen yang ambil tempat hang sebagai GB/Pengetua, layan hang macam hang layan dia tadi, macam mana rasanya. Aku pernah berguru pasal komunikasi dan perhubungan ni, kalau nak layan orang, cuba terbalikkan kedudukan. Kita jadi tetamu, dan tetamu tu jadi kita, apa perasaan kita? Aku selalu ingat, aku ni anak ramai, mungkin ada anak2 aku yang keja jadi salesmen. Jadi aku selalu ingat, bagaimanalah perasaan anak2 aku ni, jika ada orang2 hebat seperti GB/Pengetua ni tak layan dia untuk mencari sedikit rezeki di sekolah.

Bukan saja salesmen, pelanggan sekolah seperti ibu bapa pun perlu diberi layanan yang baik sesuai dengan keperluannya hadir di sekolah. Mereka tidak akan hadir jika tiada keperluan. Jadi, jika mereka tak diberi layanan yang baik, malanglah kita dan mereka. Dari pengalaman aku, ada sesetengah salesmen dan ibu bapa yang hadir jumpa aku, mereka seperti tergaman dan terkejut, dengan layanan aku. Bila aku tanya, aa..macam2lah ceritanya dari pengalaman mereka sebelum ini. Terpulanglah, hang nak kata aku masuk bakul angkat sendiri ke, apa ke, aku harap cerita aku ni jadi ikhtibar. Bila pegang tampuk sebagai ketua, janganlah rasa hebat dan besar sangat. Tak rugi satu sen pun layan tetamu dengan baik. Dengar dulu apa dia nak kata, jangan takut dengan bayang2 sendiri. Aku rasa malu, bila ada salesmen cerita perangai GB pengetua yang layan mereka macam zaman penjajah. Sorylah kawan, kalau baca blog aku ni, hang terasa.

Rabu, 29 April 2009

Peranan Guru Besar dan Pengetua di sekolah

Bercakap tentang peranan Guru Besar dan Pengetua di sekolah, umum mengetahui betapa besar dan beratnya tanggungjawab itu. Dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar2nya, GB dan Pengetua bukan saja perlu mengetahui tetapi perlu melakukan bersama-sama dengan semua guru dan staf di sekolah. Dengan kata lain, GB dan Pengetua boleh buat jika disuruh untuk melakukannya. Sebagai contoh, jika kita menyuruh seorang pekerja memesin rumput, kita seharusnya tahu dan boleh juga memesin rumput. Bukan tujuan kita nak mengambil alih tugas pekerja sokongan, tetapi sekurang-kurangnya tahu dan rasa bebanan kerja yang ditanggung oleh orang-orang yang kita pimpin. Dalam entry kali ini saya tidak bercadang berbincang panjang lebar tugas dan tanggungjawab GB/Pengetua di sekolah, tetapi sekadar berkongsi pengalaman apa yang saya lalui.

Sejak awal tahun 2009, saya sering bersama-sama guru dan murid-murid yang menyertai pertandingan2 acara sukan dan kokurikulum. Saya pasti hadir ke veneu pertandingan bukan saja untuk melihat tetapi turut menjadi penyokong kuat kepada pasukan dan sesekali bertindak sebagai penasihat atau jurulatih. Pada saya kesannya sangat hebat, bukan saja kepada murid-murid yang bertanding tetapi juga kepada guru-guru serta ibu bapa. Saya tidak sedikitpun merasa kekok atau merasa saya ini perlu dilayan dengan protokol, tetapi saya meletakkan diri saya sama seperti guru-guru dan murid-murid saya yang berusaha bertungkus lumus.

Beberapa minggu lepas, dua hari saya bersama skuad hoki sekolah di pertandingan Hoki MSS Daerah Kuala Muda/Yan, dan dua hari yang lepas kebetulan sekolah saya menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Bola Baling peringkat Zon PKG Sungai Petani, saya juga bersama-sama dengan guru-guru dan murid2 saya untuk memastikan mereka bersemangat dan mengungguli kejohanan. Apa yang ingin saya perkatakan di sini, sepanjang kedua2 kejohanan tersebut saya tidak pernah melihat kelibat mana-mana guru besar dan pengetua yang hadir ke veneu pertandingan untuk memberi sokongan moral kepada pasukan sekolahnya. Mengapa terjadi begini, ada banyak jawapan di dalam benak saya. Tetapi apa yang saya ingin utarakan di dalam penulisan kali ini, adalah luahan rasa guru-guru dari sekolah lain yang seperti rakan2 saya, bahawa mereka menyatakan kekecewaan mereka terhadap sikap GB dan Pengetua mereka. Mereka bukan saja memuji sikap saya yang sentiasa turun padang, tetapi turut memberi perhatian kepada semua guru dan pasukan yang bertanding. Jika kita mahu berbincang impak peranan GB dan Pengetua dalam situasi ini, rasanya terlalu banyak yang boleh kita perkatakan. Saya bukan berhajat memuji diri, tetapi merasa terpanggil untuk berkongsi dengan rakan2 pemimpin atau yang bakal menjadi pemimpin sekolah, betapa pentingnya GB dan Pengetua sentiasa bersama-sama anak buahnya dalam apa keadaan sekalipun. Saya mendapat banyak maklumat negatif tentang GB dan Pengetua kerana saya bergaul rapat dengan semua guru yang saya kenal dengan menyertai mereka melalui pelbagai aktiviti sosial seperti bersukan, melayani hobi memancing dan sebagainya. Luahan rasa para guru, mencerminkan betapa GB dan pengetua perlu cermin diri mereka melalui bahasa badan guru dan staf mereka. Janganlah merasa kita sebagai GB dan Pengetua, terlalu sibuk sehingga tiada kesempatan untuk bersama-sama mereka berusaha membangunkan sekolah dengan cara yang terbaik. Wpun terdapat banyak teori kepimpinan yang cuba kita amalkan, tetapi mempraktikkan seikhlasnya pada situasi sebenar akan memberi banyak manfaat kepada kita dan sekolah seluruhnya.

Selasa, 28 April 2009

Mengorak langkah menjadi yang terbaik

Hari ini pasukan Bola Baling lelaki dan perempuan mencipta sejarah apabila mengungguli pertandingan peringkat Zon PKG Sungai Petani. Kedua-dua pasukan menjadi Johan dan sebahagian pemain akan mewakili Zon ke pertandingan peringkat daerah Kuala Muda/Yan. Menariknya, pasukan lelaki begitu hebat sehingga tidak tertanding oleh 9 pasukan sekolah lain yang bertanding apabila menjaringkan gol lebih daripada 10 gol dan hanya melepaskan beberapa gol sahaja kpd pihak lawan. Pada perlawanan akhir pasukan lelaki mengalahkan pasukan SK Sungai Pasir 13 gol tanpa balas. Bagi pasukan perempuan yang pada awalnya dianggap underdog, berjaya menjadi johan dengan kiraan lambungan syilling apabila terikat 6 sama selepas masa tambahan dan penalti juga melawan pasukan SK Sungai Pasir. 2 minggu lalu pasukan hoki meletakkan nama sekolah sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang setelah berjaya memenangi tempat ketiga dalam penyertaan sulung di peringkat daerah. Selain itu, pelajar kita juga berjaya menempa nama sebagai pemenang pertama dalam pertandingan buku skrap bimbingan dan kaunseling peringkat daerah. Kejayaan-kejayaan ini menunjukkan para pelajar dan juga kita mempunyai potensi yang besar untuk mencipta kecemerlangan sekolah. Dalam aspek akademik, kita juga menunjukkan peningkatan yang baik terutama calon2 UPSR hasil usaha gigih guru-guru. Melalui pengalaman manis ini, seharusnya kita sedar bahawa perubahan akan berlaku jika kita sentiasa berusaha dan meletakkan matlamat untuk berjaya. Saya merasa bangga dan kagum dengan kesungguhan guru-guru dan para jurulatih yang tidak mengenal penat dan berkorban masa untuk perkembangan kemenjadian murid dan kegemilangan sekolah. Syabas semua.

2 hari yang lalu kita telah mengadakan mesyuarat pertama AJK PIBG baru bagi sesi 2009/2010. Hasil daripada mesyuarat ini, AJK yang baru ini menunjukkan keinginan untuk berusaha menambahbaik pengurusan PIBG dan membantu sekolah. Ini bermakna sekolah mempunyai peluang yang baik untuk mengorak langkah ke arah kecemerlangan dengan kekuatan dan kesungguhan PIBg dan komuniti setempat. Harapan saya, apa yang diucapkan oleh En. Saridun selau YDP bahawa kita bukan hanya bermesyuarat tetapi mengambil tindakan kepada keputusan mesyuarat untuk memastikan matlamat yang kita rancang tercapai. Suatu yang menarik hasil perbincangan tersebut ialah AJK bersetuju untuk melancarkan Dana Setiap Waris RM50, bagi meningkatkan sumber kewangan PIBG. Kita berharap cadangan ini akan menjadi kenyataan dan tidak dibantah oleh ibu bapa. Sumber kewangan PIBG yang kukuh akan membolehkan pelbagai program dibuat untuk membantu sekolah. Kita harus memahami dan menyedari bahawa PIBG adalah aset kepada pembangunan dan kecemerlangan sekolah. Hal-hal dan prasangka negatif haruslah dielakkan. Kepada ibu bapa yang kurang mampu dan masih dalam lingkungan memerlukan bantuan, PIBG perlulah prihatin dengan tidak menekan mereka dari aspek sumbangan kewangan kepada tabung PIBG. Walau bagaimanapun, ibu bapa ini haruslah sedar dan sentiasa memberikan kerjasama dan sumbangan dalam bentuk sokongan moral atau tenaga untuk membantu sekolah. Saya sentiasa membuka pintu kepada semua ibu bapa untuk bersama-sama saya membangunkan sekolah ke tahap yang terbaik. Ingatlah, sekolah ini, sekolah anak2 kita, adalah sekolah kita bersama. Kita bertanggungjawab dan memegang amanah untuk memastikan ianya memberi manfaat yang besar kepada pewaris keluarga kita dan negara. Justeru, saya menyeru kepada PIBG dan semua ibu bapa, marilah kita berusaha menjadikan sekolah ini antara yang terbaik di negara kita.

Memperkatakan tentang kejayaan dan kecemerlangan, kita tidak boleh lari daripada sumber tenaga yang kita ada. Saya merasa bertuah kerana SKTI mempunyai sumber tenaga guru yang berkualiti dan terbaik. Semua kita mempunyai kekuatan dan potensi untuk membangunkan diri dan sekolah. Dalam bidang sukan, kita mempunyai kepakaran seperti Cikgu Effendi dan Rosidi antara pakar bola baling, bola sepak dan olahraga. Mereka begitu disegani rakan dan lawan. Guru-guru lain yang tidak saya sebut di sini, sebenarnya anda semua mempunyai kebolehan tersendiri yang perlu dibangun dan direalisasikan dengan perubahan dan kejayaan. Adalah sangat rugi jika kita mempunyai kehebatan dan kepakaran, tetapi kita hanyalah sekadar menjadi guru biasa seperti ratusan ribu guru yang lain di seluruh negara. Sering kali saya katakan, kita seharusnya sentiasa mencipta sesuatu yang baru, sesuatu inovasi yang outstanding yang boleh kita jadikan mementum atau 'demam' kejayaan dan kecemerlangan. Saya sangat yakin, perubahan dan kejayaan luar biasa akan menjadikan 'kegilaan' seluruh warga sekolah untuk bergerak, mengorak langkah menjadi yang terbaik.

Khamis, 23 April 2009

Terima kasih IAB

Hari ini tamat Kursus Pengurusan Perkhidmatan ICT yang saya hadiri. Lima hari di sini, banyak manfaatnya. Selain daripada dapatan kursus, saya dapat rakan2 GB baru dari seluruh tanah air. Ada yang baru berjinak2 dengan ICT, baru daftar emel, baru nak belajar buat blog dan ada juga yang hebat, seperti Hj. Sharkawi GB SK Peserai, Batu Pahat, Johor yang jauh lebih advance ilmu ICt dan juga fotografi. Dengan pengalaman 6 bulan di sini ketika kursus NPQH, saya mengenali banyak pensyarah dan staf IAB, sehinggakan saya boleh bermain badminton dan bersantai dengan mereka di restoran di Gohtong Jaya. 2 petang saya berkesempatan bermain badminton di gelanggang di mana Allahyarham Dato Razali jatuh dan membawa kepada kematiannya. Rakan2 staf dan pensyarah yang hebat bermain badminton seperti En. Shafei, Dr. Rafi, En. Idaris dan Cikgu Wan yang baru dilantik sebagai pensyarah di IAB sangat mesra dengan saya sehinggakan saya sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Begitulah senario saya di IAB. Pada saya IAB terlalu banyak jasanya kepada saya yang sudah hampir menutup buku untuk terus belajar. IABlah yang membuka lembaran baru kepada saya bukan saja mendidik saya sehingga berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan di UPSI, tetapi juga merangsang saya untuk terus belajar dan membangunkan sekolah menjadi yang terbaik. Terima kasih IAB.

Rabu, 22 April 2009

Ibu bapa prihatin

Semalam saya dikejutkan dengan emel daripada seorang ibu kepada pelajar Tahun 6 di SKTI. Saya merasa sangat gembira dan teruja dengan respon yang baik ini, lebih2 lagi melalui emel, satu kaedah komunikasi ICT pada masa kini. Wpun sesetangah pemimpin sekolah merasa takut dan curiga dengan tindakan ini, tetapi saya mengambil sikap positif kepada visi membestarikan sekolah. Ketika saya berbual dengan Pn. Junaidah bt. Thamby Hashim, GB SK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, yang merupakan antara Sekolah Bestari terbaik di negara kita, beliau sendiri pun kadang-kadang rimas dengan emel yang berbentuk komplain drp parent, walaupun komunikasi secara eletronik ini merupakan indikator kepada SSQS (Smart School Qualification Standards). Namun demikian, pada saya komplain drp orang lain adalah cermin kepada kita untuk menilai apa yang kita buat.

Perhubungan melalui eletronik hari ini tidak terbatas. Dalam proses pengurusan pendidikan di sekolah, kecanggihan ICT seharusnya dieksploitasi semaksima mungkin, kerana dunia pembelajaran dan pendidikan yang sangat luas. Jika kita sentiasa negatif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, bererti kita mundur ke belakang. Saya meletakkan satu matlamat untuk mewujudkan sekolah yang mesra pelanggan berorientasikan ICT. Ini bermakna semua komunikasi berlaku secara positif untuk menjana kemajuan masa hadapan. Sebagai contoh, suatu masa nanti ibu bapa boleh mengakses maklumat berkaitan perkembangan pembelajaran anak2 mereka melalui talian. Begitu juga sistem support pembelajaran boleh dibuat melalui e-pembelajaran dan sebagainya. Alangkah hebatnya sekolah jika berlaku begitu. Sehubungan itu saya berharap guru-guru bersedia untuk bergerak lebih maju lagi dalam bidang ICT serta menghadapi cabaran perkembangan teknologi ini dengan cara yang positif dan bermanfaat. Segala yang kita usahakan penambahbaikan dan perubahan ini adalah untuk anak2 kita dan generasi bangsa yang akan datang.

Isnin, 20 April 2009

ICT sedalam lautan

Mengenali ICT bukan bermakna hanya melihat apa yang ada di skrin komputer. Lebih daripada itu untuk mencapai tahap pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang baik tentang ICT, usaha seseorang harus dipertingkatkan melalui pembelajaran yang berterusan. Sebagai guru, usaha ini sepatutnya menjadi amalan atau budaya yang sihat dalam kehidupan dan persekitaran kerja sebagai penyempai ilmu. Kebanyakan kita mungkin hanya mengetahui dan menguasai komputer hanya pada peringkat 'luar' atau pengguna sahaja. Sedangkan pengetahuan yang luas tentang ICT bukan saja membantu dalam banyak kerja kita tetapi juga boleh membantu dari aspek penyelenggaraan serta kos yang kita tanggung. Justeru usaha meneroka dunia ICT seharusnya perlu dilakukan oleh pendidik dengan harapan mereka dapat menjadi sumber maklumat kepada para pelajar didikannya. Kita mungkin seronok menikmati dan melayari dunia secara maya tanpa menyedari di sebalik itu, terlalu banyak lagi yang kita tidak tahu tentang ICT.

Di sekolah, seharusnya murid-murid bukan saja dibimbing mengakses maklumat, tetapi juga mewujudkan perasaan ingin tahu mereka tentang 'belakang tabir' ICT itu. Mungkin satu hari nanti di kalangan murid kita, lahirnya programer, jurutera dan orang2 yang hebat menguasai ICT. Sejarah telah menunjukkan bagaimana lahirnya jutawan segera penghasil2 perisian komputer di seluruh dunia. Sebagai guru kita seharus berfikir sejauh itu. Dan mungkin anak2 kita juga mampu mencapai tahap itu, sebab dunia ICT tidak tergambar luasnya untuk diteroka seluas dan sedalam lautan yang tidak bertepi. Alangkah rugi dan tertinggalnya kita jika kemudahan yang ada di sekolah tidak diekploitasi sepenuhnya khususnya untuk pembelajaran murid dan kemajuan sekolah.

Ahad, 19 April 2009

Kembali ke IAB

Hari ini saya kembali ke IAB, sebuah institut yang banyak membantu saya mendidik dan membangunkan diri sehingga saya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan. Sesuatu yang sangat hebat dan membanggakan. Hari ini saya hadir lagi ke IAB Genting Highland ni untuk berkursus Pengurusan Perkhidmatan ICT. Wpun banyak nolstagia di sini, tetapi hadir kali ini bukanlah untuk suka2 atau berehat di kaw dingin ini. Tujuan saya adalah untuk membangun n mengkompetensikan diri dalam bidang pengurusan dan perkhidmatan ICT. Ini bertepatan dengan matlamat dan wawasan saya untuk membangunkan sekolah sebagai sekolah bestari secara berdikari. Justeru peluang kursus ini saya ambil sebaik mungkin. Harapan saya tamat kursus ini, saya memperolehi ilmu yang sangat berguna dr iab sebagaimana yang pernah saya perolehi sebelum ini.

Menariknya dalam kursus ini sebahagian pesertanya terdiri drp gb sek bestari, fasa terbaru KPM. Ini sesuatu yang sangat bermakna bagi saya untuk berkongsi maklumat dengan mereka. Kepada guru-guru skti yang mengetahui kehadiran saya di sini, harapan saya anda semua memahami aspirasi saya untuk membangunkan diri dan sekolah menjadi yang terbaik. Justeru, ruang dan peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin. Kemudahan yang ada harus dieksploitasi sepenuhnya. Semoga kita dan SKTI akan jadi yang terbaik.

Jumaat, 17 April 2009

Syabas pasukan hoki

Usaha mewujudkan sekolah berwatak dengan menjadikan sekolah bukan saja pusat pendidikan terbaik tetapi juga dapat melahirkan bakal ahli sukan negara telah menunjukkan satu permulaan yang baik. Mulai tahun ini SKTI telah merancang dan menetapkan sasaran untuk menjadi sekolah terbaik dalam sukan dan permainan. Setakad ini SKTI telah mencipta beberapa keputusan yang baik berbanding tahun2 sebelumnya. Penubuhan pasukan sekolah dalam beberapa acara sukan dengan melantik guru khas sebagai jurulatih sepenuh masa dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum lain telah menampakkan hasil yang baik. Bermula dengan kejayaan pasukan olahraga melahirkan seorang peserta lontar peluru mewakili negeri Kedah ke pertandingan Olahraga MSSM nanti, pasukan lain mula menunjukkan peningkatan. Terbaru, pasukan hoki. Wpun julung kalinya menyertai pertandingan peringkat daerah, tetapi telah berjaya menempatkan diri sebagai pemenang pingat gangsa. Ini satu kejayaan membanggakan. Syabas pasukan hoki dengan kejayaan itu yang turut dibantu En. Yaakob bekas YDP PIBG sebagai jurulatih sokongan. Ustaz Amir sebagai jurulatih, yang pada awalnya tidak yakin dengan kebolehan beliau telah menunjukkan minat yang baik terhadap sukan hoki dan pasukan yang dibentuknya. Syabas ustaz.

Pada hujung bulan ini, pasukan bola baling pula akan bertanding pada peringkat Zon Sungai Petani. Pasukan lelaki yang menjuarai Kejohanan Luar Musim peringkat daerah hujung tahun lalu, adalah pasukan favourite untuk menjadi juara. Kita harap mereka berjaya.

Berdasarkan kemudahan serta ruang waktu yang ada kita sangat berharap semua jurulatih yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik sepanjang tahun ini dan hasilnya kita akan kecapi pada kejohanan tahun depan. Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ialah; fasa-fasa latihan yang dirancang perlu diikuti sepenuhnya. Antaranya ialah fasa pemilihan pelatih, fasa latihan fizikal, fasa latihan kemahiran, fasa taktikal dan strategi dan akhir sekali adalah fasa ujian atau menguji pasukan yang dilatih. Kita akan cuba menganjurkan beberapa kejohanan secara persahabatan atau liga 4 penjuru dengan sekolah-sekolah terdekat sebagai usaha memantapkan pasukan. Bukan senang untuk mewujudkan sekolah berwatak sebagai sekolah sukan yang hebat. Ia memerlukan kesungguhan semua pihak, guru, ibu bapa dan kepimpinan sekolah. Saya sangat yakin dengan kejayaan demi kejayaan, 'demam' minat bersukan bukan saja akan ditunjukkan oleh murid-murid tetapi juga ibu bapa yang merasakan sukan merupakan aktiviti yang sihat untuk anak-anak mereka. Bersukan dan kesihatan adalah faktor penting kepada kejayaan akademik dan pembentukan sahsiah yang baik. Semoga wawasan ini akan menjadi kenyataan.

Jumaat, 10 April 2009

GB dan kepimpinan instuksional

Kepimpinan instruksional bermaksud kebolehan pemimpin untuk menjadi instruktor dalam semua aspek di dalam sebuah organisasi. Jika di sekolah, GB atau Pengetua, serta Penolong Kanan dan guru-guru kanan yang dianggap dalam kelompok pemimpin seharusnya mampu memberi tunjuk ajar dalam semua aspek pendidikan. Dalam erti kata lain, kebolehan mereka seharusnya melebihi atau lebih baik daripada guru-guru yang boleh dianggap junior drp mereka. Jikapun ada guru-guru yang lebih senior drp mereka, seeloknya pemimpin lebih tahu dan berkebolehan drp guru-guru yang dipimpinnya.

Mengurus instruksional di sekolah, bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga melampaui tugas-tugas yang tidak berkaitan dengan pendidikan, seperti pengurusan fizikal sekolah, perhubungan, penganjuran dan sebagainya. Ini bermakna, GB atau pengetua di sekolah perlu memahami dan mengetahui sebanyak mungkin hal-hal umum yang boleh membantu mereka menguruskan sekolah dengan baik. Semua tindakan dan keperihatinannya sentiasa menjadi perhatian, murid, guru, staf serta ibu bapa. Yang pentingnya adalah impak kepada sekolah secara keseluruhannya.

Pagi ini saya berkesempatan berbual dengan rakan lama (pesara guru) yang telah menceburi bidang perniagaan barang-barang sukan di sekolah. Kebetulan hari ini saya hadir ke sekolah dengan memakai pakaian sukan yang lengkap. Apa yang diutarakan oleh rakan saya ini ialah pengalaman yang dilaluinya ketika berkhidmat sebagai guru di bawah beberapa pemimpin yang berbeza-beza. Katanya, jika seorang GB atau Pengetua yang tidak berorientasikan sukan, bermakna sekolah itu tidak akan berkembang dalam bidang sukan. Daripada pemerhatiannya, mereka bukan saja tidak tahu menahu tentang sukan dan kepentingan kepada para pelajar, tetapi juga tidak akan sedikitpun mendorong guru dan pelajar untuk maju. Kalau adapun mungkin kerana minat dan kesungguhan seseorang guru. Tetapi selalunya, minat guru tadi akan luntur jika tidak ada sedikitpun dorongan dan penghargaan drp pemimpin sekolah.

Dari pemerhatian saya juga ada benarnya pendapat rakan saya tadi. Bukan saja dalam bidang sukan, dalam apapun di sekolah, jika GB atau pengetua hanya mengharapkan ianya akan berlaku atau akan dilakukan oleh guru, tanpa instruksional yang ditunjukkan pemimpin, rasanya sukar. Pengalaman saya sendiri menunjukkan kebolehan, kemahiran dan kemahuan yang tinggi daripada pemimpin akan mendorong guru-guru cuba untuk melakukan perubahan. Itupun secara beransur-ansur dan memakan masa. Apa yang ingin saya kongsikan di sini, jika kita mengharapkan perubahan yang luar biasa, kita haruslah terlebih dahulu menjadi luar biasa.

Isnin, 6 April 2009

Mari kita lakukannya

Perubahan bererti hasil daripada tindakan. Perubahan yang positif bermakna penambahbaikan daripada yang sedia ada atau pencapaian yang lepas. Jika hasil kerja kita tidak menunjukkan penambahbaikan, wpun sedikit, ini bererti kita pada kedudukan yang statik dan tidak produktif. Jika di sektor swasta, atau organisasi yang bermatlamatkan keuntungan, kita akan menghadapi masalah besar dengan stake holder atau pemilik organisasi tersebut. Kita tahu ini dan kita pernah dengar atau pernah melihat rakan2 kita disingkirkan atau dibuang kerja. Sesetengahnya memberi alasan kemelesetan ekonomi, tetapi pada dasarnya organisasi itu sudah tidak mampu bertahan dengan kerugian yang mungkin disebabkan oleh antara lainnya, kegagalan fungsi para pekerjanya. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada itu.

Saya pernah membaca buku Mandiang Lim Goh Tong, pengasas kepada Syarikat Genting Berhad yang terkenal di serata dunia itu. Dari sudut positif, kita lihat bagaimana mandiang seorang yang buta huruf, berasal dari negara China itu boleh membangunkan diri dan memberi impak yang besar kepada negara kita. Apa yang saya ingin menarik perhatian kita ialah keinginan beliau untuk berubah dan bekerja ke arah itu. Ternyata bukan sesuatu yang senang yang hanya perlu cakap dan lihat. Beliau menceritakan bagaimana beliau berjalan kaki dan mengupah juru pandu dan juru rintis untuk sampai ke puncak Genting Highland yang sekarang ini rakyat Malaysia nikmati sebagai pusat pelancongan yang tersohor itu. Banyangkan cabaran dan halangan yang beliau hadapi sehingga ada peristiwa yang hampir meragut nyawanya. Saya memberi contoh ini bukan kerana tidak ada contoh lain, tetapi kekaguman saya terhadap keinginan dan kesungguhan mandiang untuk berjaya. Jika dibandingkan dengan kita, apalah ada pada kita. Sebenarnya banyak lagi projek besar kerajaan yang kita nikmati di negara kita ini hasil kerja mandiang seperti Projek bekalan Air di Pulau Pinang, Pengairan Kemubu di Kelantan dan lain-lain lagi.

Di sekolah kita dipertanggungjawabkan untuk melahirkan insan yang sempurna sebagai warganegara masa depan. Tugas itu dilihat bukanlah sesenang ungkapan yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dan kita menerima tanggungjawab itu seadanya sejak wujudnya sekolah di negara kita. Jarang sekali kita mengukur hasil yang kita usahakan itu. Saban tahun kita bertugas seperti rutin yang tak sudah. Justeru jika didiskusikan isu ini, ia pasti menjadi polimik yang sangat besar. Kita kadang-kadang beralasan, jika semua cemerlang, siapa yang nak jadi tukang sapu dan tukang2 lainnya. Tapi pernahkah kita bertanya, anak siapakah yang kita letakkan harapan sebagai tukang2 tadi. Saya percaya kita tidak pernah memikir dan mengharapkan anak kita.

Perancangan, visi dan misi sekolah dilihat sebagai satu kertas kerja yang sudah lengkap untuk mencapai matlamat pendidikan negara. Tetapi persoalannya sejauh mana ia terlaksana dan mencapai objektifnya. Ini yang harus kita renung kembali dan mengambil tindakan yang sepatutnya mengikut keperluan, tanggungjawab dan harapan yang diletakkan. Bertangguh dan melihat apa akan terjadi, tidak akan membawa kita ke mana-mana. Hari silih berganti, dan kita seperti seadanya kita. Seruan saya, ayuhlah!, mari kita lakukannya, dan kita lihat hasilnya. C U on the top.

Ahad, 5 April 2009

Membina budaya kerja cemerlang

Untuk menjayakan visi sebagai Sekolah Cemerlang, semua aspek yang ada di sekolah perlu cemerlang. Mana mungkin sekolah akan jadi cemerlang dan terbaik jika murid, guru, kepimpinan, perkhidmatan, kemudahan dan semua yang ada di sekolah hanya pada tahap biasa sahaja. Visi akan menjadi sebagai retorik dan kata-kata manis yang tidak bermakna. Memahami dan menghayati erti kecemerlangan, semua keluarga sekolah harus menunjukkan satu sikap yang ingin berubah dan bergerak ke arah perubahan. Cemerlang bermakna terbaik daripada yang biasa dan baik. Ini bererti kita perlu meletak satu penanda aras sebagai sasaran penambahbaikan dari semua aspek. Dalam perancangan strategik, selain daripada strategi untuk menyelesai dan meleraikan isu, tahap pencapaian usaha-usaha penyelesaian tadi harus diukur mengggunakan indikator yang standard (KPI).

Pagi tadi ketika berkongsi maklumat denganseorang pensyarah Institut Perguruan Kampus Perlis yang hadir menyelia guru pelatih j-QAF, beliau sempat menceritakan salah seorang pelajar dalam kumpulannya (bukan di sekolah ini) telah menunjukkan kelainan dan kecemerlangan yang luar biasa bukan saja ketika p&p di dalam kelas tetapi juga rekod-rekod berkaitan dengan tugas dantanggungjawabnya di sekolah, sehinggakan pensyarah ini mencalonkannya sebagai guru pelatih cemerlang. Saya bukan saja terpegun tetapi dapat membayangkan bagaimana guru pelatih ini berusaha belajar untuk menjadi guru yang baik kerana saya pernah lakukan itu suatu waktu dahulu. (Saya antara guru pelatih cemerlang) Untuk menyediakan satu rancangan mengajar 40 minit, saya mengambil masa hampir 2 jam, untuk berfikir dan mencari idea bagaimana untuk menghidupkan kelas ketika sesi p&p. Ini memerlukan kesungguhan dan kreativiti. Kesungguhan dan kreativiti lahir daripada amalan, pemerhatian dan keinginan untuk menjadi lebih baik.

Budaya kerja cemerlang di sekolah merangkumi semua aspek pendidikan. Bukan saja p&p di dalam kelas, tetapi semua yang berkaitan dengan usaha untuk kita mendidik pelajar. Pelajar yang merupakan kanak-kanak, memerlukan 100% perhatian dan bimbingan guru dengan segala kemudahan dan kepakaran yang ada. Jika hanya semata-mata p&p di dalam kelas, proses kemenjadian murid tidak akan berlaku secara menyeluruh.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian semua guru dan staf bahawa apa yang sedang berlaku di SKTI masih jauh menepati sasaran atau penanda aras kecemerlangan yang kita impikan. Saya sering mengatakan kita tidak boleh hanya melihat sesuatu itu akan berlaku sebaliknya kita perlu melakukannya. Untuk melakukan perubahan ini, kita terlebih dahulu perlu mengubah cara dan budaya kita bekerja. Budaya hanya melakukan kerja rutin pada kadar biasa sahaja, hasilnya kita tidak mungkin mencapai kecemerlangan. Bayangkanlah jika perkara2 kecil yang sepatutnya kita boleh selesaikan sendiri dengan baik tetapi kita tidak prihatin dan tidak ambil peduli, ini bererti kita msih berada di takuk lama. Justeru, buatlah sesuatu yang kita tidak biasa dan tidak suka lakukannya, tetapi ia menunjukkan perubahan yang baik wpun sedikit. Ini menunjukkan kita sudah bermula dan bergerak ke hadapan. Ayuh kita cuba bersama-sama.

Sabtu, 4 April 2009

Bersama komuniti sekolah

Tengah malam tadi saya membuat kejutan menyertai rukuntetangga komuniti sekolah saya. Sebahagian yang bertugas tengah malam tadi terkejut dengan kehadiran saya sebagai tetamu dan turut mengambil kesempatan meronda bersama-sama warga Taman Emas Suria yang berjiran dengan Sekolah Kebangsaan Tunku Ismail. Sebahagian murid sekolah ini adalah penghuni taman perumahan ini. Kebetulan pengerusi rukun tetangganya, Tn. Hj. Adnan adalah kawan rapat saya. Strategi dan matlamat saya adalah untuk mengambil peluang berkenalan dengan penduduk yang sebahagian besarnya adalah ibu bapa kepada murid-murid sekolah saya serta meronda di persekitaran sekolah. Terkejut besar, jaga sekolah yang baru hendak melelapkan mata dengan kehadiran guru besar pada awal pagi itu.

Bukan senang untuk memdapat peluang begini. Wpun jarak antara rumah saya dengan sekolah dan Taman Mas suria ini hampir 15km, tetapi kesempatan itu saya ambil untuk mendekati ibu bapa serta kejiranan sekolah yang saya pimpin. Kalau saya seorang diri untuk sesekali memantau keberkesanan jaga sekolah pada waktu malam, rasanya sukar untuk dilaksanakan. Justeru peluang ini saya ambil agar kehadiran saya tidaklah sebagai 'mengganggu'. Alhamdulilah, saya mendapat respon yang sangat baik daripada sebahagian ahli rukun tetangga yang bertugas tengah malam tadi, juga jaga sekolah saya walaupun agak terkejut dengan kehadiran saya. Dalam perbualan kami, terdapat juga beberapa perkara yang disentuh berkaitan sekolah. Antaranya hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan murid dan sekolah. Keseluruhannya menampakkan sesuatu yang sangat positif. Mereka ternyata mengharapkan penambahbaikan dalam semua aspek pendidikan termasuk kepimpinan sekolah dan PIBG.

Daripada pengalaman saya ini, saya sangat berharap semua guru memgambil kesempatan dalam apa keadaan, untuk mendekati ibu bapa dan bekerjasama ke arah membina pasukan pendidik yang mantap. Sindrom prajudis antara satu sama lain haruslah dielakkan dan saling memahami tanggungjawab sebagai guru dan ibu bapa. Kepada rakan2 ibu bapa yang membaca tulisan saya ini, sukalah saya katakan di sini, antara guru dan ibu bapa sangat memerlukan kerjasama yang hebat untuk melahirkan para pelajar yang hebat dan membina sekolah yang cemerlang. Kita semua bertanggungjawab membina generasi masa hadapan keluarga dan negara.

Rabu, 1 April 2009

Memanfaatkan kemudahan ICT

Sudah hampir 2 bulan SKTI menggunakan sistem wifi intenet di seluruh kawasan sekolah. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan sistem perhubungan dan kominikasi lebih berkesan dan efisien sesuai dengan perkembangan teknologi semasa. Selain itu juga matlamat sekolah adalah untuk meningkatkan keupayaan e-pentadbiran, e-pembelajaran dan sebagainya. Dengan kata lain, kemudahan intenet tanpa wayer ini bukanlah untuk suka-suka atau hanya untuk menyatakan kepada orang lain bahawa kita lebih kehadapan. Justeru saya mengajak guru-guru untuk memahami aspirasi saya untuk meletakkan sekolah kita antara sekolah yang 'out standing' dari pelbagai aspek dan seterusnya menjadikan sekolah ini sebagai sekolah cemerlang. Dan kitalah orang-orang yang cemerlang itu. Wawasan saya untuk melihat satu hari nanti berlaku komunikasi yang baik antara kita dan pelanggan kita (ibu bapa dan murid) dari aspek bukan saja pembelajaran tetapi juga perkongsian dan kerjasama yang bijak dalam dunia pendidikan. Untuk membolehkan kita memberikan tawaran terbaik kepada para pelanggan tentang perkhidmatan sekolah melalui talian, kita seharusnya bersedia dari semua aspek ICT. Malalui laman web sekolah, buletin eletronik, blog2 guru, capaian pendidikan dari sumber pembelajaran global seharusnya disedia dengan baik. Jadi saya sangat berharap guru-guru memperkembangkan kebolehan untuk bukan saja menguasai kemahiran mencari maklumat dan berkomunikasi, tetapi juga menyediakan bahan dan sumber pembelajaran kepada para pelajar. Sebagai contoh, guru-guru boleh menyediakan e-tuisyen kepada murid2 secara pakej serta merangsang dan membimbing pelajar untuk mengakses maklumat pembelajaran.

Daripada pemerhatian saya, kita sebenarnya boleh, tetapi kemahuan kita belum cukup kuat untuk menterjemahkan hasil kerja yang proaktif dan inovatif. Dalam dunia hari ini, sepatutnya kita lebih terbuka dan berani untuk mencuba tanpa menunggu arahan yang menekan atau memaksa kita melakukannya. Saya sentiasa mengambil sikap terbuka dan ingin melihat guru-guru melakukan sesuatu 'kejutan' dalam menghasilkan tugasan yang kita sendiri rangka tanpa rasa tertekan dan membosankan. Pada saya, bekerja secara rutin dan konvensional sangat merugikan kita walaupun kita tetap mendapat imbuhan bulanan.

Semua guru telah kita sediakan email sendiri bagi memboleh kita berhubung antara satu sama lain secara eletronik dan moden. Wpun mungkin di kediaman kita tidak tersedia kemudahan ini, tetapi di sekolah, kita boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan. Setiap hari saya membuka email saya untuk melihat komunikasi antara saya dan guru-guru khsususnya dalam hal-hal yang melibatkan tugasan kita berlaku. Namun sehingga hari ini, saya dapati kita masih tidak mengambil kesempatan ini, sebaliknya kita masih dipengaruhi budaya kerja lama yang lambat dan negatif. Kadang2 timbul persoalan di hati saya, apakah perlu saya menekan atau memaksa guru-guru untuk berbuat demikian? Jauh di sudut hati saya menjawab, saya lebih selesa ianya terjadi dengan keinginan dan keikhlasan guru itu sendiri untuk membuat perubahan. Kita punya banyak masa sebenarnya jika kita mahu belajar dan mencuba sesuatu yang baru sebab setiap hari waktu kerja kita masih memberi kesempatan untuk kita 'stay back' bersama rakan2 untuk belajar sekurang-kurang beberapa perkara baru berkaitan ICT dan yang berkaitan dengannya. Bayangkanlah, jika ibu bapa dan para pelajar boleh berintraksi dengan kita secara maya berkaitan urusan pembelajaran. Pastinya ia menjadi suatu perubahan yang sangat cemerlang kepada sekolah biasa ini. Saya masih terkenang ketika saya mula2 mengenal komputer sekitar hujung 80an di SMK Jalan San Peng, Kuala Lumpur. Wpun saya masih belum mahir menekan keyboard, tetapi kerana wawasan yang ada, dengan kebolehan hebat murid-murid saya, kami telah berjaya menghasilkan 'libary menagement system' di Pusat Sumber Sekolah. Semua urusan perpustakaan dan PSS diuruskan menggunakan komputer. Saya bertuah pada waktu itu, murid Cina begitu pandai komputer sehingga mereka mampu menjadi progremer. Hal ini telah menarik perhatian KPP Unit Teknologi Pendidikan, JPN Wilayah Persekutuan ketika itu, menjadikan PSS sekolah itu antara yang terbaik di Kuala Lumpur. Inilah yang dinamakan inovasi, menghasilkan sesuatu yang baru dengan kemudahan yang baru. Ini yang seharusnya berlaku, bukan saja di sekolah ini tetapi di semua sekolah di seluruh negara. Kebolehan guru dalam ICT sepatutnya bukan untuk 'syok sendiri' tetapi untuk dikongsi dan dimanfaat kepada murid dan sekolah.

Harapan saya, dengan kemudahan yang ada, seperti makamal ICT, Pusat Akses, Peralatan ICT (PPSMI) dan kemudahan capaian internet, seharusnya akan berlaku 'perubahan' di SKTI sebagai jalan mencapai visi dan misi sekolah. Jumpa anda di puncak kejayaan.