Ahad, 9 Mei 2010

Kanak-kanak

Kalau di sekolah rendah, semua pelajarnya kanak-kanak. Memahami jiwa dan naluri kanak-kanak sebenarnya lebih menyenangkan daripada memikirkan hal-hal kita. Senangnya hati sebagai seorang kanak-kanak, sentiasa riang dan gembira dengan pelbagai kerenah wpun kadang-kadang mencabar kita orang dewasa. Sebagai guru di sekolah rendah, tugas paling utama adalah memahami jiwa dan naluri kanak-kanak. Tanpa kefahaman dan menjiwai kanak-kanak, tugas kita menjadi agak kekok dan sukar mencapai matlamat memberi didikan dan pelajaran. Atas keperluan inilah, sebelum menjadi guru, kita belajar ilmu psikologi tentang kanak-kanak. Di sekolah, P&P yang paling berkesan adalah yang berasaskan keperluan kanak-kanak, bukan keperluan kita orang dewasa. Tidak rugi dan tidak berkurangnya ilmu di dada jika kita mengubah personaliti dan berada di alam kanak-kanak ketika mengajar. Perkara yang paling digemari kanak-kanak adalah bermain dan bersuka ria bersama rakan-rakan. Jadi sebagai guru, kita harus bijak 'bermain' dan bersuka ria sambil mengajar dan belajar.