Khamis, 24 Februari 2011

Pendidikan Undang-undang

Pendidikan merupakan keperluan sejagat. Hasil pendidikan mencerminkan keperibadian, cara hidup seseorang dan pembangunan sesebuah negara. Pendidikan tidak pernah sunyi dengan pelbagai isu bergantung kepada keperluan semasa dan keperluan pemerintah. Baru-baru ini isu pendidikan sex di sekolah tidak kurang juga hebatnya diperkatakan umum. Seperti biasa ada pro dan kontranya.

Jika memperkatakan tentang pendidikan, memang terlalu banyak yang boleh kita diskusi. Jika di universiti, sehingga belajar ke peringkat phd pun, kita tidak pernah habis dengan polimik pendidikan. Apapun pendidikanlah yang membentuk jiwa dan negara. Saya ingin memperkatakan tentang jiwa dan pendidikan kita di Malaysia masih tidak cukup ampuh dengan pelbagai ilmu yang boleh membentuk kekuatan dan kehebatan negara. Sebagai contoh, kita tidak dibimbing mempertahankan hak di sisi undang-undang. Kita diajar cukup sekadar membayar kompaun untuk mendidik kita agar tidak melakukan kesilapan. Walhal kita mempunyai hak yang cukup besar mempertahan bahawa kita tidak bersalah sehingga terpaksa membayar sejumlah wang yang kadang-kadang terlalu menekan. Saya ingin menarik perhatian pembaca, bagaimana kita berduyun-duyun hadir memjelaskan bayaran kompaun di balai polis trafik sebelum tamat tarikh diskaun 50% yang dijanjikan. Paling berkesan tektik itu apabila JPJ turut serta menyenarai hitamkan dengan tidak membenarkan kenderaan diperbaharui cukai jalan. Kesannya hampir semua rakyat yang mempunyai kenderaan kelam kabut seperti dunia akan kiamat 28 Februari 2011. Saya juga salah seorang yang berbuat demikian setelah cukai jalan kereta tidak dapat diperbaharui. Senangnya mereka menetapkan peraturan dan undang-undang kepada kita yang, seperti buta undang-undang ini. Benar, kita buta undang-undang dan sering dimomokkan dengan tekanan bahawa mahkamah itu sesuatu yang menakutkan walaupun mahkamah itu adalah tempat yang paling mulia untuk menegakkan kebenaran. Mahkamahlah tempat terakhir yang menentukan sama ada kita perlu membayar denda atau tidak. Mahkamahlah yang berhak menjatuhkan hukuman. Bukan seorang anggota polis yang bongkak dan sombong dengan sedikit kuasa menulis sehelai kertas saman atau duduk tersorok di bawah-bawah jambatan dengan teropong ajaib yang tidak pernah diperakukan oleh SIRIM atau mana-mana badan pengesahan kualiti dan kesahan peralatan yang digunakan. BAYANGKAN jika berduyun-duyun yang hadir membayar kompaun saman itu hadir di mahkamah, saya sangat yakin polis dan sesiapa saja tidak berani sewenang-wenangnya menuduh kita salah itu dan ini.

Sebagai guru saya terpanggil jika boleh ingin mendidik anak-anak tentang undang-undang dan hak mepertahankan diri ini. Undang-undang untuk mempertahan hak dan kesejahteraan awam bukannya dengan tujuan menindas dan menekan. Di sekolah kita tidak pernah mengajar untuk mempertahankan hak bahawa kita tidak bersalah. Mungkin ini satu idealogi agar kita senang ditindas dan ditekan mengikut telunjuk dan matlamat tertentu.

Saya mempunyai seorang sahabat yang mempunyai pengalaman yang sangat banyak berhadapan dengan polis di mahkamah dalam isu-isu kesalahan lalu lintas. Bermula dengan memenangi perbicaraan di mahkamah satu kes tuduhan memandu melebihi had laju, sahabat saya ini menjadi begitu berani mencabar polis di mahkamah. Sehinggakan di dalam kereta buruknya mempunyai satu fail khas, berkaitan saman dan perbicaraan di mahkamah. Setiap kali beliau cuba disaman, beliau menunjukkan sejumlah saman yang menunggu giliran perbicaraan di mahkamah dan sejumlah besar kes yang beliau menang. Hal ini mengakibatkan anggota polis merasa takut dan tidak yakin untuk berhadapan dengan sahabat saya ini di mahkamah. Siapa sahabat saya ini, peguamkah, pembesar negerikah atau kerabat di raja? Tidak, beliau hanya orang biasa bahkan tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi mempunyai semangat yang kuat untuk mempertahankan diri walaupun keseorangan. Paling menarik, sehingga kini beliau saya kira lebih tahu undang-undang daripada seorang anggota polis yang sewenang-wenangnya menulis surat saman kepada kita.

Jadi, bayangkan jika pendidikan undang-undang kita ajar kepada anak-anak kita di sekolah. Mereka tidaklah jadi tertekan macam kita sehingga berhutang duit semata-mata untuk menjelaskan saman. Seperkara lagi, kita sebenarnya mementingkan diri tidak bersatu.