Rabu, 30 November 2011

Sayang Langkawi

Setelah hampir 2 tahun kali terakhir saya ke Langkawi, kelmarin saya kembali ke pulau lagenda itu kerana sedikit tugas rasmi. Banyak juga perubahan Langkawi sekilas pandang dari sudut pembangunan dan kehidupan di sana. Lebih maju, itu yang boleh dirumuskan. Ada juga rasa sedikit bangga, kerana kebanyakan masyarakat di pulau ini adalah bumiputra, Melayu. Namun, dalam kamus kemajuan, orang Melayu masih ketinggalan, walaupun Haji Ismail Group antara nama saudagar besar di Langkawi yang sudah mampu menjenamakan sebahagian produk dengan nama syarikatnya, HIG. 2 hari saya di pulau lagenda ini, terasa ada benarnya pulau ini pulau pelancongan. Kesibukan di jalan raya, di gedung2 membeli belah dan jeti pintu keluar masuk, rasanya hebat juga sambutan para pelancong dari dalam dan luar negara. Ini sesuatu yang baik kepada negara dan Pulau Langkawi khususnya. Namun dicelah-celah perubahan pembangunan dan pemodenan pulau ini, saya rasa ada sedikit perkara yang perlu diberi perhatian khususnya oleh kerajaan dan warga Pulau Langkawi. Ketika jalan-jalan dengan rakan2 di sekitar kawasan membeli-belah, saya dan rakan-rakan terkejut besar (walaupun ada seronoknya sebagai seorang lelaki) apabila terlihat 2 orang gadis Mat Saleh hanya mengenakan coli dan seluar dalam (swiming suit) sahaja, jalan2, mundar-mandir shopping. Jadi bayangkanlah jika kita bersama keluarga dan anak-anak melihat situasi begini di negara kita, apa yang harus kita jawab jika ada pertanyaan daripada anak-anak kita. Saya rasa semua pihak bertanggungjawab dalam soal ini lebih-lebih lagi Kerajaan Tempatan (Majlis Daerah Langkawi) serta penguatkuasa tatasusila negara kita termasuk, jabatan agama, polis dan lain-lain jabatan yang berkenaan. Pada saya mereka ini harus ditahan (bukan sebagai pesalah jenayah) tetapi untuk memberi nasihat dan memperjelaskan peraturan dan tatasusila kehidupan masyarakat kita. Sudah banyak perkara negatif yang kita dengar yang sudah mempengaruhi penduduk tempatan Langkawi. Antaranya, kanak2 sudah pandai meminum minuman keras kerana pada awalnya hanya memungut tin2 bekas minuman keras di pantai pantai untuk dijual mencari wang belanja sekolah, mereka mencuba-cuba merasa air minuman yang berbaki dalam tin-tin yang ditinggalkan. Ditambah dengan harga minuman keras hanya sekitar 80sen setin di pulau bebas cukai ini, anak-anak ini sudah mula ketagih dan menjadi satu kebiasaan kepada mereka. Jadi, fikir2kanlah ke mana hala tuju Langkawi dan kita semua.