Isnin, 19 Mac 2012

Kebahagiaan

Sudah begitu lama ruangan ini sepi. Entah dari mana datangnya keinginan untuk menukil sedikit tinta yang kesepian.Saya terbaca secebis perkongsian tentang 'Kebahagiaan' oleh Ustaz Azmi Fajri Osman, ustaz muda di Kota Banda Aceh ketika kali kedua saya berkunjung ke sana. Artikel pendek yang saya temui dalam mobilnya ketika beliau membawa saya dan para sahabat ngopi di sudut kota yang damai itu, saya merasa perlu juga saya berkongsi di sini untuk rakan2 yang mungkin membacanya. Menurut beliau, para malaikat telah berdebat, di mana harus diletakkan 'kebahagiaan' untuk dinikmati oleh manusia seluruhnya. Malaikat pertama mengusulkan supaya kebahagiaan itu diletakkan di puncak gunung. Para malaikat sekalian tidak bersetuju. Lalu ada pula yang mengusulkan agar diletakkan di dasar Samudra. Juga tidak dipersetujui oleh sekalian malaikat. Lalu di mana sebenarnya 'kebahagiaan' itu? DI HATI YANG BERSIH.

Rabu, 30 November 2011

Sayang Langkawi

Setelah hampir 2 tahun kali terakhir saya ke Langkawi, kelmarin saya kembali ke pulau lagenda itu kerana sedikit tugas rasmi. Banyak juga perubahan Langkawi sekilas pandang dari sudut pembangunan dan kehidupan di sana. Lebih maju, itu yang boleh dirumuskan. Ada juga rasa sedikit bangga, kerana kebanyakan masyarakat di pulau ini adalah bumiputra, Melayu. Namun, dalam kamus kemajuan, orang Melayu masih ketinggalan, walaupun Haji Ismail Group antara nama saudagar besar di Langkawi yang sudah mampu menjenamakan sebahagian produk dengan nama syarikatnya, HIG. 2 hari saya di pulau lagenda ini, terasa ada benarnya pulau ini pulau pelancongan. Kesibukan di jalan raya, di gedung2 membeli belah dan jeti pintu keluar masuk, rasanya hebat juga sambutan para pelancong dari dalam dan luar negara. Ini sesuatu yang baik kepada negara dan Pulau Langkawi khususnya. Namun dicelah-celah perubahan pembangunan dan pemodenan pulau ini, saya rasa ada sedikit perkara yang perlu diberi perhatian khususnya oleh kerajaan dan warga Pulau Langkawi. Ketika jalan-jalan dengan rakan2 di sekitar kawasan membeli-belah, saya dan rakan-rakan terkejut besar (walaupun ada seronoknya sebagai seorang lelaki) apabila terlihat 2 orang gadis Mat Saleh hanya mengenakan coli dan seluar dalam (swiming suit) sahaja, jalan2, mundar-mandir shopping. Jadi bayangkanlah jika kita bersama keluarga dan anak-anak melihat situasi begini di negara kita, apa yang harus kita jawab jika ada pertanyaan daripada anak-anak kita. Saya rasa semua pihak bertanggungjawab dalam soal ini lebih-lebih lagi Kerajaan Tempatan (Majlis Daerah Langkawi) serta penguatkuasa tatasusila negara kita termasuk, jabatan agama, polis dan lain-lain jabatan yang berkenaan. Pada saya mereka ini harus ditahan (bukan sebagai pesalah jenayah) tetapi untuk memberi nasihat dan memperjelaskan peraturan dan tatasusila kehidupan masyarakat kita. Sudah banyak perkara negatif yang kita dengar yang sudah mempengaruhi penduduk tempatan Langkawi. Antaranya, kanak2 sudah pandai meminum minuman keras kerana pada awalnya hanya memungut tin2 bekas minuman keras di pantai pantai untuk dijual mencari wang belanja sekolah, mereka mencuba-cuba merasa air minuman yang berbaki dalam tin-tin yang ditinggalkan. Ditambah dengan harga minuman keras hanya sekitar 80sen setin di pulau bebas cukai ini, anak-anak ini sudah mula ketagih dan menjadi satu kebiasaan kepada mereka. Jadi, fikir2kanlah ke mana hala tuju Langkawi dan kita semua.

Rabu, 27 Julai 2011

EPDC Aceh Pasca Tsunami









Pada 13 - 16 Julai 2011, Majlis Guru Besar Kuala Muda 2, Sungai Petani Kedah telah berkunjung ke Banda Aceh dalam misi Lawatan Hubungan Sekolah Antarabangsa. Berikut, beberapa gambar yang sempat dirakam untuk kenang-kenangan.

Gambar 8. Kapal LTD APUNG adalah Kapal Janakuasa Letrik sebesar dua x ganda bangunan sekolah 3 tingkat ini dibawa ombak Tsunami sejauh 5km ke daratan.

Gambar 7. Di Muzium Tsunami Aceh. Katanya satu pembaziran yang dibuat oleh kerajaan pusat. Bentuk dan nilai yang berlipat ganda.

Ganbar 6. Rombongan kami.

Gambar 5. Bersama Azmi Fajri (kiri), anak muda yang menjadi tour leader yang sangat baik dan hebat

Gambar 4. Bersama anak-anak sekolah SD Negeri 47 Percontohan, anatara sekolah rendah terbaik di Banda Aceh.

Gambar 3. Bersama Ibu Elleza, timbalan Walikota, Banda Aceh ketika lawatan rasmi ke Dinas Walikota.

Gambar 2. Bergambar beramai-ramai bersama Ibu Ileza Timbalan Walikota dan Bapak Kepala Dinas Pendidikan Banda Aceh.

Gambar 1. Di Masjid Baitullrahim, antara masjid yang tidak musnah ketika Tsunami walaupun hanya lebihkurang 200meter dari laut dan pantai yang paling dahsyat dilanda Tsunami.

Jumaat, 24 Jun 2011

Khamis, 24 Februari 2011

Pendidikan Undang-undang

Pendidikan merupakan keperluan sejagat. Hasil pendidikan mencerminkan keperibadian, cara hidup seseorang dan pembangunan sesebuah negara. Pendidikan tidak pernah sunyi dengan pelbagai isu bergantung kepada keperluan semasa dan keperluan pemerintah. Baru-baru ini isu pendidikan sex di sekolah tidak kurang juga hebatnya diperkatakan umum. Seperti biasa ada pro dan kontranya.

Jika memperkatakan tentang pendidikan, memang terlalu banyak yang boleh kita diskusi. Jika di universiti, sehingga belajar ke peringkat phd pun, kita tidak pernah habis dengan polimik pendidikan. Apapun pendidikanlah yang membentuk jiwa dan negara. Saya ingin memperkatakan tentang jiwa dan pendidikan kita di Malaysia masih tidak cukup ampuh dengan pelbagai ilmu yang boleh membentuk kekuatan dan kehebatan negara. Sebagai contoh, kita tidak dibimbing mempertahankan hak di sisi undang-undang. Kita diajar cukup sekadar membayar kompaun untuk mendidik kita agar tidak melakukan kesilapan. Walhal kita mempunyai hak yang cukup besar mempertahan bahawa kita tidak bersalah sehingga terpaksa membayar sejumlah wang yang kadang-kadang terlalu menekan. Saya ingin menarik perhatian pembaca, bagaimana kita berduyun-duyun hadir memjelaskan bayaran kompaun di balai polis trafik sebelum tamat tarikh diskaun 50% yang dijanjikan. Paling berkesan tektik itu apabila JPJ turut serta menyenarai hitamkan dengan tidak membenarkan kenderaan diperbaharui cukai jalan. Kesannya hampir semua rakyat yang mempunyai kenderaan kelam kabut seperti dunia akan kiamat 28 Februari 2011. Saya juga salah seorang yang berbuat demikian setelah cukai jalan kereta tidak dapat diperbaharui. Senangnya mereka menetapkan peraturan dan undang-undang kepada kita yang, seperti buta undang-undang ini. Benar, kita buta undang-undang dan sering dimomokkan dengan tekanan bahawa mahkamah itu sesuatu yang menakutkan walaupun mahkamah itu adalah tempat yang paling mulia untuk menegakkan kebenaran. Mahkamahlah tempat terakhir yang menentukan sama ada kita perlu membayar denda atau tidak. Mahkamahlah yang berhak menjatuhkan hukuman. Bukan seorang anggota polis yang bongkak dan sombong dengan sedikit kuasa menulis sehelai kertas saman atau duduk tersorok di bawah-bawah jambatan dengan teropong ajaib yang tidak pernah diperakukan oleh SIRIM atau mana-mana badan pengesahan kualiti dan kesahan peralatan yang digunakan. BAYANGKAN jika berduyun-duyun yang hadir membayar kompaun saman itu hadir di mahkamah, saya sangat yakin polis dan sesiapa saja tidak berani sewenang-wenangnya menuduh kita salah itu dan ini.

Sebagai guru saya terpanggil jika boleh ingin mendidik anak-anak tentang undang-undang dan hak mepertahankan diri ini. Undang-undang untuk mempertahan hak dan kesejahteraan awam bukannya dengan tujuan menindas dan menekan. Di sekolah kita tidak pernah mengajar untuk mempertahankan hak bahawa kita tidak bersalah. Mungkin ini satu idealogi agar kita senang ditindas dan ditekan mengikut telunjuk dan matlamat tertentu.

Saya mempunyai seorang sahabat yang mempunyai pengalaman yang sangat banyak berhadapan dengan polis di mahkamah dalam isu-isu kesalahan lalu lintas. Bermula dengan memenangi perbicaraan di mahkamah satu kes tuduhan memandu melebihi had laju, sahabat saya ini menjadi begitu berani mencabar polis di mahkamah. Sehinggakan di dalam kereta buruknya mempunyai satu fail khas, berkaitan saman dan perbicaraan di mahkamah. Setiap kali beliau cuba disaman, beliau menunjukkan sejumlah saman yang menunggu giliran perbicaraan di mahkamah dan sejumlah besar kes yang beliau menang. Hal ini mengakibatkan anggota polis merasa takut dan tidak yakin untuk berhadapan dengan sahabat saya ini di mahkamah. Siapa sahabat saya ini, peguamkah, pembesar negerikah atau kerabat di raja? Tidak, beliau hanya orang biasa bahkan tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi mempunyai semangat yang kuat untuk mempertahankan diri walaupun keseorangan. Paling menarik, sehingga kini beliau saya kira lebih tahu undang-undang daripada seorang anggota polis yang sewenang-wenangnya menulis surat saman kepada kita.

Jadi, bayangkan jika pendidikan undang-undang kita ajar kepada anak-anak kita di sekolah. Mereka tidaklah jadi tertekan macam kita sehingga berhutang duit semata-mata untuk menjelaskan saman. Seperkara lagi, kita sebenarnya mementingkan diri tidak bersatu.

Rabu, 26 Januari 2011

Mampukan PTD mengurus sekolah?

PTD nak masuk sekolah. Itu ugutan KPM kepada kita kononnya jika kita(GB) tak mengajar PTD nak mintak masuk sekolah. Konon-kononnya juga, kita tak pandai mengurus. Aku nak cabar mana-mana PTD yang berhasrat nak jadi GB, mai sekolah aku. Kita tukaq sat, hang duduk tempat aku, aku pi duduk tempat hang. Sembang besaq. Ada banyak bukti, PTD pun tak tagha mana mengurus. Mai aku nak cerita, sekolahlah satu-satunya jabatan yang dilonggok macam-macam kerja yang tak sepadan dengan sumber tenaga yang ada. Segala-galanya atas kepala GB. PTD ada mengaji kat U, bagaimana mengurus sekolah di Malaysia? kalau takdak, toksah dok sembang. Sekolah, pada aku hari ni, tak jauh beza dari Pejabat Pos, macam-macam masuk. Tapi yang beza sikit dengan pejabat pos, depa boleh kutip macam2 komisyen. Tapi di sekolah, suruh buat keja macam-macam, alaun GB lebih rendah daripada elaun motosikal Pembantu Am Rendah. Buat keja sampai tak boleh nak senarai. Atas meja GB ada macam-macam, buat hak nu, hak ni tinggai. Mai pegawai PPD/JPN semua tak kena pada mata depa. Hangpa dok di sana buat satu keja, boleh la. Itupun tak master. Kalu kami pun nak cari salah hangpa, belambak. Berbalik kepada keinginan sangat PTD nak masuk mengurus sekolah ni, aku ta heran sikitpun. Mai la, la ni jugak aku sedia berundur. Ni yang terbaru, dengaq cerita sekolah kena buat bilik khas nak simpan SUSU, projek susu sekolah. Kononnya tak bagi susu rosak. Nak kena buat peti sejuk kot. Aku nak tanya PTD yang nak masuk sekolah, hang nak ambik duit mana nak buat 'peti sejuk'? Bukan depa bagi peruntukan. Suruh kita buat mcm2, tapi, orang kedah kata, duit skepiang pun takdak. La ni aku dok plan, kalu sampai susu kat sekolah aku ni, aku nak bagi budak2 minum susu habih hari tu jugak. Biaq depa kembong dengan susu segar. Aku taknak cari penyakit, dok simpan susu, sebab di sekolah aku ni, simpan apapun tak selamat. Jadi, nak tanya PTD2 yang berhasrat nak jadi pengurus sekolah, boleh ke hangpa mengurus sekolah yang tak cukup macam2. Kepada rakan2 yang singgah membaca, sorylah, emosi sikit.

Ahad, 9 Januari 2011

Sebuah Perkahwinan

Penghujung tahun lepas perkahwinan seorang sahabat menuju penghujungnya. Walaupun usia ikatan murni itu masih baru dan baru juga dikurniakan cahaya mata, namun kekusutan sudah sukar terlerai lagi. Seorang lelaki, walaupun sudah beristeri, keinginan terhadap wanita lain sudah menjadi lumrah dan sangat normal. Tiada salahnya dari segi hukum selagi ia tidak melakukan kemungkaran. Lumrah juga wanita, seorang isteri, pastinya cuba mempertahankan lelaki yang dikahwininya itu, hanya miliknya sampai mati. Tidak mungkin dia bermadu dan berkongsi hak dengan kaum sejenisnya. Namun langit tidak selalu cerah. Akhirnya, rumah tangga sahabatku ini runtuh dek keanggkuhan seorang wanita kononnya hanya dia berhak menentukannya. Seorang suami yang cuba mempertahankan istana kasih sayang isteri dan anak kecilnya, diseret ke mahkamah syariah untuk dipaksa melafazkan cerai. Ini sesuatu yang jarang berlaku. Keangkuhan seorang isteri yang disokong keluarganya, kononnya takut suami menikahi perempuan lain, telah mengakibatkan istana perkahwinan runtuh, hancur berderai.

Puas. Puas. Itukah yang dirasainya? Tuhan maha adil, dan Dialah penentu segalanya. Genap selepas edah, khabarnya bekas isteri sahabat saya ini sudah berpunya, mendapat suami yang baru. Saya tidak tahu adakah ini suami idamannya. Saya agak terkejut dan sangat bersimpati bukan saja kepada sahabat saya ini, tetapi juga kepada seorang ibu muda yang kononnya tidak mungkin hidup bermadu, kini bergelar isteri ketiga. Anehnya hati seorang wanita. Tetapi itu kata kita, mungkin pada dia, suami barunya adalah payung emas kepadanya di syurga. Paling menyedihkan sang suami barunya itu adalah kononnya menjadi kaunselor rumahtangga dan agama kepadanya ketika rumahtangganya dengan sahabat saya sedang bergelora. Bayangkanlah, dan fikir-fikirkan kenapa ini terjadi. Kepada sahabat saya, betul kata anda, terlalu banyak pilihan di luar sana, dan anda semakin matang.

Ahad, 2 Januari 2011

Antara Kita dan China

Beberapa bulan lepas, ketika saya berkuliah dengan seorang prof di UPSI, dalam diskusi kami, pandangan prof tentang negara kita dan China, ternyata negara China sudah jauh mendahului kita. China sudah menjadi negara pengeluar pelbagai produk terbesar di dunia. Kalau dulu, hanya Jepun dianggap negara pengeluar dan negara maju yang dominan terutama dalam pengeluaran barangan eletronik. Tapi hari ini, hampir semua produk mampu bukan saja dikeluarkan oleh China tetapi berjaya menandingi dari aspek kualiti dan enovasi. Sehinggakan banyak pasaraya barangan murah wujud di negara kita, hasil daripada perkembangan ekonomi China yang pesat. Kita boleh memilih, mahu yang berjenama atau yang murah tetapi tidak kurang kualitinya. Jadi, kita bagaimana sebenarnya? Pandangan prof tadi, katanya kita masih kekal sebagai negara pengguna, walaupun kita tidak kurang cerdik pandai yang mampu mencipta atau mereka produk baru, namun situasi di negara kita, masih tidak berada pada era penciptaan. Jika satu ketika dulu, banyak pelabur asing datang ke nagara kita dengan membawa teknologi penghasilan produk, tetapi perubahan budaya hidup mewah menyebabkan kos hidup dan kos buruh meningkat. Hal ini, menyebabkan pelabur asing menukar haluan ke nagara-negara sedang membangun termasuk China. Jadi, apa yang tinggal dan ada pada kita hari ini, hanyalah cakap-cakap besar bahawa kita akan menjadi negara maju. Dua hari yang lepas, saya berbual dengan seorang sahabat warga emas, berbangsa China (rakyat kita), katanya, dia sangat terkejut, ketika dia melawat China 20 tahun yang lalu, negara China ternyata ketinggalan 20 tahun dari aspek pembangunan jika dibandingkan dengan negara kita. Tetapi hari ini, China sudah meninggalkan kita hampir 20 tahun ke depan. Perbualan kami diteruskan dengan pelbagai leteran sahabat saya ini, bahawa di negara kita, pemimpin hanya pandai bercakap untuk politik semata-mata. Saya agak tergamam, kerana daripada kata-kata beliau dengan pelbagai bukti, ternyata ada benarnya. Dari pengalaman saya kenal rakan2 tauke bisnes kaum China di negara kita, kadang-kadang kata-kata dan ramalan mereka dalam perkembangan negara banyak yang betul dan berasas. Jadi, persoalannya, di mana dan ke mana kita sebenarnya?

Sabtu, 25 Disember 2010

Persediaan Sesi Persekolahan 2011

Alhamdulillah diberi kesihatan dan kekuatan sehingga persiapan untuk sesi persekolahan 2011 berjalan lancar. Perancangan Pelan Tindakan Strategik Sekolah 2011 telah dapat disiapkan sebelum Mesyuarat Guru 1/2011 pada 19 Disember 2011. Dua minggu menjelang buka sekolah, SKTI sudah mula membuat pelbagai persediaan. Mesyuarat Guru, Mesyuarat Kurikulum dan Mesyuarat Panitia MP sudah dan sedang berlangsung. 29 Dis, mesyuarat HEM 1/2011 dan 30 Dis, Majlis Pendaftaran Tahun 1/2011 dan gotong royong Budaya Buka Sekolah. Terima kasih dan syabas kepada guru-guru kerana sudah 'kembali' ke sekolah. Semoga tahun 2011 akan memberi impak yang lebih besar kepada sekolah dalam usaha mencapai visi Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang 2015.

Khamis, 23 Disember 2010

Terus menulis

Menulis satu hobi menarik bagi sesetengah orang dengan pelbagai genre dan hala tuju apa yang hendak diceritakan. Namun bukan mudah untuk mengekalkan mementum terus menulis wpun pelbagai ide bermain di minda dek pelbagai kerenah alam dan manusia. Sudah begitu lama saya tidak meluahkan perasaan dan perkongsian. Harap tahun 2011, minat itu datang kembali. Terima kasih kepada rakan2 bloger yang sesekali singgah dan menjadi pengikut.

Ahad, 17 Oktober 2010

Setiakah kita sebagai pengikut ?

Setiap organisasi, ada pemimpin dan ada pengikutnya. Tanpa kedua-dua ini, organisasi tidak wujud. Namun antara pemimpin dan pengikut, ada prosedur atau sistem yang menjadi amalan organisasi untuk mencapai matlamatnya. Soalnya, sejauh mana jujurnya pemimpin dan pengikut dengan peranan dan hak masing-masing. Sesetengah kita begitu setia sebagai pengikut. Tetapi kesetiaan kita itu adakah benar-benar setia kerana pemimpin atau kerana organisasi. Dalam hal ini, mungkin sudah menjadi lumrah atau juga kerana dikatakan adat kita orang Melayu, jarang sekali sebagai pengikut kita berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan sama ada kealpaan pemimpin atau sistem yang kita amalkan. Jika mengikut hukum, lengkuk normal statistik pastinya 95% adalah 'pak turut' atau 'play safe' dan hanya segelintir yang berani bersuara dan mengambil resiko secara berhadapan. Tapi anehnya, bila di belakang atau di luar mesyuarat, 95% menjadi sebaliknya dengan pelbagai isu dan dilontarkan nampak begitu bijaksana. Inilah yang menjadikan hakikat kita berada pada takuk lama dengan sistem semua selamat, pemimpin atau pengikut. Mari kita fikir-fikirkan.

Selasa, 7 September 2010

Kegelojohan dan undang-undang

Menjelang raya kegelojohan mengaut untung sukar dibendung. Walaupun ini satu peluang menambahkan rezeki umat Islam, namun 'kegelojohan' mengaut untung bukanlah sesuatu yang menguntungkan sebenarnya apabila unsur-unsur penipuan dan tidak jujur para peniaga masih ada. Paling menyedihkan ia mengganggu hak orang lain dan hak awam apabila para peniaga dan pengusaha premis perniagaan sewenang-wenangnya mengunakan hak awam sebagai tempat berniaga. Tak cukup dengan ruang kedai dan kaki lima, didirikan khemah sebagai ruang tambahan untuk meletakkan barang-barang jualan. Hal ini bukan saja mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan dan manusia ia juga boleh menimbulkan pelbagai aplikasi lain yang berkaitan undang-undang dan keselamatan pengguna. Peraturan dan undang-undang penguasa tempatan jelas menunjukkan kaki lima sesebuah premis perniagaan adalah bukan hak premis berkenaan, tetapi adalah hak orang awam sebagai laluan awam. Begitu juga tempat-tempat meletak kenderaan. Saya kadang-kadang merasa jengkel dengan budaya umat Islam di negara kita hari ini khususnya dalam persiapan menyambut hari raya. Tidak cukup lagikah pararaya2 dan pusat membeli belah sehingga terpaksa menjadikan tempat-tempat urusan awam dijadikan premis perniagaan. Dalam hal ini, pada saya pihak penguasa tempatan harus melihat perkara ini secara lebih positif untuk kepentingan semua pihak. Jika perlu memberi peluang untuk perniagaan bermusim ini, sediakanlah tempat khas yang tidak mengganggu kelancaran urusan harian semua orang. Perketatkan penguatkuasaan kepada premis perniagaan agar tidak keterlaluan dan gelojoh sehingga menjadikan hak awam harta mak bapak mereka sewenang-wenangnya. Ini semua akan menjadi teladan negatif kepada masyarakat dan rakyat negara kita seluruhnya dengan menganggap semua perkara adalah 'boleh' wpun ia melanggar peraturan dan undang-undang yang ada. Mari kita sama-sama 'mendidik' anak-anak kita dan masyarakat kepada pendidikan terbaik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.

Ahad, 29 Ogos 2010

Doa seorang anak kecil

Suatu ketika dulu, saya sebak sendirian, bila salah seorang anak saya memberitahu, "hari ini abang Iman, membaca doa di perhimpunan sekolah". Hari ini, setiap pagi saya bersama seluruh warga sekolah mengaminkan doa anak kecil di sekolah. Anak kecil yang selalunya lebih tulus ikhlas ini daripada kita orang-orang dewasa, mencuba sebaik mungkin seperti seorang khatib di depan ratusan rakan dan guru-guru. Anak siapa ini, pastinya kedua ibu bapanya merasa bangga. Dan kita sebagai pendidik biasa, menadah tangan semoga doa anak kecil ini, begitu besar ertinya kepada semua orang yang didoakannya. Amin.

Isnin, 16 Ogos 2010

Malasnya menulis

Mengapa jadi begini, malas sekali untuk menulis dan mengaktifkan blog ini wpun banyak perkara yang bermain di hati dan fikiran. Idea ada tetapi keinginan terhapus. Semoga Allah memberi kekuatan untuk berkongsi, yang baik itu anaugerah Dia, selebihnya itu adalah kekuranganku jua. Terima kasih kepada rakan2 yang dikenali dan tak dikenali yang mengunjungi ilham jiwaku ini.

Ahad, 4 Julai 2010

Kita mengambil zaman kanak-kanak terlalu awal

Zaman kanak-kanak adalah masa yang paling menyeronokkan buat kita semua. Mari kita 'kembali' sejenak apa yang kita lakukan pada zaman kita kanak-kanak. Segala-galanya menyeronokkan, apa lagi menjelang bulan puasa dan hari raya. Kehidupan kita penuh dengan kreativiti dan penciptaan apa saja yang kita bayangkan dan inginkan berdasarkan persekitaran hidup kita. Menarik dan mencabar. Namun hari ini, terlalu banyak perbezaannya. Kita mengurus kanak-kanak seperti kita tidak pernah menjadi kanak-kanak seperti mereka. Di rumah, di sekolah dan persekitaran hidup kanak-kanak hari ini sangat membeban dan mendera mereka. Kehendak dan hak kanak-kanak terlalu banyak ditentukan oleh kita orang dewasa. Zaman kanak-kanak terlalu cepat kita ragut daripada kehidupan mereka. Akibat dan impaknya, tempias kepada kita juga.

Rabu, 23 Jun 2010

kelacuran akademik

Satu istilah menarik untuk diperkatakan. Menurut Prof. Omar Abdull Karim ahli-ahli kademik yang benar-benar tulin akan memperkatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah tanpa memihak kepada sesiapa. Namun apa yang berlaku hari ini, kelacuran akademik berleluasa dan memberi impak negatif bukan saja kepada bidang akademik itu sendiri tetapi juga pelbagai aspek kehidupan dan negara.

Sabtu, 19 Jun 2010

dulu dan sekarang

Kita sering mendengar, banyak perkara, dulu, tidak sama dengan hari ini. Ada guru mengatakan, guru hari ini tidak sama dengan guru dahulu, pelajar hari ini tidak sama dengan pelajar dahulu, kanak-kanak hari ini tidak sama dengan kanak-kanak dahulu. Macam-macam perkara yang sudah lagi tidak sama dulu dan sekarang, sehinggakan para doktor dan peguam juga mengatakan mereka juga tidak sama dulu dan sekarang. Perbezaan yang diperkatakan ini adalah dari aspek nilai dan budaya yang memberi impak kepada kehidupan. Di mana silapnya?

Ahad, 6 Jun 2010

Guru & Pendidik

Pada pandangan anda, apa bezanya antara guru & pendidik? Pada saya, serupa tapi tak sama. Mana yang lebih baik?

Ahad, 9 Mei 2010

Kanak-kanak

Kalau di sekolah rendah, semua pelajarnya kanak-kanak. Memahami jiwa dan naluri kanak-kanak sebenarnya lebih menyenangkan daripada memikirkan hal-hal kita. Senangnya hati sebagai seorang kanak-kanak, sentiasa riang dan gembira dengan pelbagai kerenah wpun kadang-kadang mencabar kita orang dewasa. Sebagai guru di sekolah rendah, tugas paling utama adalah memahami jiwa dan naluri kanak-kanak. Tanpa kefahaman dan menjiwai kanak-kanak, tugas kita menjadi agak kekok dan sukar mencapai matlamat memberi didikan dan pelajaran. Atas keperluan inilah, sebelum menjadi guru, kita belajar ilmu psikologi tentang kanak-kanak. Di sekolah, P&P yang paling berkesan adalah yang berasaskan keperluan kanak-kanak, bukan keperluan kita orang dewasa. Tidak rugi dan tidak berkurangnya ilmu di dada jika kita mengubah personaliti dan berada di alam kanak-kanak ketika mengajar. Perkara yang paling digemari kanak-kanak adalah bermain dan bersuka ria bersama rakan-rakan. Jadi sebagai guru, kita harus bijak 'bermain' dan bersuka ria sambil mengajar dan belajar.

Selasa, 20 April 2010

Impak pendidikan awal kanak-kanak

Saya agak beruntung, ketika kanak-kanak, saya mencuri-curi guna barangan kerja pertukangan bapa saya untuk berjinak-jinak bukan sebagai tukang, tetapi sekadar menyiapkan mainan buatan sendiri seperti kereta/lori mainan, senapang kayu dan sebagainya. Itulah dunia kanak-kanak kita 50 tahun yang lalu yang tidak ada atau tidak berlaku lagi pada hari ini. Itu semua pendidikan, wpun tidak formal, tetapi kita sudah mula tahu bagaimana menggunakan peralatan kerja pertukangan dan sebagainya. Paling utama, tahu 'memegang' dan 'menggunakannya' dengan cara yang betul. Namun apa yang berlaku hari ini, jauh berbeza. Sebahagian kita, orang muda2, atau remaja tidak tahu bukan saja untuk mengguna tetapi tidak tahu juga untuk memegang dengan cara yang betul segala macam peralatan di rumah atau di mana saja. Hatta, yang paling mudah, memegang dan menggunakan cangkul pun, banyak orang yang tidak betul2 tahu. Ini terbukti, saya melihat kebanyakan orang sekarang, wpun sudah berkeluarga, masih tidak tahu atau tidak boleh menguruskan kerja2 mudah seperti menggunakan cangkul, parang, gergaji, tukul dan sebagainya untuk membuat kerja penambahbaikan mudah di rumah atau ditempat kerja. Akibatnya, berlakulah penambahan kos sara hidup bila semua urusan kecil terpaksa diupah kepada orang lain.

Ini semua pada saya, impak pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan berlaku secara formal oleh guru-guru di sekolah atau sebaliknya. Di sekolah terdapat pelbagai mata pelajaran khususnya untuk mendidik kemahiran kepada kanak-kanak. Seperti mata pelajaran kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan sebagainya. Namun hasilnya, amat mengecewakan. Saya mula menyedari hakikat ini, apabila saya bermain badminton dengan rakan-rakan yang baru belajar bermain badminton ketika usia dewasa. Kebanyakan mereka memegang raket dengan cara yang salah dan sudah mestinya tidak mampu bermain dengan baik sebaik orang yang mula bermain sejak kecil. Wpun saya cuba memperbetulkan rakan2 ini, namun pendidikan itu ternyata sudah terlambat. Saya mula meneliti kesilapan ini bukan saja cara mereka memegang raket badminton tetapi juga memegang benda-benda lain seperti cangkul, parang, golok (yang ada hulunya) yang hampir sama dengan pemegang raket itu, juga salah. Ini bermakna mereka ini tidak pernah dibimbing oleh sesiapa pun kebolehan memegang dengan cara yang betul. Siapa yang harus dipersalahkan, guru atau ibu bapa? Dalam soal ini, saya tidak pernah mendapat bimbingan formal daripada seorang guru mengajar saya bermain badminton dengan cara yang betul, tetapi kerana saya banyak mendapat bimbingan bapa saya kemahiran mengguna peralatan kerja, secara tidak langsung saya boleh memengang raket badminton dan bermain badminton dengan cara yang betul dengan baik serta dapat melakukan kerja-kerja pertukangan dengan baik dan boleh menjimatkan belanja apabila kebanyakan urusan penambahbaikan di rumah dan di tempat kerja saya lakukan sendiri.

Jadi, bayangkan jika pendidikan benar-benar berlaku di sekolah, hidup kita akan menjadi lebih baik daripada yang kita alami hari ini. Mungkin kita boleh bersukan, bersenaman dan boleh melakukan kerja-kerja penambahbaikan di rumah tanpa perlu mengupah orang lain. Kita jadi sihat dan serba boleh. Jadi, sebagai guru, renung2kanlah, jika kita tidak mendidik sebaik mungkin, impaknya sangatlah besar kepada anak-anak kita nanti.