Memaparkan catatan dengan label Memimpin dan dipimpin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Memimpin dan dipimpin. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Mac 2009

Persediaan suku kedua sesi persekolahan 2009

Lusa kita akan kembali ke sekolah untuk meneruskan tanggungjawab pada suku kedua sesi 2009. 3 bulan atau suku pertama sesi 2009 sudah berlalu. Seharusnya semua guru dan staf sekolah sudah membuat penilaian tahap pencapaian diri dalam melaksanakan tugasan masing-masing dan merancang penambahbaikan menjelang sesi kedua ini.

Melaksanakan tanggungjawab dengan membuat post mortem terhadap apa yang telah berlalu dan merancang ke hadapan dengan memberi fokus kepada penambahbaikan merupakan satu sikap yang sangat baik. Walaupun sekolah sudah menyediakan takwim dan pelan strategik tahunan, adalah menjadi tanggungjawab semua guru dan staf untuk menyediakan pelan perancangan kendiri berasaskan tugas masing-masing. Sesungguhnya bekerja dengan cara merancang dan memfokuskan kepada matlamat, visi dan misi sekolah merupakan kaedah terbaik kepada pencapaian kecemerlangan diri, murid dan sekolah. Walaupun kita sudah lama menjadi guru dan boleh dianggap berpengalaman di sekolah, tetapi situasi hari ini memerlukan kebijaksanaan kita untuk bertindak dengan cara yang lebih efisien. Kemudahan teknologi dan sumber yang terkini di sekolah seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya agar kita tidak lagi ketinggalan dan sentiasa signifikan kepada perkembangan dunia hari ini.

Merujuk kepada takwim dan perancangan, kita sebenarnya tidak punya masa untuk bersenang lenang. Setiap minggu kita sentiasa sibuk dan bergerak dengan pelbagai aktiviti. Apa yang saya harapkan, kesibukan dan pergerakan kita ini seharusnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan bukan membebankan. Justeru, saya sangat berharap kita sentiasa bersedia mengikut tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan2 guru yang sentiasa peka dengan takwim dan perancangan sekolah dengan bertindak secara proaktif untuk memastikan sekolah sentiasa 'hidup' dengan pembelajaran dan pendidikan.

Selamat kembali ke sekolah.