Selasa, 18 Ogos 2009

Mengapa kita seperti tidak percaya, kita BOLEH

Sudah hampir sebulan, aku seperti sukar untuk keluar dari rasa malas untuk menulis. Wpun banyak isu dan cabaran yang dilalui, tetapi keinginan untuk menulis di sini seperti terikat kemas dalam belengu kemalasan diri. Mungkin inikah yang dikatakan 'comfort zone', terlalu berat untuk bergerak, keluar dan melakukan sesuatu yang lebih berfaedah.

Lumrah dunia dan sifat yang bernama manusia. Tanpa cabaran dan kepayahan untuk hidup, kita selalunya sukar untuk bergerak mengubah diri. Rasa selesa dengan apa yang ada seperti sudah cukup untuk meneruskan hidup sehingga akhir hayat. Sehinggakan kita seperti katak di bawah tempurung atau siluncai dengan labu-labunya. Tidak mengendahkan apa saja yang berlaku di sekitar kita, asalkan ianya tidak mengena kita dan kita tidak merasa terancam. Segala-gala yang ada seperti sudah cukup puas kita nikmati atau sebagai kebanggaan diri.

Persoalannya, betulkah kita benar-benar puas dan selesa? Mungkin kita merasa selesa kerana tiada siapa mengganggu kita, walaupun apa yang kita buat tidak mencapai tahap yang sepatutnya sama ada secara realitinya atau secara hukumnya. Kita tidak sedikitpun mahu 'bergerak' keluar dari kedudukan kita yang tidaklah hebat dan selesa ini. Kita sebenarnya sering dihambat kegelisahan, bagaimana jika kita ini dipersoalkan atau dihisab, apa yang kita buat sebenarnya. Kita sangat berharap masa itu berlalu dengan begitu pantas agar kita boleh memulakan 'azam' baru menjelang setiap kali tahun baru.

Saya sering ingat kata-kata Datuk Dr. Wan Zahid, bekas KPPM tentang keinginan untuk berubah. Kesukaran untuk berubah diumpamakan seperti seekor katak yang tinggal di batu-batu di tepi sungai. Walaupun diusik, atau sehingga dibakar batu itu dari bawahnya, katak itu masih terus di situ sehingga ia mati kekeringan dengan bahang kepanasan. Analogi ini ada kebenarannya, jika kita memerhatikan sikap setangah daripada kita yang tidak sedikitpun mahu berubah daripada kedudukan asalnya. Walhal kita sedar di sekeliling kita, dunia sedang berubah dan bergerak pantas meninggalkan kita. Kita seperti tidak percaya, kita juga boleh berubah dan melakukan perkara-perkara yang lebih baik untuk diri kita dan orang lain. Tahap kepercayaan kita terhadap diri sendiri begitu rendah sehingga kita kelihatan seperti kosong dan tidak bermakna. Dalam keadaan ini, orang lain tidak banyak boleh membantu, dan jika adapun ianya mungkin bertentangan dengan apa yang ada di hati kita, dalam dunia kita tersendiri.