Rabu, 30 Disember 2009

Kualiti

Kesibukan persediaan buka sekolah dan melanjutkan pelajaran di upsi, buat saya berat untuk menulis. Suatu hari, secara kebetulan saya menghadiri kuliah bertajuk KUALITI bersama Dr. Abdul Raheem. Sesuatu yang mengejutkan saya, set induksi pengajarannya, beliau memaparkan website Kobe Beaf, di Jepun yang memaparkan harga sekilo daging lembu Kobe ini mencecah RM800 sekilo. Gila, sekilo daging lembu mampu dibeli dengan harga setinggi itu. Tapi itulah kenyataannya bila kita bercakap tentang kualiti. Keinginan dan keupayaan pengguna tidak terhad. Jadi jika kita bertanggungjawab menjual barangan atau perkhidmatan, kualiti tidak ada komprominya.

Saya ingin menarik perhatian kepada apa yang sedang berlaku di negara kita. Jika kita memperkatakan tentang kualiti, terlalu banyak isu yang boleh kita perdebatkan kerana kualiti adalah sesuatu yang subjektif. Namun sesuatu barangan dan perkhidmatan pastinya mempunyai standard tersendiri sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa. Saya sering juga menginap di hotel bila berkunjung ke Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan saya, ada hotel di Kuala Lumpur wpun mempunyai nama yang gah dan berbintang 4 atau 5, tetapi tahap perkhidmatannya pada saya sangat tidak berkualiti. Saya cuba membuat perbandingan dengan hotel-hotel di Indonesia dan Thailand negara yang pernah saya kunjungi. Rasanya sangat berbeza jika dibandingkan dari aspek harga dan perkhidmatan yang ditawarkan. Hotel2 di Indonesia dan Thailand, harga yang mereka tawarkan sekitar RM70 memberikan nilai kualiti yang lebih tinggi jika dibandingkan hotel2 besar 4 atau 5 bintang di Kuala Lumpur yang terpaksa kita bayar antara RM150-RM250. Hampir semua perkhidmatan yang diberikan kualitinya melebihi kita. Tilam, Cadar, Perabot, TV dan rangkaian Siaran, Bilik air dan pelbagai lagi, pendek kata memuaskan hati kita. Baru beberapa minggu lalu, saya dan keluarga menginap di sebuah hotel (saya kira 4 bintang) di jalan Ipoh Kuala Lumpur. Sebenarnya sudah beberapa kali saya menginap di sini, dan saya lihat kualitinya semakin menurun. Apa yang ada sangat menyedihkan saya. Yang memalukan kita apabila hotel ini menjadi antara persinggahan penginapan banyak pelancong asing. Sehinggakan isteri saya meminta katil ditukar kerana salah satu kakinya sudah patah dan senget. Belum lagi di nilai dengan cadar dan selimut yang seperti tidak dicuci. Siaran TV pula, satu siaranpun tidak boleh berfiungsi dengan baik. Sedangkan hotel di Hadyai, Phuket dan Bangkok, Thailand, ada sebanyak hampir 30 rangkaian yang semuanya mempunyai gambar berkualiti. Yang mengejutkan saya juga, semua pekerja housekeepingnya yang dulunya anak2 gadis dan remaja tempatan kini sudah diambil alih oleh warga bangla. Jadi, apa yang saya faham bermakna pengurusan hotel ini cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan sebanyak mungkin dengan menggaji buruh asing yang lebih murah. Akibatnya, inilah yang terjadi. Saya rasa nilai yang saya bayar RM160 sangat mahal dan saya tertipu. Heran juga saya, di mana kawalan standard yang ditetapkan mengikut peraturan perkhidmatan hotel yang ada. Pada saya, ini satu penipuan dan memalukan negara.

Pada pandangan saya, isu ini seharusnya juga menjadi perhatian kerajaan. Apakah ini standard yang kita ada?.Kita sering melaungkan matlamat untuk menarik lebih ramai pelancong, tapi apa gunanya jika mereka hanya hadir sekali dan kemudian tidak lagi berminat untuk kembali. Kita bukan saja rugi, tetapi memalukan negara. Kita belum lagi memperkatakan kualiti perkara-perkara lain, seperti Proton dan sebagainya. Seharusnya, kita mengambil ikhtibar apa saja yang kita lalui untuk kebaikan negara kita.

Rabu, 16 Disember 2009



Pelan Tindakan Strategik 2010

Dua hari yang lalu, saya menghadiri perjumpaan bersama Pengarah JPN Kedah. Biasa, satu program setup kerja untuk 2010. Selain daripada maklumat tentang NKRA, yang paling menarik perhatian saya ialah, Pelan Tindakan Strategik 2010, JPN Kedah, yang saya lihat, lebih baik dan mencerminkan kesungguhan JPN Kedah. Jika dibandingkan dengan perancangan tahun-tahun yang lalu, yang hanya retorik dicetak di dalam buku yang cantik. Lebih memberangsangkan saya cara pembentangan Timbalan Pengarah yang bersungguh-sungguh, jelas dan terbuka. Data dan isu-isu strategik ternyata bertepatan dengan hala tujuh ke arah meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri Kedah. Saya melihat ini sebagai satu penduan yang jelas kepada semua sekolah dalam membuat Pelan Tindakan Strategik sekolah 2010. Secara mudahnya, sekolah perlu membuat analisis pencapaian tahun 2009 dibandingkan dengan tahun 2008 untuk melihat apakah isu-isu yang ada yang menghalang pencapaian lebih baik.

Pelan Tindakan Strategik Sekolah 2010 seharusnya mencerminkan keupayaan sebenar sekolah berasaskan analisis persekitaran sekolah dan merancang strategi yang mampu mencapai matlamat. Semua unit yang ada di sekolah, tahu isu-isu dan kekuatan yang ada pada mereka untuk merancang strategi yang lebih baik. Begitu juga dengan setiap individu/guru di sekolah, seharusnya menyediakan Pelan Tindakan Strategik mereka sendiri berasaskan tanggungjawab mereka masing-masing. Sebahagiannya inilah yang dikatakan SKT (Sasaran Kerja Tahunan) iaitu pelan apakah yang ingin dicapai dalam tahun berkenaan. Namun apa yang berlaku di sekolah, katanya guru tidak perlu membuat SKT. Pada saya, ini mengurangkan kesungguhan guru dalam merancang strategi dan mensasarkan matlamat yang sepatutnya. Dengan kata lain, mereka seperti tidak ada panduan dan hala tuju. Mengajar hanya semata-mata menghabiskan sukatan pelajaran.

Alangkah baiknya jika setiap guru membuat pelan tindakan strategik tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya berserta headcount sasaran pencapaian akademik dan kokurikulum dan sentiasa berunding dengan pentadbir sekolah ke arah melaksanakan semua projek untuk menuju matlamat yang disasarkan. Semua kita akan sentiasa bergerak pada landasan yang betul dalam satu kumpulan kerja yang mantap.

Rabu, 9 Disember 2009

Besarnya tanggungjawab tetapi tiada kuasa

Setiap tahun, ada saja perkara yang baru di sekolah. Sama ada terancang atau 'ac hoc' semuanya akan menambahkan beban tanggungjawab pengurus sekolah. Kalau nak disusun senarai tugas pengetua dan guru besar di sekolah, berjela-jela panjangnya. Senarai ini bila kita bandingkan dengan pengurus sektor lain, ianya akan menjadi bahan ketawa. Sesuatu yang mudah untuk kita renungkan bersama, di mana bangunan PPD daerah saya ( daerah Kuala Muda/Yan ) sedang dibangunkan bangunan 4 tingkat. Dengan kata lain, jumlah pegawai di PPD akan bertambah apabila bangunan itu siap. Katakan 40 orang pegawai. Rasanya ke mana fokus kerja pegawai ini, kalau tidak ke sekolah. Bayangkan juga dan cuba kita kira ada berapa sektor dan unit pentadbiran di PPD dan JPN, dan kesemua kerja sektor dan unit tersebut berfokus kepada sekolah. Di sekolah (rendah) hanyalah ada seorang guru besar dan 3 penolong kanan. Bila pegawai2 ni sampai di sekolah, semuanya nampak tak kena. Macam mana nak kena atau nak bagus, kita di sekolah buat seribu macam kerja, pegawai2 tadi hanya fokus kepada satu kerja. Setiap awal tahun, semua sektor dan unit mengemukakan pelan perancangan strategik masing-masing, dan saling bersaing menunjukkan kehebatan. Kemudian semua perancangan itu akan sampai ke sekolah. Jadi kita di sekolah, belumpun siap yang ini, yang itu pula datang nak dibuat itu dan ini. Lalu berlakulah, copy paste. Janji ada dan siap, cukup. Kadang-kadang benda yang nak dibuat tu belumpun kita faham.

Saya menghabiskan 128 jam kredit untuk mendapat ijazah pengurusan sekolah dengan dengan mengambil lebih 30 kursus utama di universiti yang menjurus kepada bagaimana untuk mengurus sekolah dengan baik. Apa yang hendak saya jelaskan di sini, betapa mengurus sekolah mempunyai pelbagai elemen yang sangat rencam yang sepatutnya pembahagian tugas itu diagihkan kepada beberapa orang penolong pengurus sebagaimana yang berlaku di dalam sektor lain atau sektor swasta. Contoh yang paling mudah, adakah pengurus sektor lain perlu melihat dan memastikan tandas bersih atau memanggil pekerja untuk membersihkan tandas? Tetapi bagi seorang guru besar, dari yang sekecil2nya sehinggalah kepada yang sebesar2nya, dia mesti menguruskannya dengan baik. Jika tidak, resiko yang sangat besar menanti, bukan saja ditekan oleh pagawai2 di PPD, JPN, Nazir, Bahagian2, dan seterusnya Kementerian Pelajaran sendiri, tetapi juga berdepan dengan tindakan pendakwaan di mahkamah. Yang peliknya, begitu besar tanggungjawab diberi, tetapi kuasanya, boleh dikatakan tidak ada.

Ahad, 6 Disember 2009

Masa depan sukan negara

Terbaru, pasukan bola sepak sukan sea Malaysia tewas kepada Vietnam 1-3. 2 hari yang lalu Pasukan wanita pula tewas kpd Thailand 0-11. Memalukan. Tapi yang membanggakan kita squad badminton berjaya menjadi johan 3 acara dlm World Super Series Masters Finals yang baru tamat. Lee Chong wei, Wong Mei Choo dan pasangan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui menjuarai acara masing-masing. Ini sesuatu yang hebat dan mengkagumkan. Namun, melihat kepada senario pencapaian atlit negara, rasanya masa depan sukan negara kita tiada penambahbaikan. Mungkin sistem dan budaya yang kita amalkan dalam setiap persatuan sukan. Sebutlah apapun acara sukan, pasti yang selalu kita dengar ada orang yang tidak kena mengena atau sering disebut 'penumpang' yang lebih sudu drp kuah. Satu lagi hal ialah pilih bulu atau pilih kroni masuk ke dalam pengurusan biarpun dangkal ilmu tentang sukan itu atau tak tahu langsung. Bayangkan, setahu saya, seorang yang pernah jadi tukang kawal budak2 jaga pintu stadium dalam pertandingan badminton, boleh melonjak menjadi SU Kehormat Persatuan Badminton Malaysia. Saya kenal dan tahu sejarah ini, kerana saya pernah juga aktif dalam Lembaga Pengadil Kebangsaan. Dipendekkan cerita, kalau bahagian pengurusan BAM dikontrol oleh bangsa India dan kalau bahagian pengadil pula, orang Melayu tak akan lulus peperiksaan gred 1 wpun sudah senior dan buat yang terbaik dalam ujian. Tapi budak2 Cina, baru lulus gred 2, sekali ambil test gred 1, dah lulus dan sudah boleh dihantar ke kejohanan seluruh dunia. Begitu juga dalam hoki dan olahraga, cuba tengok, siapa yang mengurus dan kroni2nya. Bola sepak, bolehlah dikatakan dikontrol orang Melayu. Begitu juga dengan pemain. Saya pernah mendengar rungutan adik beradik Devinsi SAHA yang cuba bangkit macam keluarga arwah Hj. Sidek dalam badminton. Cerita mereka, mereka sengaja cuba dijatuhkan dengan pelbagai cara termasuk lambat membayar elaun, tukang masak ketika sesi latihan pusat orang Cina dan macam2 lagi. Jadi akhirnya hilanglah anak2 yang berbakat ini.

Saya menulis ini, kerana inilah yang jarang diketahui umum dan tidak pernah didedahkan oleh media kita. Mungkin juga media tumpang sekaki sebagai kroni. Sekarang mari kita check dalam semua jenis acara sukan di negara kita, siapakah orang2 kuat di atas dan sejauh mana pengetahuan dan pengalaman mereka dalam sukan yang mereka naungi. Akibatnya, semua yang sampai kepada pengetahuan mereka baik belaka. Cuba ingat sejarah Presiden BAM, datuk Alias Omar, pegang reket pun tak reti, Dolah Fadhil Che Wan pun 2x5. Begitu juga Datuk Nazmi. Cuba bandingkan dengan pengurusan sukan di negara lain, yang menjadi orang2 kuat di atas semua dahulunya jaguh sukan.

Sampai bila kita nak tukar senerio ini. Bermula di sekolahpun masih tidak tentu haluan. Sukan dan kokurikulum dipandang sepi. Ahli2 sukan kita kebanyakannya lahir secara tidak sengaja, bukannya bakat betul2 dicungkil di sekolah. MSSM hanya sekadar memenuhi takwim tahunan dan tidak berdaya menandingi anak2 yang tak kenal sekolah dari Indonesia atau Vietnam.

Sekali lagi saya menonton World Super Series Masters Finals di Johor Bahru dengan rasa yang sangat kecewa dengan sambutan penonton bila kita bandingkan dengan kejohoanan2 di sekitar Cina, Hongkong dan Korea beberapa minggu sebelum itu. Pada saya ini menunjukkan minat rakyat negara kita terhadap sukan jauh terkebelakang daripada negara lain. Kesimpulannya, jika menonton pun kita tidak minat, bagaimana mungkin kita dapat melahirkan jaguh sukan yang hebat. Sepatutnya kerajaan dan BAM harus mencari jalan untuk menarik minat penonton dan seterusnya menanam minat bersukan di kalangan rakyat. Inilah tugas pengurusan BAM, Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan. Sepatutnya yang nak dilantik sebagai Menteri Sukan dan semua Pengurusan Sukan perlu ada kelulusan Sains Sukan. Barulah para pelajar Sains Sukan di Universiti merasakan mereka diperlukan oleh negara. Kebetulan cuti sekolah, apalah salahnya, budak2 sekolah diberi tiket percuma. Daripada stadium kosong, lebih baik budak sekolah diberi pendedahan dan ditanamkan minat. Promosi dibuat ke sekolah di seluruh negara, sebab sekolahlah tempat yang sepatutnya melahirkan ahli sukan negara. Saya masih ingat, ketika negara kita menjadi tuan rumah hoki piala dunia pada sekitar 70an, dan diadakan siaran langsung di TV, habis semua batang langsat di kampung saya menjadi mangsa saya dan rakan2 mangasah bakat bermain hoki sehingga saya boleh bermain hoki. Tetapi hari ini, anak2 lebih seronok dibawa ibu bapa berpeleseran di pasaraya atau pesta2 seperti jom heboh dan sebagainya.

Saya sangat kagum dan terharu, bila melihat, kanak-kanak riang gembira dan penuh semangat dengan ibu bapa menonton pasukan kesayangan mereka dalam liga bola sepak Inggeris. Mereka tidak lagi seperti penonton pasukan Kelantan dalam final piala Malaysia beberapa bulan lalu. Sukan pada mereka bukan saja hiburan, tetapi banyak yang memanfaatkannya.

Selasa, 24 November 2009

Mari kita buka sekolah pada waktu cuti

Saya sering membayangkan dan mengidamkan suasana di sekolah pada waktu cuti bukannya sunyi sepi. Sebaiknya sekolah itu kita jadikan Pusat Sehenti Pendidikan untuk komuniti dan masyarakat setempat.

Bayangkan pada cuti sekolah; seawal jam 8.00 pagi, ibu bapa menghantar anak2 atau bersama anak2 hadir ke sekolah untuk memanfaatkan sumber pendidikan. Pusat sumber yang mempunyai Pusat Akses, Makmal Komputer, Bilik Perbincangan, TV, Video, Astro, akhbar, buku dan sebagainya itu dibuka untuk murid dan warga sekolah. Di samping itu, sekolah dan Pusat Sumber juga menyediakan pelbagai aktiviti dengan cara menjemput 'penghibur pendidikan' atau badan2 sukarela yang berkaitan dengan pendidikan. Antara aktiviti yang boleh diadakan seperti, tayangan gambar, forum kanak2, tresure hunt (dalam sekolah) pertandingan melukis, pameran dan sebagainya. Pendek kata jika diurus dengan baik, masa cuti kanak2 tidaklah terlalu berfokus kepada pusat membeli belah atau acara hiburan di luar yang banyak unsur negatif itu. Bayangkan juga betapa besarnya manfaat kepada kanak-kanak dari kelompok kurang mampu, di mana di rumahnya tidak ada TV Astro, komputer dan capaian internet dapat menikmatinya di sekolah ketika cuti sekolah yang tidak terikat dengan jadual waktu itu. Saya sangat yakin hal ini boleh berlaku, jika kita cuba mengubah sikap dan mindset kita bahawa cuti sekolah bukan bermakna sekolah DITUTUP.

Sabtu, 21 November 2009

Cuti yang tidak cuti

Jiran di sebelah rumahku bertanya; kerja ke cikgu cuti sekolah ni? Aku jawab; kerja. Dia agak terpinga2 bila melihat aku macam biasa, sentiasa kemas masuk kereta menuju sekolah. Kebanyakan orang tidak tahu bahawa GB/Pengetua bekerja ikut waktu pejabat. Hari ini aku cuba sampai di sekolah sebelum jam 8, takut2 ada pegawai PPD buat spot check, pada hari pertama cuti, kononnya GB ponteng. Cuti sekolah kali ini hanya 5 minggu. Hitung sana-sini, rasanya tak cukup hari untuk menyiapkan perancangan sekolah 2010 dan segala urusan persediaan buka sekolah. Dalam 5 minggu tu, saya terpaksa memanggil guru2 selama 2 minggu untuk bersama-sama membuat persediaan sesi persekolahan 2010. Alhamdulilah, hari ini sambutan guru2 tidak mengecewakan wpun terpaksa hadir dalam cuti sekolah. Ini bermakna, waktu cuti sekolah bukanlah waktu cuti yang sebenarnya bagi guru apa lagi guru besar yang memang bekerja ikut waktu pejabat. Dan perkara ini seharusnya diketahui umum supaya masyarakat tidak lagi prajudis terhadap guru yang mengatakan jadi guru banyak waktu cuti. Yang bercuti sebenarnya kanak-kanak atau para pelajar. Itupun, masih ada tugasan, ada yang menghadapi peperiksaan, ada yang menghadiri tuisyen, ada yang dihantar ibu bapa ke kem kecemerlangan dan sebagainya. Cuma yang agak rasa tenang sikit, tidaklah ada kebimbangan tentang keselamatan murid. Semoga jiranku tadi faham, bahawa aku berusaha menjadikan sekolah tempat terbaik melahirkan rakyat yang berguna kepada negara.

Jumaat, 20 November 2009

Guruku yang hebat

Sehari sebelum sekolah bercuti, sekolah seperti berpesta. Ada yang mengadakan jamuan akhir tahun untuk kelas, ada yang merakamkan gambar kenang-kenangan 2009 dan macam-macam kerenah guru dan murid. Sebagai pemegang tgjawab dan amanah menjaga segala-galanya di sekolah, aku menjalankan rutin biasa meronda keseluruh kawasan sekolah dan kelas. 2/3 hari seblum cuti, rasa cemas semacam je, takut2 ada kes yang menimpa murid. Setibanya di satu kelas, aku merasa terkejut dan sangat terharu bila melihat seorang guru senior dan murid-murid yang masih kecil di dalam kelasnya masih tekun mengajar dan belajar. Lama juga aku memerhati dari jauh dan aku dapati guru dan murid-murid di kelas ini sedikitpun tidak terganggu dengan keadaan di luar kelas, di mana beberapa kumpulan murid sedang merakamkan gambar kenangan dengan guru-guru mereka. Guru dan murid-murid kelas ini, kelihatannya seperti tidak mahu bercuti. Walhal, sekolah tahun 2009 hanya tinggal esok untuk tamat. Ketika aku mengambil kesempatan bertanya apa yang diajar lagi, aku tiba2 jadi sebak, kerana rasa terharu dengan jawapan guru itu yang penuh ikhlas dan jujur wpun, murid-murid di depannya bukanlah sebangsa dengannya. Peristiwa ini seharusnya dirakam sebagai bukti, kita 1 Malaysia.

Alangkah baiknya, jika semua kelas pada hari itu, berlaku seperti itu. Syabas cikgu.

Isnin, 16 November 2009

Keinginan untuk terus belajar

12 disember nanti saya akan kembali ke UPSI untuk menyambung pengajian ke pringkat sarjana (master). Entah macam mana, september lalu, ketika berkursus di IAB, saya diberi semangat oleh sahabat baik saya (Usop Rompin) wpun dia sendiri belum lagi bermula. Persoalannya, kuatkah saya pada usia begini dengan kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran. Keinginan untuk terus belajar sentiasa ada di dalam diri dek terasa diri masih terlalu dangkal ilmu. Usaha saya ini juga sebagai pembakar semangat kepada anak2 saya dan rakan2 guru di sekolah saya bahawa, wpun kita sudah bergelar guru, namun keperluan ilmu sentiasa ditagih dari diri kita sesuai dengan perkembangan dunia pendidikan yang semakin luas dan moden. Wpun belum bermula, sudah ada rakan2 yang memberi dorongan dan semangat. Terima kasih semua, semoga saya diberi kekuatan dan rahmatnya.

Rabu, 11 November 2009

Kita dan Indonesia 2

Ingin sekali saya berkongsi dengan anda pengalaman menarik ini. Ketika melawat Medan baru2 ini, kami serombongan diundang (kata orang indon) makan malam oleh Pak Leantono dan Ibu Masitah di rumah mereka. Kebetulan sepasang suami isteri dalam rombangan kami adalah saudara bau2 bacang mereka. Pak Leantono adalah dari keturunan Cina, dan sekarang ini bermenantukan orang Batu Caves Selangor (isteri anak sulungnya). Jadi mereka sekeluarga 'kerepotan' sekali menyambut dan melayan kami seramai 21 orang. Boleh dikatakan Pak Leantono ini bisnisman orangnya. Jadi rumahnya agak besar dan baik jika dibandingkan dengan warga yang lain.

Apa yang menarik malam itu ialah, layanan yang diberikan oleh bapak Leantono dan Ibu Masitah kepada kami. Selain berusaha memasak dengan masakan padang dan lain2nya, kami juga dilayan dengan baik sekali dari seluruh keluarga mereka. Saya merasa sungguh terharu, dan tiba2 merasa kita begitu dekat dan seperti satu keluarga. Ngobrol-ngobrol, saya ketahui rupa2 masyarakat di Indonesia begitu kagum sekali dengan siri Upin dan Ipin terbitan negara kita. Saya nyatakan kepada mereka, saya seronok menonton siri jenaka Indon, 'Suami2 Takut Isteri' dan ditiru oleh negara kita 'Di bawah Ketiak Isteri'. Daripada pandangan Pak Leantono, saya mendapat banyak gambaran tentang kehidupan masyarakat Indonesia dan di Medan khususnya.

Terima kasih Pak Leantono dan Ibu Masitah sekeluarga.

Sabtu, 7 November 2009

Kita dan Indonesia

Minggu lepas saya berpeluang melawat Medan, Indonesia. Pertama kali ke Indonesia. Selama 5 hari 4 malam di sana ada banyak perkara yang boleh saya kongsikan. Secara keseluruhannya kehidupan di Kota Medan dan sekitarnya yang saya lawati, boleh saya katakan ada banyak perbezaannya dengan negara kita. Walaupun mereka dalam rumpun Melayu, tetapi masih jelas budaya kehidupan yang dipengaruhi oleh persekitaran yang agak sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan kita. Pada pemerhatian saya dan apa yang saya rasai, suasana di sana seperti ketika kita 30 tahun yang lampau. Wpun di tengah kota Medan, tetapi kehidupan dan perbandaran mereka seperti masih belum benar2 terurus. Jalan-jalan raya tidaklah sehebat dan segah di tempat kita walaupun di depan bangunan besar atau kompleks membeli belah. Longkang2nya penuh dengan kekotoran dan pecah di sana-sini. Seperti tiada siapa yang ambil peduli. Penuh dengan kekotoran, debu dan kerosakan yang tidak terbela. Sepanjang saya di sana, tidak kelihatan oleh kami jentera atau orang yang mengurus pembaikan jalan atau kemudahan awam. Wpun jalan seperti jalan ke Parapat, sebuah pekan pelancongan di pinggir Danau Toba, keadaan jalannya sangat menyedihkan. Saya sangat terkejut dan merasa tidak selesa ketika berada di dalam bas yang sesekali dipandu laju wpun jalan rayanya, kalau di negra kita, tidak akan dilalui oleh bas.

Melihat beberapa buah sekolah kerajaan, saya merasa terkejut dan sayu. Sekolah rendah atau SD (sekolah dasar) di sana kebanyakannya daif sekali. Wpun dibandingkan dengan sekolah saya ketika kanak2 40 tahun dahulu, rasanya masih lagi tidak setanding. Bayangkan di hadapan sekolah yang dianggap tapak perhimpunan, sama seperti sawah padi. Persekitaran sekolah tidak kelihatan kawasan yang elok seperti sekolah di tempat kita untuk dijadikan tempat kanak-kanak bermain. Tidak kelihatan juga wpun sebuah kereta guru, sebab katanya gaji guru sekitar rm300 sebulan sahaja.

Ketika bergerak dalam kumpulan untuk membeli belah, kami diikut oleh sekumpulan lelaki yang kerjanya menjual barang-barang sebagai oleh2 dari negara mereka. Yang anehnya mereka seperti tahu ke mana destinasi kami selanjutnya, sebab setiap kali kami tiba, mereka orang yang sama sudah tersedia dengan barang2 dagangan mereka. Mereka tidak jemu2 menawarkannya wpun sudah berkali2 dan kita tidak membelinya. Betapa kuatnya semangat mereka. Menjawab soalan saya, kata mereka, pendapatan hasil jualan begitu lebih besar daripada bekerja makan gaji. Selain itu juga, kedapatan kanak2 yang kelihatan daif, meminta2, katanya "pak untuk biaya sekolah pak"...dalam hati kecil saya, benarkah mereka bersekolah?

Mendalami kehidupan mereka, saya merasa begitu insaf betapa kita sangat beruntung dilahirkan di Malaysia. Segala-galanya ada dan segalanya-galanya tersedia. Yang tidak ada, hanya kepada orang-orang yang malas berusaha. Dan saya merasa sangat sedih bila melihat apa yang ada di sekolah, tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk pendidikan dan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Sabtu, 17 Oktober 2009

Sungai Petani yang semakin berkembang maju

Hampir 10 tahun saya berkelana di Sungai Petani Kedah, sebuah bandar di utara tanah air yang sedang berkembang maju. Ketika awal penghijrahan saya dan keluarga ke Sungai Petani (2000), rasa sedikit kaku, maklumlah 18 tahun saya membina kehidupan dengan pelbagai rintangan di bandaraya Kuala Lumpur. Namun hari ini, kehidupan di Sungai Petani sudah banyak berubah dan apa yang ada di Kuala Lumpur, jika tidak samapun, boleh dikatakan ada juga di Sungai Petani. Pendek kata, jika pertama kali sampai di Sungai Petani, dan jika nak mencari rumah saudara mara, pastinya perlukan panduan yang jelas. Jika tidak, berpusing-pusinglah di Sungai Petani yang sedang berkembang kepada beberapa bahagian bandar. Saya masih ingat ketika saya mula2 menjejakkan kaki ke bandar Sungai Petani untuk menikahi seorang gadis di pekan Tikam Batu, pada sekitar 1986, bandar Sungai Petani masih tidak ada lampu isyarat pun. Tetapi hari ini bandar Sungai Petani merupakan bandar lampu isyarat. Pergerakan anda di jalan utama (utara-selatan) pastinya membosankan dengan jumlah lampu isyarat yang begitu banyak. Namun demikian, sekarang ini bandar Sungai Petani telah dilengkapi jalan lencong timur dan barat yang tidak memerlukan anda melalui pusat bandar yang sibuk dan berlampu isyarat itu.

Minggu lepas, penduduk Sungai Petani, dikejutkan lagi dengan pembukaan Pasaraya Besar Tesco Sungai Petani Selatan, iaitu pasaraya Tesco yang kedua di Sungai Petani, selepas pasaraya Tesco Sungai Petani Utara. Jadi, bayangkan perkembangan pesat ini. Pembangunan perumahan tidak terkira banyaknya sehingga wujud bandar2 kecil seperti Taman Sejati, Lagenda Hieght, Ambangan Hieght, Bandar Laguna Merbok dan sebagainya. Dari segi pendidikan, Bandar Sungai Petani mempunyai beberapa pusat Pengajian Tinggi seperti, UiTM, Open Universiti, AIMST Universiti, Institut Kemahiran Mara dan lain-lain. Industri Perhotelan juga berkembang pesat, dari yang kecil sehinggalah ke taraf 4 bintang. Jadi, jika anda berkunjung ke Sungai Petani, anda tidak perlu risau di mana untuk menginap, menjamu selera, membeli-belah dan bersantai. Pendek kata, Sungai Petani hidup 24jam dan anda boleh menjamu selera wpun anda tiba dinihari. Selamat Datang.

Khamis, 15 Oktober 2009

Hak murid-murid di sekolah

Pagi2 lagi anak murid kita yang sesetengahnya liat bagun tidur itu, sampai juga di sekolah sebagai memenuhi tanggungjawab untuk belajar sebanyak mungkin ilmu bagi membina diri bekalan hidup masa depan. Saya kagum dengan kesungguhan kanak-kanak untuk berada di sekolah sepanjang hari untuk menghadapi pelbagai aktiviti dan kerenah guru-guru. Wpun di dalam hati, kadang-kadang berat untuk hadir dek pelbagai tekanan dan tiada daya penarik di sekolah, tetapi kebanyakan mereka tetap tercongok di dalam kelas bila tiba waktunya. Dan mereka sebenarnya mempunyai hak yang sangat besar, iaitu pendidikan. Hak ini dituntut daripada orang yang diberi tanggungjawab mendidik iaitu guru. Namun demikian sejauh mana kanak-kanak yang masih mentah ini mampu menuntut sepenuhnya hak mereka sehingga membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan ini tidaklah sangat diambil kisah. Dan mereka sendiripun tidak mampu menilai sejauh mana hak mereka telah diperolehi. Kerana mereka kanak2, mereka hanya boleh bergantung harap kepada orang-orang yang bertanggungjawab seperti guru di sekolah, ibu bapa di rumah serta masyarakat di sekitar mereka. Melihat kepada senario hari ini, boleh dikatakan sebahagian kanak2 bernasib baik jika mereka dilahirkan di dalam keluarga yang statusnya lebih baik. Selebihnya, mereka benar-benar berharap mereka memperolehi hak sebenar daripada orang-orang yang bertanggungjawab tadi.

Dalam proses mendidik kita sebagai guru sepatutnya mengaplikasikan semua ilmu tentang pendidikan seperti Pedagogi, Psikologi, Falsafah dan sebagainya. Ilmu ini seharusnya membolehkan seseorang guru menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap dan berkesan. Tiada rungutan begini dan begitu tentang seadanya kanak-kanak yang mereka bimbing. Pelbagai pendekatan boleh dilakukan berdasarkan pengetahuan tentang keperluan pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh, keperluan dalam pengurusan bilik darjah untuk kanak-kanak sesuai dengan perkembangan mereka mengikut psikologi dan pedagogi. Bilik darjah sepatutnya sesuai dengan naluri dan pergerakan kanak-kanak yang melihat alam sekelilingnya penuh keriangan dan warna warni. Namun apa yang berlaku hari ini, hampir 11 tahun mereka didera dengan kehendak kita orang dewasa, dengan menyediakan sebuah kerusi dan meja dan mengongkong pergerakan mereka dengan peraturan yang sangat rijik bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Jadi, sejauh mana sebenarnya kanak-kanak di sekolah mendapat hak mereka. Banyak lagi perkara di sekolah yang kita dapati tidak menyebelahi mereka. Keinginan dan minat mereka jarang sekali kita cungkil dan suburkan mengikut keperluan yang sepatutnya. Apa yang berlaku kita sering menyalahkan mereka dan berkata mereka itu lemah dan tidak berbakat. Malangnya mereka kerana kita tidak melihat perkara ini secara ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Selasa, 6 Oktober 2009

Saya di IAB lagi

Saya di IAB lagi dari 4-9 Okt 2009. Kali ini kursus Pengurusan dan Pentdbiran Pejabat. Walaupun saya pernah laluinya dalam Diploma Kepengetuaan, namun kali ini masih banyak perkara yang saya perolehi melalui sesi kuliah dan perbincangan dalam setiap topik yang diberikan. Sesungguhnya masih banyak yang perlu kita ketahui dalam proses menjadikan kita ketua jabatan yang baik di sekolah. Apa yang menariknya, terlalu banyak isu yang kami kupas berkaitan pengurusan pejabat di sekolah. Ini kerana banyak bezanya antara sekolah dengan jabatan-jabatan yang lain dalam perkhidmatan awam. Sedangkan peraturan-peraturan pengurusan pejabat yang diguna pakai dalam perkhidmatan awam yang lain, itulah juga yang terpaksa diikuti di sekolah. Justeru, saya mencadangkan kepada IAB dalam memberi kursus kepada Guru Besar Pengetua fokus perbincangan haruslah menjurus kepada pengurusan di sekolah. Jika dapat menyediakan garis panduan yang jelas pengurusan di sekolah, inilah yang lebih bagus.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Sukan dan negara kita.

Saya tidak pernah lepas menonton (melalui TV) perlawanan tenis profesional termasuk Terbuka Malaysia. Tapi rasa terkilan sedikit, apabila melihat stadium kosong. Walhal pemain2 hebat dan ternama beraksi. Bukan senang nak dapat peluang begitu. Jika di KL, saya pasti berada di stadium. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah tentang nilai diri dan negara kita. Kita kalau boleh, semua kita nak anjur, kononnya kita hebat, negara maju dan kaya. Tapi pada pengamatan saya semua yang kita anjur, tidak seperti negara lain yang anjur. Mungkin orang lain memperolehi keuntungan tetapi kita, jika stadium kosong, dari mana nak dapat untungnya. Sekarang, pada masa yang sama juga sedang berlangsung Tenis Terbuka Thailand. Astro menayangkan kedua-dua pertandingan ini. Cuba bandingkan. Stadium di Bangkok lebih dipenuhi penonton daripada di Kuala Lumpur.

Bila melihat stadium kosong di Kuala Lumpur, saya perhatikan pemain-pemain seperti tidak ada semangat bermain dan seperti mereka bermain pertandingan pertunjukan. Wpun saya tidak berada di stadium, tapi rasanya sebagai rakyat Malaysia, terasa malu juga, bukan saja kepada para pemain tetapi juga kepada peminat tenis di seluruh dunia yang menyaksikan pertandingan itu melalui TV. Mungkin mereka tertanya-tanya, bintang2 tenis itu main dalam hutan ke?. Sebab sepanjang yang saya tengok siri jelajah tenis ni, tak pernah nampak stadium yang kosong. Lagi pula, bintang-bintang tenis ni ketika bermain mereka seperti berinteraksi dengan penonton dan penyokong2nya. Suasana begitu meriah, sehingga dapat dirasai oleh kita yang hanya menikmatinya melalui kaca TV.

Inilah negara kita, indah khabar dari rupa. Jika beginilah keadaannya, untuk apa pengajuran sukan besar ini. Bukan kali ini saja, kita pernah melihat kejohanan bola sepak belia dunia, ketika era Robeto Carlos suatu ketika dulu yang dianjurkan di negara kita, cuba bandingkan kejohanan yang sedang berlangsung di Mesir ketika ini, yang mana lebih meriah?. Di Mesir saya lihat, semua negara bertanding, penuh dengan penyokongnya, tetapi ketika di negara kita, kita terpaksa bawa budak2 sekolah untuk jadi penyokong pasukan2 bertanding. Apakah penyokong dari Afrika, German, England dll tak tahu bahawa ada kapal terbang yang mendarat di negara kita? Inilah yang perlu kita renungkan bersama.

Saya rasa banyak yang perlu kita pelajari, tentang situasi ini dan negara kita ini. Sebelum mengajurkan apa2 kejohanan besar fikirkanlah manfaatnya kepada rakyat. Wang berjuta ringgit dibuang (bukan dilabur) begitu saja, hanya semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Saya rasa wang sebanyak itu jika kita laburkan untuk pembangunan tenis di sekolah-sekolah pastinya lebih memberi banyak manfaat bukan saja kepada rakyat, tetapi juga kepada negara. Hentikanlah pengajuran2 besar yang membazir dan retorik itu. Fokuslah kepada pembangunan pendidikan, rakyat dan negara. Rakyat negara kita, belum mencapai tahap minat, pemikiran dan profesional kepada semua jenis sukan. Justeru, kita perlu mendidik di sekolah, bahawa sukan mendatangkan pelbagai manfaat yang baik dalam kehidupan hari ini. Setiap sekolah harus diberi peluang membangunkan budaya kehidupan yang sihat dan maju melalui aktiviti bersukan.

Ahad, 27 September 2009

Banyaknya cuti sekolah

Banyaknya cuti sekolah. Sebelum puasa cuti seminggu, selepas puasa cuti lagi seminggu. Baiknya, kesesakan lalu lintas agak terkawal bila ibu bapa boleh merancang perjalanan hari raya. Namun apa yang berlaku di sekolah, budaya terlalu banyak cuti akan menjejaskan perjalanan sekolah. Aktiviti serta semangat guru dan murid terbantut. Bukan senang untuk memulihkan semangat untuk aktiviti pendidikan selepas kembali daripada bercuti. Bahkan ada yang terlanjur menyambung cuti dengan pelbagai alasan. Di SKTI, hampir purata 2 kelas murid tidak hadir selepas cuti hari raya dan cuti-cuti yang lain. Senario ini seperti sudah menjadi hebit yang pastinya akan menjejaskan proses pendidikan di sekolah. Semuanya jadi perlahan dan tertangguh. Dan impaknya, bukan hanya pada hari tersebut tetapi akan turut mempengaruhi budaya sekolah, pembentukan sahsiah murid serta pencapaian akademik. Amalan dan hebit seperti ini harus dibendung terutama di institusi pendidikan yang menjadi pentas pembinaan negara bangsa. Sekolah seharusnya menyediakan satu pelan tindakan khas sebelum dan selepas bercuti, agar semua warga sekolah dan komuniti setempat bersedia untuk kembali kepada rutin dan program pendidikan yang lebih dinamik.

Isnin, 21 September 2009

Idil Fitri

Alhamdulilah, kita dipertemukan lagi dengan idil fitri. Banyak nolstagia setiap kali menjelang idilfitri. Banyak bezanya kanak-kanak hari ini berhari raya dengan zaman kita kanak-kanak dulu. Suasana, pakaian, kuih-muih, duit raya dan bermacam lagi, sudah terlalu banyak berubah. Kadang-kadang terfikir, adakah seronoknya kanak-kanak hari ini menyambut raya, sama dengan seronoknya kita pada zaman kita kanak-kanak dulu. Kita dulu, kalau esok hari raya, malam ni kita seperti taknak tidur, berjaga dengan emak yang sedang memasak ketupat dan kuih bualu. Sehinggakan kena marah atau kena paksa tidur barulah paksa pejamkan mata. Dan esoknya bila menjelang subuh, kita cepat-cepat bangun, lebih cepat daripada pagi2 biasa. Tapi anak-anak hari ini rasanya tak seghairah kita dulu. Duit raya, 5 sen, 10 sen sudah cukup besar. Tapi hari ini, seringgit tu, kira komanlah kata orang kedah. Apapun begitulah kehidupan. Perubahan hidup ternyata berlaku sehingga begitu sukar sekali untuk kita bendung. Tapi yang menyedihkan, banyaknya perkara negatif di sekeliling anak-anak kita, sehingga adat berhari raya yang sebenar sudah tidak ada lagi. Rumah terbuka, seperti menjadi satu perkara yang melambangkan darjat kehidupan seseorang. Hebatnya rumah terbuka dia, kiranya hebatlah dia menyambut hari raya wpun pada 30 syawal.

Dalam memperkatakan soal nilai dan budaya sambutan raya ni, perkaitan banyak bergantung kepada pembentukan nilai dan budaya masyarakat kita. Hari ini, orang Melayu, sukar sekali untuk kita kelaskan nilai dan budaya Melayu yang sebenar. Terlalu banyak pengaruh yang telah hampir sama sekali mencincang nilai dan budaya yang sebenarnya orang Melayu di Tanah Melayu. Sehinggakan baru-baru ini rakyat Indonesia sanggup melaungkan 'ganyang malaysia' dek kerana mempertahankan nilai dan budaya mereka. Jadi, sebagai pendidik, saya merasa sekolahlah menjadi medan membangunkan budaya dan nilai masyarakat Melayu Malaysia yang sebenar. Isu ini bukan boleh dipandang remeh, kerana pendidikan kita sudah lama terpesong berorientasikan peperiksaan dan nilai pencapaian murid mengikut gred. Penilaian secara holistik yang cuba diterapkan kini seharusnya diperkukuhkan bukan saja untuk melahirkan rakyat Malaysia yang tulen tetapi juga membina nilai dan budaya negara yang sebenar.

Salam idilfitri buat rakan2 dan semua pembaca.

Ahad, 13 September 2009

Aktiviti Pasca UPSR

Alhamdulilah UPSR selesai sudah tanpa apa-apa masalah, mahupun H1N1. Banyak juga habis duit kerana paksa budak2 pakai topeng. Harap2 tak menjejaskan keputusan nanti. Kini tiba masa menjalankan aktiviti Pasca UPSR. Memang sepatutnya sekolah sentiasa ada pelbagai aktiviti menarik tak kira sama ada lepas UPSR atau apapun. Sekolah tanpa aktiviti menarik, mendorong mereka ponteng atau hanya sekadar hadir sebagai rutin harian.

Di sekolah yang mempunyai pelbagai unit dari kurikulum hinggalah ke kokurikulum, sepatutnya sentiasa penuh dengan aktiviti intraktif yang merangsang bukan saja kehadiran murid ke sekolah tetapi juga untuk sentiasa berminat belajar dan meneroka ilmu pengetahuan. Guru2 seharusnya lebih kreatif menyediakan pelbagai aktiviti dan bahan pembelajaran interaktif lebih2 lagi dalam dunia IT ini. Dengan sekolah yang mempunyai pelbagai kemudahan seharusnya, sekolah menjadi tempat tumpuan semua kanak2. Mereka sepatutnya hadir dengan berlari atau penuh semangat untuk menemui guru-guru yang sentiasa kaya dengan aktiviti menarik.

Kita sering mendengar, murid2 begitu liat untuk ke sekolah dan ibu bapa seperti perlu menggunakan kuasa paksaan. Sementara pada waktu balik, mereka hampir semuanya berlari meninggalkan sekolah dengan harapan dapat meneruskan aktiviti di rumah bersama rakan sebaya yang lebih menarik. Atau mungkin juga aktiviti di rumah yang telah tersedia dengan pelbagai teknologi canggih. Begitulah juga dengan aktiviti Pasca UPSR. Program ini dirancang bukan saja sebagai persediaan murid-murid Tahun 6 untuk ke sekolah menengah, tetapi juga sebagai memenuhi waktu senggang mereka bagi mengelakkan mereka ponteng dan terjadi pelbagai aktiviti nagatif di luar sekolah.

Selasa, 8 September 2009

UPSR 2009

Tahniah dan syabas kepada murid-murid dan guru. Kita sampai juga ke UPSR 2009. Semoga segala-galanya lancar dan kita mendapat hasil yang terbaik setimpal dengan usaha yang telah kita letakkan. UPSR, satu penilaian permulaan untuk murid2 di sekolah rendah sebelum meneroka lebih jauh dalam dunia pendidikan. Sebagai guru, kita pastinya ingin melihat anak buah kita mencapai yang terbaik sebagai bukti hasil kerja kita dan pastinya satu kepuasan kepada diri. Namun demikian, tanggungjawab kita sebenarnya lebih daripada itu. Mendidik manusia untuk kehidupan yang lebih baik wpun tanpa 5A. Kita perlu yakin itu. Kebolehan dan kemampuan seseorang kanak-kanak pastinya berbeza dengan pelbagai faktor. Justeru, kita sebagai guru yang baik dan hebat, selain daripada menginginkan pencapaian 5A, semestinya kita ingin melihat semua murid yang kita didik mampu menjadi manusia yang baik dan berguna. Ingatlah, mereka akan terus membesar dan meneroka hidup dengan apa saja ilmu yang kita bekalkan kepada mereka yang akan sama-sama kita saksikan pada masa depan nanti.

Jadi marilah sama-sama, kita bukan saja berusaha untuk pencapaian yang baik dalam UPSR tetapi juga mendidik murid-murid kita dengan pelbagai ilmu dan kebolehan untuk mereka merasa lebih yakin diterima masyarakat ketika mereka dewasa nanti. Setiap apa yang kita berikan kepada mereka, positiflah ianya menjadi satu aset kepada diri mereka nanti. Apalah ertinya 5A jika murid-murid yang kita didik itu, tanpa nilai-nilai kehidupan yang baik. Sejarah telah banyak membuktikan, anak-anak yang tertinggal dan tersisih, selalunya lebih menghormati dan menghargai sentuhan kita kepadanya.

Sabtu, 5 September 2009

Berbuka puasa bersama anak-anak Kelantan

Wpun hampir 10 tahun di Sg. Petani, saya tidak pernah bersama dengan 'Gabungan anak-anak Kelantan' di Sg. Petani. Mungkin saya tidak mempunyai maklumat tentangnya. Ada lojiknya, sebab di kalangan guru, jarang sekali anak-anak Kelantan berada di perantauan. Mungkin kerana peluang untuk kembali ke tanah tumpah darah terbuka luas berbanding dengan jabatan lain. Semalam, dengan bantuan seorang rakan, Pn. Sharifah Sahrina, PK HEM di sekolah saya sendiri, saya diperkenalkan dengan hampir 200 orang anak-anak Kelantan di Sg. Petani di dalam majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh gabungan ini. Pada mulanya saya agak kurang berminat untuk hadir. Mungkin kerana personaliti saya yang masih punya rasa rendah diri bila membayangkan orang-orang lain yang lebih hebat.

Wpun majlisnya tidaklah hebat, tetapi sudah cukup memberi peluang kepada sayadan keluarga berkenalan dengan raka2 senegeri. Bukan niat untuk membangkitkan semangat kenegerian, tetapi dalam kejauhan sanak saudara ada baiknya mempunyai rakan-rakan yang mgkin lebih memahami dari sudut kehidupan dan budaya.

Saya agak terkejut dan teruja, apabila diperkenalkan dengan rakan2 baru yang bukan calang-calang orang. Maksud saya, mereka ada yang berjawatan tinggi di jabatan2 kerajaan dan swasta, serta sebagai bisnesmen yang berjaya. Antaranya, Pengarah Hospital Sultan Abdul Halim, Sg. Petani. Kebanyakan mereka begitu 'humble' dan bersahaja. Saya merasa senang sekali dengan situasi ini. Biasalah, kita sebagai GB, kalau boleh mahukan jaringan perhubungan yang luas sebagai sumber untuk membangunkan sekolah. Terima kasih semua.

Selasa, 18 Ogos 2009

Mengapa kita seperti tidak percaya, kita BOLEH

Sudah hampir sebulan, aku seperti sukar untuk keluar dari rasa malas untuk menulis. Wpun banyak isu dan cabaran yang dilalui, tetapi keinginan untuk menulis di sini seperti terikat kemas dalam belengu kemalasan diri. Mungkin inikah yang dikatakan 'comfort zone', terlalu berat untuk bergerak, keluar dan melakukan sesuatu yang lebih berfaedah.

Lumrah dunia dan sifat yang bernama manusia. Tanpa cabaran dan kepayahan untuk hidup, kita selalunya sukar untuk bergerak mengubah diri. Rasa selesa dengan apa yang ada seperti sudah cukup untuk meneruskan hidup sehingga akhir hayat. Sehinggakan kita seperti katak di bawah tempurung atau siluncai dengan labu-labunya. Tidak mengendahkan apa saja yang berlaku di sekitar kita, asalkan ianya tidak mengena kita dan kita tidak merasa terancam. Segala-gala yang ada seperti sudah cukup puas kita nikmati atau sebagai kebanggaan diri.

Persoalannya, betulkah kita benar-benar puas dan selesa? Mungkin kita merasa selesa kerana tiada siapa mengganggu kita, walaupun apa yang kita buat tidak mencapai tahap yang sepatutnya sama ada secara realitinya atau secara hukumnya. Kita tidak sedikitpun mahu 'bergerak' keluar dari kedudukan kita yang tidaklah hebat dan selesa ini. Kita sebenarnya sering dihambat kegelisahan, bagaimana jika kita ini dipersoalkan atau dihisab, apa yang kita buat sebenarnya. Kita sangat berharap masa itu berlalu dengan begitu pantas agar kita boleh memulakan 'azam' baru menjelang setiap kali tahun baru.

Saya sering ingat kata-kata Datuk Dr. Wan Zahid, bekas KPPM tentang keinginan untuk berubah. Kesukaran untuk berubah diumpamakan seperti seekor katak yang tinggal di batu-batu di tepi sungai. Walaupun diusik, atau sehingga dibakar batu itu dari bawahnya, katak itu masih terus di situ sehingga ia mati kekeringan dengan bahang kepanasan. Analogi ini ada kebenarannya, jika kita memerhatikan sikap setangah daripada kita yang tidak sedikitpun mahu berubah daripada kedudukan asalnya. Walhal kita sedar di sekeliling kita, dunia sedang berubah dan bergerak pantas meninggalkan kita. Kita seperti tidak percaya, kita juga boleh berubah dan melakukan perkara-perkara yang lebih baik untuk diri kita dan orang lain. Tahap kepercayaan kita terhadap diri sendiri begitu rendah sehingga kita kelihatan seperti kosong dan tidak bermakna. Dalam keadaan ini, orang lain tidak banyak boleh membantu, dan jika adapun ianya mungkin bertentangan dengan apa yang ada di hati kita, dalam dunia kita tersendiri.

Selasa, 28 Julai 2009

Matinya seorang patriot

Alfatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad, pengarah filem terkenal negara. Katanya kehilangan besar kepada negara. Saya setuju. Bakat, kreativiti dan kesediaan menghadapi cabaran dalam berkarya, Allahyarham ternyata 'outstanding'. Hasil seni yang digarap beliau agak berlainan daripada orang lain yang sebelumnya. Seni yang bukan saja menghibur, tetapi juga mendidik masyarakat (penggemar filem Melayu) negara kita. Dari sudut itu, wajarlah jika dikatakan negara kehilangan besar. Namun demikian, apa yang ingin saya utarakan di sini, ialah sikap dan mungkin juga boleh dikatakan seperti 'dasar' tidak adil masyarakat dan negara dalam memberi pengiktirafan dan penghargaan. Lebih-lebih lagi, media massa. Saya sering merasa sangat terkilan menghadapi situasi seperti ini. Apabila meninggalnya orang-orang seni (hiburan), seluruh negara seperti berkabung. Kadang-kadang berita mengenainya sampai seminggu. Begitu juga dalam pemberian anugerah dan pingat kebesaran negara. Wpun hanya setahun jagung, sudah dianguerahi pingat kebesaran. Pada pandangan saya, kita perlu berani berubah ke arah yang lebih baik dan positif, bukan mengikut telunjuk membuta-tuli. Nilai-nilai ini seharusnya dipupuk dengan baik oleh seluruh warga negara. Pendidikan sentiasa berlaku di mana-mana, terutama media massa yang begitu tinggi pengaruhnya. Janganlah kerana terlalu mengejar pengaruh dan glamor, nilai yang baik ditinggalkan. Kita juga yang rugi.


Apa yang berlaku di sekolah hari ini, ternyata impaknya daripada nilai yang dibawa masyarakat dan negara. Seorang guru hanya dilihat seperti hamba (abdi) kepada ibu bapa untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Walaupun ibu bapa meletakkan harapan begitu tinggi, hakikatnya bukanlah kepada guru, tetapi kepada anak-anak mereka agar mencapai hasrat yang mereka impikan. Tinggallah guru, ibarat melukut ditepi gantang. Hakikatnya hari ini, tidak banyak guru yang merasa bangga akan diri mereka kerana menjadi guru. Sesetengahnya merasakan mereka hanya hadir ke sekolah, sekadar memenuhi rutin untuk menerima gaji seadanya. Salah satu puncanya adalah, pengiktirafan dan penghargaan masyarakat dan negara kepada guru. Walaupun saban tahun, ada sambutan hari guru, tetapi guru hanya syok sendiri dengan sambutan ala kadar. Berita tentang guru, besarlah tajuknya, jika ianya negatif. Yang positifpun cuba dinegatifkan. Inilah sikap yang sangat memalukan dan melukakan hati para guru. Guru sering diugut, dengan peraturan dan arahan yang sangat rijik dan memualkan. Sebagai contoh, Guru Besar dan Pengetua boleh diambil tindakan tatatertib jika didapati berlakunya wabak Hsatu Nsatu di sekolah. Tidak disebutpun, ketua-ketua jabatan lain, kepala-kepala intitusi lain atau menteri kesihatan dan menteri pendidikan sendiri. Yang salah dan lemahnya guru. Hipokrit sungguh kita. Seperti kita ini tidak pernah menerima sentuhan seorang guru, sehingga kita jadi pengarah filem, sehingga kita jadi, sehingga kita jadi seorang bintang, sehingga kita jadi seorang menteri, atau apa saja kita hari ini. Mungkin, puisi karya agung Osman Awang, 'Guru oh Guru' hanya sekadar retorik setiap kali hari guru.

Ahad, 19 Julai 2009

Rehat

Rehat merupakan salah satu faktor penting kesihatan optimum. Rehat bermaksud tidur yang cukup, selasa, tenang dan sedikit rekreasi. Ianya berkait rapat dengan fizikal dan minda. Rehat yang cukup membolehkan kita kembali segar dan bersedia melakukan tanggungjawab dengan lebih baik dan berkesan. Selalunya ia boleh dianggap sebagai salah satu cara menghilangkan stres dan tekanan. Hubungan sex yang sempurna dan romentik juga merupakan sebahagian daripada keperluan rehat yang baik. Ini bermakna ianya sangat penting bagi membolehkan kita sentiasa sihat dan terhindar daripada penyakit kronik. Perkara ini seharusnya dilihat dengan serius oleh semua orang dan ianya perlu diurus sebaik mungkin, kerana ia melibatkan masa, wang ringgit serta tahap kesihatan semasa. Salah satu cara berehat ialah dengan membawa diri ke suatu tempat yang mungkin baru bagi kita atau pergi melancong. Untuk berbuat demikian, pastinya kita juga perlu mempunyai persediaan yang cukup dari semua aspek agar perjalanan kita itu tidak menjejaskan diri kita dan orang lain.

Sejak jumaat lalu, saya berada di Kota Kinabalu bersama isteri dan rakan-rakan untuk berehat. Alhamdulilah, wpun tidaklah mencapai tahap maksimum, tetapi saya merasakan perjalanan begini merupakan satu cara saya boleh menghilangkan tekanan dan tidak perlu berfikir perkara-perkara rutin yang membosankan. Dengan berada di suatu tempat yang agak asing bagi kita, pemikiran kita akan menjurus kepada perkara-perkara baru yang mungkin tidak pernah singgah di kotak pemikiran kita sebelum ini. Kita sering melihat, orang-orang yang berhijrah boleh membina hidup baru yang lebih baik dan mungkin lebih cemerlang daripada sebelumnya. Ini bermakna, sesuatu yang baru akan menghadirkan inspirasi yang baru kepada hidup kita. Jadi, berehatlah.

Rabu, 15 Julai 2009

Impian dan matlamat

Dalam kehidupan kita, semua orang mempunyai impian dan matlamat. Impian (dream) bermakna apa yang kita inginkan dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya mengikut naluri dan nafsu seseorang. Sementara matlamat pula ialah ukuran pencapaian-pencapaian mengikut tahap dan waktu tertentu ke arah mencapai impian. Kebanyakan kita, tahu ini. Yang kita tidak tahu, selalunya bagaimana untuk membina matlamat dan impian. Impian dan matlamat kita, hanya berlegar-legar sekitar pemikiran yang hadir sekali-sekala. Selalunya orang sering bercakap tentang azam ketika menjelang tahun baru, selepas itu orang tidak pernah bertanya, sudahkan anda mencapai matlamat dan impian anda?.

Bagi sesetangah orang, membina matlamat dan impian tidaklah begitu sukar. Dan kita sering melihat mereka berjaya mencapainya dalam tempoh yang ditetapkan. Tetapi bagi kebanyakan orang, mereka merasa begitu sukar sekali. Ini bergantung kepada tabiat dan sikap diri yang telah terdidik sejak kecil. Namun demikian, sikap dan tabiat ini boleh berubah, bergantung kepada berapa kuat tarikan kepada impian yang telah dibina. Selalunya ia berkait rapat dengan halangan atau cabaran yang dihadapi. Sebagai contoh, kesusahan dan kesempitan hidup atau tekanan yang mendesak. Kita mungkin tewas jika kita berlumba dengan seekor anjing, tetapi kita mungkin berjaya melarikan diri jika kita dikejar anjing. Ini bermakna, kita mampu melakukannya jika kita dalam keadaan terdesak. Kita mempunyai potensi sebenarnya. Walau bagaimanapun, tabiat atau sikap tetap menjadi faktor utama kepada usaha sesorang untuk berubah bagi mencapai matlamat dan impiannya.

Saya pernah melalui berbagai-bagai pengalaman melihat orang-orang yang berjaya mencapai matlamat dan impian mereka. Semuanya membuktikan bahawa, usaha dan keinginan untuk berubah akan mendorong mereka mencapai apa yang mereka ingini. Sesetengahnya dilihat sebagai gila kepada orang-orang biasa yang tidak memahaminya. Seorang anak muda dari Indonesia menceritakan, bagaimana dia menampal-nampal penuh di dalam bilik tidurnya gambar-gambar dan tulisan tentang matlamat dan impiannya. Akhirnya dia bisa mencapai semuanya dalam tempoh yang lebih singkat daripada yang disasarkannya. Ini kerana semua gambar dan tulisannya itu telah mempengaruhi pemikiran di bawah sedarnya untuk sentiasa fokus dan bekerja ke arah itu. Ada rakan-rakan menyatakan dia gila, tetapi katanya, orang itu lebih gila daripadanya kerana tidak mencapai apa-apa seperti yang dia capai. Orang yang sering melihat dan memfokuskan kepada impiannya, dia tidak nampak apapun halangan dan cabaran yang bakal ditempuh. Seperti para pendaki gunung, kerana impian mereka puncak gunung, halangan sewaktu mendaki tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka.

Sesungguhnya dalam hidup ini tersangat banyak iktibar yang boleh kita jadikan contoh yang baik untuk berubah membangunkan diri ke arah mencapai matlamat dan impian kita.

Berubah

Membaca bibliografi orang-orang berjaya, semuanya menceritakan tentang keinginan yang kuat untuk berubah. Bermula dengan perubahan yang kecil sehinggalah kepada yang besar dan cemerlang. Kebanyakan kita keinginan untuk berubah tetap ada di dalam diri dan sanubari mengikut matlamat masing-masing. Namun demikian, perubahan akan berlaku hanya setelah kita berusaha dan melakukan kerja ke arah perubahan. Jika kita hanya melakukan kerja-kerja rutin sekadar memenuhkan masa yang diperuntukan kepada kita, kita bukanlah menuju perubahan walaupun sedikit. Yang hanya berubah, mungkin juga perkara-perkara rutin, seperti masa, umur kita, fizikal kita, atau tapak kasut kita yang saban hari haus menanggung beratnya beban badan kita yang juga semakin berubah. Yang paling menyedihkan kita kadang-kadang tidak menyedari bahawa kita tidak sedikitpun membuat perubahan tetapi diri kita sebenarnya berubah mengikut ketentuan alam.

Rabu, 1 Julai 2009

Kitalah yang menentukannya

Malam tadi kami anak beranak (warga sekolah) makan malam bersama sempena persaraan Pn. Hjh. Rohani. Majlis yang agak sederhana ini diadakan di dataran perhimpunan sekolah, secara santai dan mudah. Wpun tidak semeriah makan malam di hotel, tetapi rasanya kita telah berjaya mengadakan satu majlis yang sangat baik dan sentimental. Wpun ada juga guru dan staf tidak hadir, tetapi yang hadir itu telah menunjukkan komitmen yang tinggi bukan saja untuk menjayakan majlis tetapi juga untuk menyuburkan semangat kekitaan sebagai satu keluarga di sekolah ini. Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Abd. Rahman pengurusi kelab staf dan rakan2 JK yang telah berjaya mengadakan majlis ini dengan baik sekali. Kebolehan guru-guru mendisign susun letak meja serta hiasan untuk menceriakan majlis sangat baik dan berkesan. Syabas cikgu zahir, ustaz izad, dan lain2 guru dan staf yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Inilah yang diharapkan dalam apa jua program dan aktiviti di sekolah. Semangat bekerjasama tanpa berkira, bukan saja kita boleh menjayakan apa saja program tetapi juga boleh mengeratkan perhubungan dan mewujudkan semangat kekitaan. Sekolah ini, kitalah segala-galanya, kitalah yang menentukannya.

Khamis, 25 Jun 2009

Berfikir dan mencuba

Hujung minggu lalu saya berserta 10 orang guru dan 30 orang murid berkampung di SK Rantau Petronas, Kerteh, Terengganu menyertai Karnival bersama badan beruniform sekolah. Sesuatu yang luar biasa, tapi hebat dan memberi impak yang baik kepada kedua-dua sekolah dan negeri, kata pegawai wakil PPD Kemaman. Terima kasih Pn Khadijah, GB SKRP, En. Alias Othman, PKKO, yang juga macam saudara saya yang banyak memberi nasihat ketika sama-sama jadi mahasiTUA di UPSI serta semua guru, staf dan murid SKRP yang memberikan yang terbaik kepada kami satu rombongan. Walaupun keletihan, saya yakin guru-guru dan murid-murid yang menyertainya memperolehi pengalaman dan ilmu berguna dalam belajar dan mengajar.

Dalam setiap aktiviti atau apa saja yang dilaksanakan di sekolah, sebagai guru, kita harus memberikan yang terbaik. Guru, segala-galanya bagi seorang murid dan kanak-kanak. Justeru, kita di beri kepercayaan dan tanggungjawab untuk mendidik dengan ilmu yang terbaik. Pada kanak-kanak, gurulah segalanya, serba boleh dan serba tahu. Alasan untuk menidakkan tanggungjawab dan tidak memberikan ilmu pengetahuan yang terbaik kepada kanak-kanak, bermakna kita bukanlah guru yang tulen. Guru seharusnya tahu dan mampu berada di mana saja sebagai fesi atau jurulatih kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Guru mengganti tanggugjawab ibu bapa ( in loco perentis ), dalam terma undang-undang. Ini bererti besarnya tanggungjawab guru sehingga boleh didakwa jika didapati cuai menjalankan tanggungjawab. Kalau dulu kecuaian hanya ditafsir akibat daripada kemalangan, tetapi hari ini, kegagalan murid menguasai pelajaran juga boleh mengakibatkan guru didakwa sebagai cuai.

Untuk menjadikan kita serba boleh, dan berada satu tahap lebih baik daripada orang lain (outstanding), amalan berfikir dan mencuba adalah satu kaedah yang paling baik. Orang berkata, seseorang yang suka berfikir diluar kotak fikirannya, selalunya akan menghasilkan kerja yang lebih baik daripada orang lain dan tidak konvensional. Dengan kata lain, guru mesti kreatif dan berfikir di luar daripada kebiasaannya dan mencuba untuk menghasilkan kerja yang keluar juga daripada kebiasaannya. Cuba untuk membangkitkan rasa tidak puas hati setiap kali kita menyiapkan sesuatu kerja dan cuba berfikir untuk mengubahnya supaya dilihat menunjukkan ada perubahan dalam hasil kerja kita. Tidak stereotype dan merupakan sesuatu ciptaan yang baru. Pada saya ianya bukanlah sesuatu amalan yang sukar, hanya berfikir sedikit dan mengubahnya sedikit. Untuk menghasilkan tugasan yang lebih baik, hasil daripada berfikir dan mengubah tadi, kita juga harus menokok tambah dengan ilmu berkaitan apa yang kita buat. Setiap perkara ada hukumnya, dan kita tidak boleh syok sendiri mengatakan hasil kerja kita sudah bagus. Untuk mendapatkan ilmu ini, biasalah, dengan membaca atau merujuk sebanyak mungkin maklumat yang ada dari pelbagai sumber.

Halangan besar dalam diri guru-guru kita hari ini adalah malas untuk berfikir dan mencuba, wapun sedikit. Sehingga perkara-perkara kecil yang tidak sepatutnya silap, sudah menjadi kebiasaan dan sudah dianggap betul. Jika ada orang lain yang menegur kesilapan ini, kata mereka kita cerewet dan serba tak kena. Saya pernah mendengar cerita bagaimana swasta menguruskan sumber tenaga mereka. Staf yang tidak berubah dianggap tidak lagi produktif dan dicadangkan untuk berhenti. Dalam soal ini, di sekolah, seharusnya kita mempunyai kayu ukur produktiviti seseorang mengikut bidang tanggungjawbnya serta keperluan asas kebolehan dan kemahiran seorang guru. Guru yang dianggap tidak produktif dicadangkan untuk hadir berkursus atau menyertai latihan tertentu. Jika ini berlaku, saya yakin sekolah akan menjdi pusat mendidik yang sangat baik dan profesional.

Rabu, 17 Jun 2009

Persediaan ke SK Rantau Petronas

Hari ini, hari terakhir membuat persiapan untuk menyertai Karnival Badan Beruniform antara SK Tunku Ismail, Kedah dengan SK Rantau Petronas, Terengganu. Pagi esok kami akan bertolak satu bas dengan 30 orang murid dan 10 guru. Serampang 2 mata, itulah matlamat kami. Menyertai perkhemahan badan beruniform secara bersama dan membuat banchmarking. SK Rantau Petronas, antara sekolah terbaik di Terengganu. Kebetulan GB Pn. Khatijah dan PKKO En. Alias Othman adalah rakan saya ketika kami sama2 sambung belajar di UPSI.

Walaupun menggunakan kos yang agak tinggi, tetapi saya lebih positif kepada hasil yang akan kami capai. Murid-murid yang menyertai perkhemahan bersama ini adalah merupakan barisan pemimpin pasukan beruniform sekolah yang diharapkan akan menimba banyak ilmu dalam program menarik ini. Begitu juga 10 orang guru yang saya bawa bukanlah hanya untuk bersantai atau melancong, tetapi mereka ditugaskan untuk membuat banchmarking apa yang baik di SK Rantau Petronas untuk dijadikan sumber idea bagi membawa perubahan di sekolah sendiri.

Aktiviti luar sekolah khususnya perkhemahan, pada saya seharusnya memberi peluang untuk pelajar bergerak keluar dari sekolah dan merakamkan sebanyak mungkin pengalaman dan pembelajaran yang tidak diperolehi di dalam bilik darjah. Bermula dari menaiki tangga bas, mereka sudah mula belajar berdikari berpisah dari ayah bonda buat seketika dengan dibantu guru-guru sebagai fesi dan penasihat untuk mengharung pengalaman yang mungkin belum pernah mereka alami. Justeru, peluang seharusnya diberi seluas-luasnya kepada para pelajar dan guru untuk menimba pengalaman yang pelbagai di luar sekolah.

Saya merakamkan ucapan terima kasih, atas bantuan dan sokongan banyak pihak dalam usaha menjayakan program ini, terutama Guru Besar dan PKKO SK Rantau Petronas, PIBG, Ibu bapa serta para penyumbang. Sesungguhnya usaha dan sokongan begini akan memberikan banyak kelebihan kepada guru dan murid bukan saja membangunkan personaliti mereka tetapi juga dunia pendidikan negara.

Jumaat, 12 Jun 2009

Perjalanan singkat

Sejak selasa lalu, saya mengambil kesempatan membawa anak2 (yang kecil2) pulang ke kampung. Biasa, bila cuti sekolah, inilah kesempatan melayan anak2 untuk bersantai bertemu saudara mara yang tidak kurang besarnya. Kebetulan saya masih ada ayah yang berumur sudah menjangkau seratus tahun, jadi keluarga besar kami tersebar hampir seluruh Kelantan. Tapi malangnya perhubungan agak terbatas dek kedaifan hidup dan tinggal pada jarak yang agak jauh. Wbagaimanapun, saya sentiasa mengambil ksempatan untuk berkunjung, maklumlah, saya antara yang merantau ke negeri orang.
Selain ketemu sanak saudara, perjalanan jauh ini memberi kesempatan untuk saya ketemu sahabat-sahabat lama yang membongkar segala nolstagia ketika kanak-kanak dan remaja. Masing-masing dengan haluan hidup yang pelbagai. Tengah hari ini ketika selesai solat jumaat saya berkesempatan ketemu rakan2 ketika remaja. Bila melihat mereka, ternyata kami semua sudah pada alam yang tersendiri dengan pelbagai gelagat hidup. Ada yang kelihatan jauh lebih berumur daripada saya atau yang sepatutnya. Inilah kehidupan dengan bahana apa yang dilalui sepanjang menikmati hidup yang singkat ini. Wpun tidak berpeluang berbual panjang, tetapi daripada riaksi mereka, saya dapat membayangkan peranan masing-masing dalam kehidupan ini. Ada yang telah menjadi Imam besar masjid, ada yang telah menjadi taukeh dan ada yang masih terkial-kial mencari haluan yang lebih baik.
Perjalanan singkat ini juga memberi peluang kepada saya mendapatkan maklumat tentang perjalanan pendidikan di kelantan. Wpun mengamalkan dasar yang sama KPM, tetapi drp apa yang saya dengar terdapat pelbagai isu yang pada saya sangat menyedihkan, khususnya pada peringkat kepimpinan tertinggi pendidikan negeri. Jika diambil kira dengan apa yang berlaku pada peringkat sekolah, pada pendapat saya, pendidikan di kelantan sedang mengalami zaman yang mengecewakan. Mungkin tidak banyak mempengaruhi pencapaian pelajar, tetapi kesan kepada seluruh warga pendidikan rasanya kurang menyenangkan.
Saya sempat berkunjung ke daerah Setiu, Terengganu kerana membawa anak-anak yang sudah lama mengidam untuk mandi pantai. Alhamdulilah, kami rasa sangat seronok ketika bersantai di pantai penarik. Pantai yang bersih dan selamat untuk mmandi manda bersama anak-anak. Sekarang ini di kelantan sudah tidak ada lagi pantai yang bersih. Dari pemerhatian saya, ada sesuatu yang sangat bernilai di sepanjang pantai negeri Terengganu yang sepatutnya di teroka sebagai sumber pelancongan negara. Tetapi, siapalah kita untuk melihat perkara itu lebih jauh.

Ahad, 7 Jun 2009

Pentingnya ilmu kejurulatihan

Petang semalam saya mengambil kesempatan hadir untuk memberi sokongan kepada 2 pelajar saya Mohd Amir Adli dan Mohd Nor Faiz yang mewakili negeri Kedah dalam pertandingan akhir bola baling bawah 12 tahun MSSM di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Walaupun sedikit kecewa kerana tewas dan mendapat naib johan, tetapi tahniah diucapkan kepada mereka berdua serta guru-guru yang memberi bimbingan selama ini. Setakad ini, 3 orang pelajar SKTI sudah menggengam pingat perak pada peringkat MSSM (Kebangsaan). Ini satu pencapaian terbaik sekolah dalam bidang sukan dan kokurikulum. Semoga ini adalah satu permulaan kepada kegemilangan seterusnya sesuai dengan matlamat Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang menjurus kepada pencapaian murid secara holistik.
Satu perkara yang menjadi perhatian saya ketika menonton pertandingan akhir ini ialah, betapa guru yang diberi peranan sebagai jurulatih perlu mempunyai ilmu dan kebolehan dalam bidang kejurulatihan. Wpun tidak mempunyai sijil rasmi, tetapi kebolehan memahami dan membaca kebolehan pemain serta situasi pertandingan sangat penting dan amat diperlukan terutama di dalam perlawanan genting. Secara keseluruhan saya lihat pasukan Kedah dan lawannya pasukan Selangor adalah seimbang, sehingga mereka dalam keadaan sentiasa rapat dalam jaringan gol. Kedah lebih banyak mendahului dan dilihat akan memenangi perlawanan. Tetapi inilah yang dikatakan kebolehan dan kebijaksanaan jurulatih yang memain peranan menggerakkan pemain pada waktu puncak dan tepat pada masanya. Kebetulan saya duduk di belakang kontinjen pasukan Selangor, sempat saya memerhatikan bagaimana jurulatihnya memain peranan sehingga pasukan selangor berjaya mengalahkan kedah dengan jaringan hanya 11-10. Inilah bezanya yang saya lihat antara dua pasukan ini, kebolehan dan kepakaran jurulatih. Walaupun pada peringkat sekolah, guru-guru harus mengambil kesempatan untuk mendalami ilmu kejurulatihan serta sains sukan untuk memastikan tanggungjawab yang diamanahkan berjaya direalisasikan.

Sabtu, 6 Jun 2009

Tiba2 jadi malas menulis

Sudah lebih 2 minggu saya tidak menulis di blog ni. Minat untuk menulis seperti diragut tiba-tiba. Wpun banyak idea dan pengalaman dilalui tapi, hasrat untuk meluahkan perasaan di sini, jadi kaku. Sebenarnya idea untuk menulis banyak bergantung kepada hati dan perasaan, bukan boleh dipaksa. Mood saya untuk menulis mungkin juga terbantut oleh gangguan hati dan perasaan. Terfikir dan terasa oleh saya, mungkin ada pembaca mengatakan saya mengada-ngada atau mcm2 lagi dengan hak mereka untuk mengatakan apa saja. Perasaan itu tiba-tiba menghilangkan minat saya untuk menulis dan merakamkan pengalaman sebagai bahan perbincangan dan cermin diri. Dalam penulisan, penulis mengambil pendekatan dan style yang pelbagai sesuai dengan minat, pengalaman dan cita rasa hati mereka. Mungkin penulisan saya banyak berkisar kepada hal-hal pengurusan pendidikan dan keinginan untuk mengajak para pembaca mengemukakan pandangan yang baik tentang isu yang saya tulis. Tapi saya tahu dan sedar semua orang mempunyai hak dan citarasa tersendiri untuk memberi respon.

Sejak kebelakangan ini banyak diskusi telah dibuat tentang kebebasan menulis di blog (bloger). Saya tertarik kepada beberapa pandangan tentang betapa blog boleh memain peranan yang sangat baik untuk dijadikan medan berdiskusi secara lebih ilmiah. Namun kebanyakan penulisan blog lebih menjurus kepada hal-hal yang lebih peribadi dan santai sebagai tempat menghilangkan tekanan. Inipun ada baiknya. Saya sangat tertarik dengan rakan2 bloger yang begitu baik penulisannya sehingga mampu mencetuskan perkembangan minda yang baik kepada para pembaca. Semoga saya juga terus berminat untuk menulis.

Ahad, 24 Mei 2009

Tahniah, kita boleh.

Hujung minggu lalu, kokurikulum sekolah meningkat ke satu tahap lagi. Tahniah Mohd Najib kerana telah berjaya menggondol pingat perak di kejohanan olahraga MSSM dalam acara lontar peluru. Tahniah juga kepada pasukan bola baling yang menjuarai kejohanan peringkat negeri Kedah, dan 2 orang pelajar akan mewakili Kedah ke kejohanan peringkat MSSM yang akan berlangsung minggu depan. Perkembangan yang baik ini diharap akan terus berkembang di sekolah ini untuk memastikan objektif pendidikan secara holistik akan tercapai.

Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha semua pihak, murid, guru dan ibu bapa. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap akan sentiasa memberikan komitmen dalam apa jua untuk kemajuan pendidikan di sekolah ini. Saya sentiasa yakin dan percaya, kita boleh, jika kita mahu. Jadi teruskan usaha dalam bidang masing-masing untuk menuju kecemerlangan.

Khamis, 21 Mei 2009

Bagaimana sebenarnya kepimpinan ini

Sering kali saya terfikir, bagaimana sebenarnya kepimpinan yang baik di sekolah. Antara teori dan amalan kadang-kadang tidak menunjukkan satu titik pertemuan kesahan yang sebenarnya. Saya merasakan kepimpinan lebih bergantung kepada personaliti seseorang termasuk rupa parasnya. Sejak menjadi pepimpin di sekolah, saya mencuba beberapa teori dan petua-petua kepimpinan untuk mencapai objektif dan matlamat yang saya rancang. Tetapi kadang-kadang saya merasakan apa yang saya praktikkan seperti tidak kena atau gagal mencapai matlamat. Orang-orang yang saya pimpin seperti mengambil kesempatan dengan sikap saya yang terlalu bertoleransi dan terbuka. Timbul persoalan, tidak baguskah cara saya jika saya sentiasa mengutamakan kebajikan guru-guru sehingga apa saja permintaan mereka berkaitan hal2 peribadi, jarang sekali saya mengatakan tidak boleh. Bila diukur dengan permintaan dan kehendak saya terhadap apa yang telah dirancangkan di sekolah, rasanya ada sedikit ketidakseimbangan, daripada hasil yang telah diberikan oleh guru-guru. Bukan untuk saya secara peribadi, tetapi untuk murid-murid, sekolah dan diri guru-guru sendiri.

Pagi tadi saya menghadiri majlis sambutan hari guru peringkat negeri Kedah. Timbul persoalan dalam diri saya, apakah guru-guru saya tidak mampu menerima anugerah2 yang disediakan? Tidak timbul soal cemburu atau iri hati bila melihat GB SK Convent Father Barre Sg. Petani, naik ke pentas menerima anugerah sekolah cemerlang peringkat kebangsaan, tetapi persoalan dalam diri saya, apakah guru-guru dan staf saya tidak boleh berubah seperti guru-guru dan staf di sekolah itu yang menggerakkan budaya kerja yang sangat baik sehingga membuahkan pelbagai hasil kecemerlangan. Saya tidak negatif, kerana saya telah mula melihat ada tanda-tanda kecemerlangan di dalam aktiviti sukan dan kokurikulum, tetapi harapan saya kecemerlangan itu biarlah menyeluruh. Apapun saya tetap yakin dan percaya guru-guru saya boleh berubah dari semasa ke semasa tanpa merasa tertekan dan takut untuk terus mencuba membuat sesuatu yang diluar kebiasaan demi untuk perubahan.


Perlukah saya mengubah sikap dan cara kepimpinan saya dengan cara yang lebih keras dan menekan? Saya cuba meneliti dan membandingkan rakan2 GB yang lain bagaimana cara mereka menguruskan sekolah. Sehingga ada yang mendapat anugerah GB cemerlang (DGA38) atau anugerah sekolah cemerlang. Seharusnya saya perlu mencuba sesuatu yang baru namun bukanlah bertujuan untuk menekan atau menyusahkan sesiapa. Menjelang separuh kedua tahun 2009, beberapa perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah akan dibuat bersesuaian dengan keperluan semasa dan anjakan matlamat bagi tahun 2009.

Selasa, 19 Mei 2009

Perjumpaan Profesionalime Guru Besar

Sejak semalam saya menghadiri Perjumpaan Profesionalime Guru Besar Zon Kuala Muda2, daerah Kuala Muda/Yan, Kedah. Perjumpaan ini memberi peluang untuk para GB berdiskusi pelbagai isu yang berkaitan pengurusan dan kepimpinan sekolah. Dalam ucapan perasmian, Tuan PPD menarik perhatian kepada beberapa isu antara lainnya berkaitan pengutan bayaran wang daripada ibu bapa serta hal-hal yang berkaitan perancangan strategik sekolah. Keramahan dan ketidakprotokolan tuan PPD membuka banyak ruang kepada kami untuk berdailog dengan beliau khususnya berkaitan isu pengutan bayaran daripada ibu bapa. Dalam hal ini, saya lihat KPM sudah membuat kesilapan sehingga menjejaskan sedikit pengurusan sekolah dari aspek untuk menjalankan aktiviti-aktiviti murid, sehingga kementerian telah menyalurkan peruntukan khas 'one off' kepada PIBG sekolah. Di dalam perjumpaan ini, kami melihat betapi para pemimpin sekolah tidak sedikitpun didengar pandangan mereka. Apa saja isu di sekolah seharusnya orang yang paling dekat perlu diajak berunding dan diberi peluang untuk memberi pandangan.

Perjumpaan begini sangat bermakna kepada kepimpinan sekolah, wpun pandangan kami tidak diendahkan, tetapi kami cuba untuk bersama-sama membangunkan pendidikan negara ke tahap yang terbaik.

Ahad, 17 Mei 2009

Selamat Hari Guru, terima kasih semua.

Semalam, 17 Mei 2009, sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Program dan aktiviti, macam biasa, tak banyak perubahan yang luar biasa. Lebih 20 tahun jadi guru dan sudah 8 buah sekolah saya bertugas, idea kepada aktiviti sambutan tidak menunjukkan perubahan zaman yang semakin baik. Jawapan yang ada dalam hati saya, berlaku pertembungan antara keinginan pemimpin sekolah dengan kehendak guru yang ramai. Guru-guru, dari dulu lagi, mereka seronok kalau dapat bermain-main seperti telemacth atau perlawanan dengan murid. Wpun, dah bertahun tak main, nak juga main. Mungkin sebab kerja cikgu, jadi permainan itu adalah sebahagian daripada tugas mereka.

Saya mengidamkan sambutan hari guru disambut dengan lebih rasmi, seperti perarakan masuk guru-guru ke dalam dewan (seperti para graduan diarak masuk sebelum majlis konvokesyen) dan didudukkan di satu tempat khas. Suasana penuh warna warni dengan perlbagai acara termasuk anugerah2 khas peringkat sekolah, pengumuman penting, perghargaan daripada ibu bapa serta persembahan khas dari guru dan murid-murid. Sambutan hari guru seperti satu karnival khas di sekolah yang melibatkan semua ibu bapa. Suasana yang hebat ini turut dirasai oleh semua yang terlibat dengan sekolah. Majlis perasmian mungkin dibuat oleh seseorang yang dijemput khas. Saya gambarkan seperti sambutan peringkat kebangsaan. Jika ada pertandingan atau permainan untuk guru-guru, diadakan lebih awal. Mungkin rancangan saya ini akan kita laksanakan pada masa hadapan.

Sempena sambutan semalam, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua murid dan ibu bapa yang memberikan penghargaan dengan ucapan serta pelbagai hadiah. Wpun kecil, tetapi bagi saya ianya sangat bermakna. Budaya menghargai ini seharusnya dipupuk pada peringkat kanak-kanak lagi agar mereka sentiasa hidup dalam suasana yang harmoni dan tahu menilai dan menghargai orang lain. Kepada guru-guru, sempena hari guru ini saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas semua usaha yang baik bukan saja untuk kecemerlangan murid dan sekolah, tetapi juga kecemerlangan diri sendiri.

Rabu, 13 Mei 2009

Tahniah Pasukan Bola Baling, Juara Daerah KMY

Sekali lagi pasukan sekolah yang mewakili Zon PKG Sungai Petani merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Baling L12 peringkat Daerah Kuala Muda/Yan 2009. Sementara pasukan perempuan hanya merangkul naib johan. Tahniah diucapkan kepada semua murid dan guru terlibat. Sebahagian besar pemain sekolah akan mewakili daerah ke Kejohanan peringkat negeri yang akan diadakan pada minggu depan.

Kanak2, jika diberi bimbingan dan latihan yang betul, mereka boleh jadi apa saja. Jika kita lihat di negara-negara blok komunis, seperti Cina, Rusia, Romania dll, mereka melatih kanak-kanak sejak dari kecil lagi untuk lahir sebagai ahli sukan yang berjaya. Selain itu, kebolehan dan kepakaran jurulatih juga main peranan yang sangat besar bukan saja untuk mencungkil bakat dan seterusnya melatih mereka dengan cara yang betul. Guru-guru seharusnya dilatih dan diberi pendedahan yang secukupnya sebagai guru sukan. Dalam sukan, jurulatih perlu memahami sains sukan, serta mempunyai pengetahuan yang luas dalam selok belok pertandingan dan penyediaan pasukan. Guru-guru yang diberi tanggungjawab perlu serius dan bersungguh-sungguh seperti seorang jurulatih profesional yang mengetahui keperluan semasa latihan dan pertandingan.

Saya merasa gembira dan bangga usaha untuk meningkatkan mutu kokurikulum dan sukan dengan mengadakan projek kecemerlangan sukan telah menampakkan hasil yang baik. saya sangat berharap semua guru yang diberi tanggungjawab sebagai jurulatih kepada pasukan sekolah meneruskan perancangan program pembangunan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ini bermakna, latihan perlu dibuat sepanjang tahun dan membina pasukan pelapis yang boleh diketangahkan pada masa akan datang.

Pembangunan sukan dan kokurikulum yang baik di sekolah, akan memblehkan murid-murid sihat dan cerdas serta mengelak mereka daripada aktiviti yang tidak berfaedah dan membuang masa. Penumpuan kepada akademik semata-mata tidak menjamin sepenuhnya kita akan melahirkan manusia yang cemerlang.

Selasa, 12 Mei 2009

Waktu bekerja GB/Pengetua

Beberapa minggu lalu, saya terbaca surat peringatan dari Pengarah Pelajaran Negeri berkaitan waktu bekerja GB/pengetua siap dgn lampiran pekelilingnya serta teguran dan kiasan bahawa GB/Pengetua tidak menjalankan tugas mengikut masa yang ditetapkan dan menjejaskan kredibiliti sekolah, JPN dan KPM. Jauh di sudut hati saya rasa terkilan juga dengan surat peringatan tersebut kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit. Pada pandangan saya, seharusnya surat peringatan tersebut ditujukan kepada 'kerbau yang membawa lumpur' tadi. Hukumlah orang yang membuat onar, bukan sebaliknya. Bukankah ketua jabatan berhak meminta surat tunjuk sebab, jika dirasakan perlu bila gb/pengetua tidak mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan.

Saya teringat kembali surat peringatan tersebut setelah petang kelmarin saya terkejar-kejar ke empat tempat berasingan atas urusan rasmi sekolah. Mengapa jadi begitu, kerana saya keluar dari sekolah mengambil kira masa bekerja sehingga saya boleh sampai ke tempat yang dituju dan menyelesaikan urusan tepat pada masanya, tanpa lebih masa untuk mundar mandir (mencuri waktu kerja). Alangkah penatnya rasa apabila tiba di rumah hampir jam 6.30 petang.

Bercakap tentang waktu kerja GB/Pengetua, saya rasa tidak adil jika kita hendak bandingkan dengan pegawai kerajaan yang lain. Di sekolah rutin kerja yang sangat rencam dan tidak tentu masa dan ketika. Kadang2 mesti berada di sekolah waktu malam, hari minggu, hari cuti kelepasan dan sebagainya, kerana itu tanggungjawab yang diamanahkan. Saya merasa heran bagaimana arahan pekeliling yang menyatakan GB/Pengetua boleh rehat pada jam 12.45 tengahhari sama dengan pgawai kjaan yang lain, sedangkan pada waktu itulah, waktu puncak kepada tugas GB/Pengetua di sekolah, lebih2 lagi jika sekolah itu 2 sesi. Selain dari itu, GB/pengetua juga mempunyai tanggungjawab perhubungan dan komuikasi yang pelbagai sebagaimana rencah kerja yang semakin pelbagai di sekolah. Berdiskusi tentang perkara ini, kebenaran tentang hakikat waktu kerja sebenar GB/Pengetua tidak pernah diketahui dengan jelas oleh awam, hatta para pemimpin atasan pendidikan negara sekalipun, kerana GB/Pengetua tidak pernah dipanggil berbincang. Dasar dan peraturan kadang-kadang dibuat hanya mengikut selera dan nafsu politik PTD dalam kementerian dan orang-orang yang berkepentingan. Kita harap perkara ini diperbincang dan ditambahbaikan sesuai dengan era sekolah klaster dan dunia teknologi terkini.

Ahad, 10 Mei 2009

Perancangan Sekolah Setengah Tahun Kedua

Semalam berlangsung mesyuarat Kurikulum 2/2009. Matlamat mesyuarat ini adalah untuk membuat tinjauan semula (post mortem) perancangan sekolah setangah tahun pertama dan menambahbaik perancangan sekolah bagi setengah tahun kedua 2009. Jika sebuah syarikat swasta, membuat tinjauan semula dan menjana perancangan kehadapan merupakan suatu agenda penting dalam pengurusan syarikat untuk memastikan matlamat 2009 dan visi syarikat tercapai. Di sekolah, perkara ini jarang dilihat secara serius bukan saja kepada pemimpin sekolah, tetapi juga guru-guru yang mempunyai tanggungjawab besar kepada matlamat pencapaian murid pada tahun semasa. Selalunya, sekolah berlalu seperti biasa, dan jika ada mesyuarat hanyalah sebagai satu rutin yang memenuhi takwim sekolah. Perbincangan tidak benar-benar menjurus kepada post mortem dan analisis pencapaian terkini dan sasaran masa depan.

Saya cuba menghadapi situasi ini, dengan cara agak santai sebagai permulaan perubahan sistem pengurusan sekolah. Tetapi bukanlah sesuatu yang senang untuk mengajak guru duduk berjam-jam berbincang dan membuat analisis kekuatan dan kelemahan apa yang mereka buat sepanjang hampir 5 bulan sesi persekolahan 2009. Namun demikian, dengan merujuk kembali fokus perancangan strategik semasa (2009) serta menarik perhatian guru kepada headcount kurikulum/akademik sekolah, saya sangat berharap guru-guru faham hala tuju wawasan sekolah. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan pencapaian semasa aktiviti kokurikulum dan hal ehwal murid, seharusnya menjadi turning point kepada semua guru untuk menambahbaik semua perancangan dan gerakkerja untuk sesi setengah tahun kedua (penggal 2) nanti. Dengan segala kemudahan yang ada dan telah disediakan seharusnya guru-guru tahu dan sedar apa yang harus mereka lakukan untuk memastikan matlamat 2009, anjakan kecemerlangan menyeluruh, tercapai.

Saya tidak terlalu optimis untuk melihat perubahan yang sangat besar, memadai berlaku perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya dan memberikan kekuatan untuk kecemerlangan seterusnya. Guru-guru harus tahu mengukur dan meletakkan sasaran bukan saja murid-murid di bawah tanggungjawabnya tetapi juga sasaran peribadi. Saya sering katakan, tidak akan berlaku sekolah itu cemerlang, jika guru dan kepimpinan sekolahnya tidak cemerlang.

Khamis, 30 April 2009

Tetamu di sekolah

Ni satu lagi cerita, yang aku nak gambarkan keadaan yang berlaku di sekolah. Sorry, pakai bahasa aku hari ni. Tengah hari semalam aku berbual dengan seorang tetamu sekolah, salesmen. Biaq pi la kalau ada orang kata aku puji diri. Tapi cerita sikit apa yang kawan kita salesmen ni cerita boleh kot. Kalau taknak dijadikan pedoman pun, ikut hangpalah. Salesmen ni cerita, pengalaman dia masuk ke sekolah, dia menghadapi macam2 kerenah GB/Pengetua. Maklumlah, mereka ni hebat dan ada kuasa. (Besar mana sangat kuasa tu?) Sesetengahnya tak beri peluang langsung. Dari pintu masuk lagi diarahnya jaga sekolah, tahan dan tak benarkan masuk. Kononnya untuk keselamatan sekolah. Bagus jugalah kalau fikir begitu. Ada setengahnya pula dia ada di sekolah, tapi disuruhnya staf sekolah yang sambut tetamu tu kata dia takda di sekolah. Macam2lah, ada yang kata sibuk, mesyuarat, takda duit dan sebagainya.

Apa yang aku nak hangpa bayangkan, bagaimana rasanya jika kita terbalik, hang jadi salesmen dan salesmen tu jadi hang. Lepas tu, salesmen yang ambil tempat hang sebagai GB/Pengetua, layan hang macam hang layan dia tadi, macam mana rasanya. Aku pernah berguru pasal komunikasi dan perhubungan ni, kalau nak layan orang, cuba terbalikkan kedudukan. Kita jadi tetamu, dan tetamu tu jadi kita, apa perasaan kita? Aku selalu ingat, aku ni anak ramai, mungkin ada anak2 aku yang keja jadi salesmen. Jadi aku selalu ingat, bagaimanalah perasaan anak2 aku ni, jika ada orang2 hebat seperti GB/Pengetua ni tak layan dia untuk mencari sedikit rezeki di sekolah.

Bukan saja salesmen, pelanggan sekolah seperti ibu bapa pun perlu diberi layanan yang baik sesuai dengan keperluannya hadir di sekolah. Mereka tidak akan hadir jika tiada keperluan. Jadi, jika mereka tak diberi layanan yang baik, malanglah kita dan mereka. Dari pengalaman aku, ada sesetengah salesmen dan ibu bapa yang hadir jumpa aku, mereka seperti tergaman dan terkejut, dengan layanan aku. Bila aku tanya, aa..macam2lah ceritanya dari pengalaman mereka sebelum ini. Terpulanglah, hang nak kata aku masuk bakul angkat sendiri ke, apa ke, aku harap cerita aku ni jadi ikhtibar. Bila pegang tampuk sebagai ketua, janganlah rasa hebat dan besar sangat. Tak rugi satu sen pun layan tetamu dengan baik. Dengar dulu apa dia nak kata, jangan takut dengan bayang2 sendiri. Aku rasa malu, bila ada salesmen cerita perangai GB pengetua yang layan mereka macam zaman penjajah. Sorylah kawan, kalau baca blog aku ni, hang terasa.

Rabu, 29 April 2009

Peranan Guru Besar dan Pengetua di sekolah

Bercakap tentang peranan Guru Besar dan Pengetua di sekolah, umum mengetahui betapa besar dan beratnya tanggungjawab itu. Dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar2nya, GB dan Pengetua bukan saja perlu mengetahui tetapi perlu melakukan bersama-sama dengan semua guru dan staf di sekolah. Dengan kata lain, GB dan Pengetua boleh buat jika disuruh untuk melakukannya. Sebagai contoh, jika kita menyuruh seorang pekerja memesin rumput, kita seharusnya tahu dan boleh juga memesin rumput. Bukan tujuan kita nak mengambil alih tugas pekerja sokongan, tetapi sekurang-kurangnya tahu dan rasa bebanan kerja yang ditanggung oleh orang-orang yang kita pimpin. Dalam entry kali ini saya tidak bercadang berbincang panjang lebar tugas dan tanggungjawab GB/Pengetua di sekolah, tetapi sekadar berkongsi pengalaman apa yang saya lalui.

Sejak awal tahun 2009, saya sering bersama-sama guru dan murid-murid yang menyertai pertandingan2 acara sukan dan kokurikulum. Saya pasti hadir ke veneu pertandingan bukan saja untuk melihat tetapi turut menjadi penyokong kuat kepada pasukan dan sesekali bertindak sebagai penasihat atau jurulatih. Pada saya kesannya sangat hebat, bukan saja kepada murid-murid yang bertanding tetapi juga kepada guru-guru serta ibu bapa. Saya tidak sedikitpun merasa kekok atau merasa saya ini perlu dilayan dengan protokol, tetapi saya meletakkan diri saya sama seperti guru-guru dan murid-murid saya yang berusaha bertungkus lumus.

Beberapa minggu lepas, dua hari saya bersama skuad hoki sekolah di pertandingan Hoki MSS Daerah Kuala Muda/Yan, dan dua hari yang lepas kebetulan sekolah saya menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Bola Baling peringkat Zon PKG Sungai Petani, saya juga bersama-sama dengan guru-guru dan murid2 saya untuk memastikan mereka bersemangat dan mengungguli kejohanan. Apa yang ingin saya perkatakan di sini, sepanjang kedua2 kejohanan tersebut saya tidak pernah melihat kelibat mana-mana guru besar dan pengetua yang hadir ke veneu pertandingan untuk memberi sokongan moral kepada pasukan sekolahnya. Mengapa terjadi begini, ada banyak jawapan di dalam benak saya. Tetapi apa yang saya ingin utarakan di dalam penulisan kali ini, adalah luahan rasa guru-guru dari sekolah lain yang seperti rakan2 saya, bahawa mereka menyatakan kekecewaan mereka terhadap sikap GB dan Pengetua mereka. Mereka bukan saja memuji sikap saya yang sentiasa turun padang, tetapi turut memberi perhatian kepada semua guru dan pasukan yang bertanding. Jika kita mahu berbincang impak peranan GB dan Pengetua dalam situasi ini, rasanya terlalu banyak yang boleh kita perkatakan. Saya bukan berhajat memuji diri, tetapi merasa terpanggil untuk berkongsi dengan rakan2 pemimpin atau yang bakal menjadi pemimpin sekolah, betapa pentingnya GB dan Pengetua sentiasa bersama-sama anak buahnya dalam apa keadaan sekalipun. Saya mendapat banyak maklumat negatif tentang GB dan Pengetua kerana saya bergaul rapat dengan semua guru yang saya kenal dengan menyertai mereka melalui pelbagai aktiviti sosial seperti bersukan, melayani hobi memancing dan sebagainya. Luahan rasa para guru, mencerminkan betapa GB dan pengetua perlu cermin diri mereka melalui bahasa badan guru dan staf mereka. Janganlah merasa kita sebagai GB dan Pengetua, terlalu sibuk sehingga tiada kesempatan untuk bersama-sama mereka berusaha membangunkan sekolah dengan cara yang terbaik. Wpun terdapat banyak teori kepimpinan yang cuba kita amalkan, tetapi mempraktikkan seikhlasnya pada situasi sebenar akan memberi banyak manfaat kepada kita dan sekolah seluruhnya.

Selasa, 28 April 2009

Mengorak langkah menjadi yang terbaik

Hari ini pasukan Bola Baling lelaki dan perempuan mencipta sejarah apabila mengungguli pertandingan peringkat Zon PKG Sungai Petani. Kedua-dua pasukan menjadi Johan dan sebahagian pemain akan mewakili Zon ke pertandingan peringkat daerah Kuala Muda/Yan. Menariknya, pasukan lelaki begitu hebat sehingga tidak tertanding oleh 9 pasukan sekolah lain yang bertanding apabila menjaringkan gol lebih daripada 10 gol dan hanya melepaskan beberapa gol sahaja kpd pihak lawan. Pada perlawanan akhir pasukan lelaki mengalahkan pasukan SK Sungai Pasir 13 gol tanpa balas. Bagi pasukan perempuan yang pada awalnya dianggap underdog, berjaya menjadi johan dengan kiraan lambungan syilling apabila terikat 6 sama selepas masa tambahan dan penalti juga melawan pasukan SK Sungai Pasir. 2 minggu lalu pasukan hoki meletakkan nama sekolah sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian pada masa akan datang setelah berjaya memenangi tempat ketiga dalam penyertaan sulung di peringkat daerah. Selain itu, pelajar kita juga berjaya menempa nama sebagai pemenang pertama dalam pertandingan buku skrap bimbingan dan kaunseling peringkat daerah. Kejayaan-kejayaan ini menunjukkan para pelajar dan juga kita mempunyai potensi yang besar untuk mencipta kecemerlangan sekolah. Dalam aspek akademik, kita juga menunjukkan peningkatan yang baik terutama calon2 UPSR hasil usaha gigih guru-guru. Melalui pengalaman manis ini, seharusnya kita sedar bahawa perubahan akan berlaku jika kita sentiasa berusaha dan meletakkan matlamat untuk berjaya. Saya merasa bangga dan kagum dengan kesungguhan guru-guru dan para jurulatih yang tidak mengenal penat dan berkorban masa untuk perkembangan kemenjadian murid dan kegemilangan sekolah. Syabas semua.

2 hari yang lalu kita telah mengadakan mesyuarat pertama AJK PIBG baru bagi sesi 2009/2010. Hasil daripada mesyuarat ini, AJK yang baru ini menunjukkan keinginan untuk berusaha menambahbaik pengurusan PIBG dan membantu sekolah. Ini bermakna sekolah mempunyai peluang yang baik untuk mengorak langkah ke arah kecemerlangan dengan kekuatan dan kesungguhan PIBg dan komuniti setempat. Harapan saya, apa yang diucapkan oleh En. Saridun selau YDP bahawa kita bukan hanya bermesyuarat tetapi mengambil tindakan kepada keputusan mesyuarat untuk memastikan matlamat yang kita rancang tercapai. Suatu yang menarik hasil perbincangan tersebut ialah AJK bersetuju untuk melancarkan Dana Setiap Waris RM50, bagi meningkatkan sumber kewangan PIBG. Kita berharap cadangan ini akan menjadi kenyataan dan tidak dibantah oleh ibu bapa. Sumber kewangan PIBG yang kukuh akan membolehkan pelbagai program dibuat untuk membantu sekolah. Kita harus memahami dan menyedari bahawa PIBG adalah aset kepada pembangunan dan kecemerlangan sekolah. Hal-hal dan prasangka negatif haruslah dielakkan. Kepada ibu bapa yang kurang mampu dan masih dalam lingkungan memerlukan bantuan, PIBG perlulah prihatin dengan tidak menekan mereka dari aspek sumbangan kewangan kepada tabung PIBG. Walau bagaimanapun, ibu bapa ini haruslah sedar dan sentiasa memberikan kerjasama dan sumbangan dalam bentuk sokongan moral atau tenaga untuk membantu sekolah. Saya sentiasa membuka pintu kepada semua ibu bapa untuk bersama-sama saya membangunkan sekolah ke tahap yang terbaik. Ingatlah, sekolah ini, sekolah anak2 kita, adalah sekolah kita bersama. Kita bertanggungjawab dan memegang amanah untuk memastikan ianya memberi manfaat yang besar kepada pewaris keluarga kita dan negara. Justeru, saya menyeru kepada PIBG dan semua ibu bapa, marilah kita berusaha menjadikan sekolah ini antara yang terbaik di negara kita.

Memperkatakan tentang kejayaan dan kecemerlangan, kita tidak boleh lari daripada sumber tenaga yang kita ada. Saya merasa bertuah kerana SKTI mempunyai sumber tenaga guru yang berkualiti dan terbaik. Semua kita mempunyai kekuatan dan potensi untuk membangunkan diri dan sekolah. Dalam bidang sukan, kita mempunyai kepakaran seperti Cikgu Effendi dan Rosidi antara pakar bola baling, bola sepak dan olahraga. Mereka begitu disegani rakan dan lawan. Guru-guru lain yang tidak saya sebut di sini, sebenarnya anda semua mempunyai kebolehan tersendiri yang perlu dibangun dan direalisasikan dengan perubahan dan kejayaan. Adalah sangat rugi jika kita mempunyai kehebatan dan kepakaran, tetapi kita hanyalah sekadar menjadi guru biasa seperti ratusan ribu guru yang lain di seluruh negara. Sering kali saya katakan, kita seharusnya sentiasa mencipta sesuatu yang baru, sesuatu inovasi yang outstanding yang boleh kita jadikan mementum atau 'demam' kejayaan dan kecemerlangan. Saya sangat yakin, perubahan dan kejayaan luar biasa akan menjadikan 'kegilaan' seluruh warga sekolah untuk bergerak, mengorak langkah menjadi yang terbaik.

Khamis, 23 April 2009

Terima kasih IAB

Hari ini tamat Kursus Pengurusan Perkhidmatan ICT yang saya hadiri. Lima hari di sini, banyak manfaatnya. Selain daripada dapatan kursus, saya dapat rakan2 GB baru dari seluruh tanah air. Ada yang baru berjinak2 dengan ICT, baru daftar emel, baru nak belajar buat blog dan ada juga yang hebat, seperti Hj. Sharkawi GB SK Peserai, Batu Pahat, Johor yang jauh lebih advance ilmu ICt dan juga fotografi. Dengan pengalaman 6 bulan di sini ketika kursus NPQH, saya mengenali banyak pensyarah dan staf IAB, sehinggakan saya boleh bermain badminton dan bersantai dengan mereka di restoran di Gohtong Jaya. 2 petang saya berkesempatan bermain badminton di gelanggang di mana Allahyarham Dato Razali jatuh dan membawa kepada kematiannya. Rakan2 staf dan pensyarah yang hebat bermain badminton seperti En. Shafei, Dr. Rafi, En. Idaris dan Cikgu Wan yang baru dilantik sebagai pensyarah di IAB sangat mesra dengan saya sehinggakan saya sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Begitulah senario saya di IAB. Pada saya IAB terlalu banyak jasanya kepada saya yang sudah hampir menutup buku untuk terus belajar. IABlah yang membuka lembaran baru kepada saya bukan saja mendidik saya sehingga berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan di UPSI, tetapi juga merangsang saya untuk terus belajar dan membangunkan sekolah menjadi yang terbaik. Terima kasih IAB.

Rabu, 22 April 2009

Ibu bapa prihatin

Semalam saya dikejutkan dengan emel daripada seorang ibu kepada pelajar Tahun 6 di SKTI. Saya merasa sangat gembira dan teruja dengan respon yang baik ini, lebih2 lagi melalui emel, satu kaedah komunikasi ICT pada masa kini. Wpun sesetangah pemimpin sekolah merasa takut dan curiga dengan tindakan ini, tetapi saya mengambil sikap positif kepada visi membestarikan sekolah. Ketika saya berbual dengan Pn. Junaidah bt. Thamby Hashim, GB SK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, yang merupakan antara Sekolah Bestari terbaik di negara kita, beliau sendiri pun kadang-kadang rimas dengan emel yang berbentuk komplain drp parent, walaupun komunikasi secara eletronik ini merupakan indikator kepada SSQS (Smart School Qualification Standards). Namun demikian, pada saya komplain drp orang lain adalah cermin kepada kita untuk menilai apa yang kita buat.

Perhubungan melalui eletronik hari ini tidak terbatas. Dalam proses pengurusan pendidikan di sekolah, kecanggihan ICT seharusnya dieksploitasi semaksima mungkin, kerana dunia pembelajaran dan pendidikan yang sangat luas. Jika kita sentiasa negatif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, bererti kita mundur ke belakang. Saya meletakkan satu matlamat untuk mewujudkan sekolah yang mesra pelanggan berorientasikan ICT. Ini bermakna semua komunikasi berlaku secara positif untuk menjana kemajuan masa hadapan. Sebagai contoh, suatu masa nanti ibu bapa boleh mengakses maklumat berkaitan perkembangan pembelajaran anak2 mereka melalui talian. Begitu juga sistem support pembelajaran boleh dibuat melalui e-pembelajaran dan sebagainya. Alangkah hebatnya sekolah jika berlaku begitu. Sehubungan itu saya berharap guru-guru bersedia untuk bergerak lebih maju lagi dalam bidang ICT serta menghadapi cabaran perkembangan teknologi ini dengan cara yang positif dan bermanfaat. Segala yang kita usahakan penambahbaikan dan perubahan ini adalah untuk anak2 kita dan generasi bangsa yang akan datang.

Isnin, 20 April 2009

ICT sedalam lautan

Mengenali ICT bukan bermakna hanya melihat apa yang ada di skrin komputer. Lebih daripada itu untuk mencapai tahap pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang baik tentang ICT, usaha seseorang harus dipertingkatkan melalui pembelajaran yang berterusan. Sebagai guru, usaha ini sepatutnya menjadi amalan atau budaya yang sihat dalam kehidupan dan persekitaran kerja sebagai penyempai ilmu. Kebanyakan kita mungkin hanya mengetahui dan menguasai komputer hanya pada peringkat 'luar' atau pengguna sahaja. Sedangkan pengetahuan yang luas tentang ICT bukan saja membantu dalam banyak kerja kita tetapi juga boleh membantu dari aspek penyelenggaraan serta kos yang kita tanggung. Justeru usaha meneroka dunia ICT seharusnya perlu dilakukan oleh pendidik dengan harapan mereka dapat menjadi sumber maklumat kepada para pelajar didikannya. Kita mungkin seronok menikmati dan melayari dunia secara maya tanpa menyedari di sebalik itu, terlalu banyak lagi yang kita tidak tahu tentang ICT.

Di sekolah, seharusnya murid-murid bukan saja dibimbing mengakses maklumat, tetapi juga mewujudkan perasaan ingin tahu mereka tentang 'belakang tabir' ICT itu. Mungkin satu hari nanti di kalangan murid kita, lahirnya programer, jurutera dan orang2 yang hebat menguasai ICT. Sejarah telah menunjukkan bagaimana lahirnya jutawan segera penghasil2 perisian komputer di seluruh dunia. Sebagai guru kita seharus berfikir sejauh itu. Dan mungkin anak2 kita juga mampu mencapai tahap itu, sebab dunia ICT tidak tergambar luasnya untuk diteroka seluas dan sedalam lautan yang tidak bertepi. Alangkah rugi dan tertinggalnya kita jika kemudahan yang ada di sekolah tidak diekploitasi sepenuhnya khususnya untuk pembelajaran murid dan kemajuan sekolah.