Rabu, 15 Julai 2009

Impian dan matlamat

Dalam kehidupan kita, semua orang mempunyai impian dan matlamat. Impian (dream) bermakna apa yang kita inginkan dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya mengikut naluri dan nafsu seseorang. Sementara matlamat pula ialah ukuran pencapaian-pencapaian mengikut tahap dan waktu tertentu ke arah mencapai impian. Kebanyakan kita, tahu ini. Yang kita tidak tahu, selalunya bagaimana untuk membina matlamat dan impian. Impian dan matlamat kita, hanya berlegar-legar sekitar pemikiran yang hadir sekali-sekala. Selalunya orang sering bercakap tentang azam ketika menjelang tahun baru, selepas itu orang tidak pernah bertanya, sudahkan anda mencapai matlamat dan impian anda?.

Bagi sesetangah orang, membina matlamat dan impian tidaklah begitu sukar. Dan kita sering melihat mereka berjaya mencapainya dalam tempoh yang ditetapkan. Tetapi bagi kebanyakan orang, mereka merasa begitu sukar sekali. Ini bergantung kepada tabiat dan sikap diri yang telah terdidik sejak kecil. Namun demikian, sikap dan tabiat ini boleh berubah, bergantung kepada berapa kuat tarikan kepada impian yang telah dibina. Selalunya ia berkait rapat dengan halangan atau cabaran yang dihadapi. Sebagai contoh, kesusahan dan kesempitan hidup atau tekanan yang mendesak. Kita mungkin tewas jika kita berlumba dengan seekor anjing, tetapi kita mungkin berjaya melarikan diri jika kita dikejar anjing. Ini bermakna, kita mampu melakukannya jika kita dalam keadaan terdesak. Kita mempunyai potensi sebenarnya. Walau bagaimanapun, tabiat atau sikap tetap menjadi faktor utama kepada usaha sesorang untuk berubah bagi mencapai matlamat dan impiannya.

Saya pernah melalui berbagai-bagai pengalaman melihat orang-orang yang berjaya mencapai matlamat dan impian mereka. Semuanya membuktikan bahawa, usaha dan keinginan untuk berubah akan mendorong mereka mencapai apa yang mereka ingini. Sesetengahnya dilihat sebagai gila kepada orang-orang biasa yang tidak memahaminya. Seorang anak muda dari Indonesia menceritakan, bagaimana dia menampal-nampal penuh di dalam bilik tidurnya gambar-gambar dan tulisan tentang matlamat dan impiannya. Akhirnya dia bisa mencapai semuanya dalam tempoh yang lebih singkat daripada yang disasarkannya. Ini kerana semua gambar dan tulisannya itu telah mempengaruhi pemikiran di bawah sedarnya untuk sentiasa fokus dan bekerja ke arah itu. Ada rakan-rakan menyatakan dia gila, tetapi katanya, orang itu lebih gila daripadanya kerana tidak mencapai apa-apa seperti yang dia capai. Orang yang sering melihat dan memfokuskan kepada impiannya, dia tidak nampak apapun halangan dan cabaran yang bakal ditempuh. Seperti para pendaki gunung, kerana impian mereka puncak gunung, halangan sewaktu mendaki tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka.

Sesungguhnya dalam hidup ini tersangat banyak iktibar yang boleh kita jadikan contoh yang baik untuk berubah membangunkan diri ke arah mencapai matlamat dan impian kita.

2 ulasan:

mantan berkata...

Bagus dibaca

chehassan berkata...

Terima kasih mantan. Sebahagiannya saya perolehi dari pengalaman di luar sekolah.