Ahad, 24 Mei 2009

Tahniah, kita boleh.

Hujung minggu lalu, kokurikulum sekolah meningkat ke satu tahap lagi. Tahniah Mohd Najib kerana telah berjaya menggondol pingat perak di kejohanan olahraga MSSM dalam acara lontar peluru. Tahniah juga kepada pasukan bola baling yang menjuarai kejohanan peringkat negeri Kedah, dan 2 orang pelajar akan mewakili Kedah ke kejohanan peringkat MSSM yang akan berlangsung minggu depan. Perkembangan yang baik ini diharap akan terus berkembang di sekolah ini untuk memastikan objektif pendidikan secara holistik akan tercapai.

Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha semua pihak, murid, guru dan ibu bapa. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap akan sentiasa memberikan komitmen dalam apa jua untuk kemajuan pendidikan di sekolah ini. Saya sentiasa yakin dan percaya, kita boleh, jika kita mahu. Jadi teruskan usaha dalam bidang masing-masing untuk menuju kecemerlangan.

Khamis, 21 Mei 2009

Bagaimana sebenarnya kepimpinan ini

Sering kali saya terfikir, bagaimana sebenarnya kepimpinan yang baik di sekolah. Antara teori dan amalan kadang-kadang tidak menunjukkan satu titik pertemuan kesahan yang sebenarnya. Saya merasakan kepimpinan lebih bergantung kepada personaliti seseorang termasuk rupa parasnya. Sejak menjadi pepimpin di sekolah, saya mencuba beberapa teori dan petua-petua kepimpinan untuk mencapai objektif dan matlamat yang saya rancang. Tetapi kadang-kadang saya merasakan apa yang saya praktikkan seperti tidak kena atau gagal mencapai matlamat. Orang-orang yang saya pimpin seperti mengambil kesempatan dengan sikap saya yang terlalu bertoleransi dan terbuka. Timbul persoalan, tidak baguskah cara saya jika saya sentiasa mengutamakan kebajikan guru-guru sehingga apa saja permintaan mereka berkaitan hal2 peribadi, jarang sekali saya mengatakan tidak boleh. Bila diukur dengan permintaan dan kehendak saya terhadap apa yang telah dirancangkan di sekolah, rasanya ada sedikit ketidakseimbangan, daripada hasil yang telah diberikan oleh guru-guru. Bukan untuk saya secara peribadi, tetapi untuk murid-murid, sekolah dan diri guru-guru sendiri.

Pagi tadi saya menghadiri majlis sambutan hari guru peringkat negeri Kedah. Timbul persoalan dalam diri saya, apakah guru-guru saya tidak mampu menerima anugerah2 yang disediakan? Tidak timbul soal cemburu atau iri hati bila melihat GB SK Convent Father Barre Sg. Petani, naik ke pentas menerima anugerah sekolah cemerlang peringkat kebangsaan, tetapi persoalan dalam diri saya, apakah guru-guru dan staf saya tidak boleh berubah seperti guru-guru dan staf di sekolah itu yang menggerakkan budaya kerja yang sangat baik sehingga membuahkan pelbagai hasil kecemerlangan. Saya tidak negatif, kerana saya telah mula melihat ada tanda-tanda kecemerlangan di dalam aktiviti sukan dan kokurikulum, tetapi harapan saya kecemerlangan itu biarlah menyeluruh. Apapun saya tetap yakin dan percaya guru-guru saya boleh berubah dari semasa ke semasa tanpa merasa tertekan dan takut untuk terus mencuba membuat sesuatu yang diluar kebiasaan demi untuk perubahan.


Perlukah saya mengubah sikap dan cara kepimpinan saya dengan cara yang lebih keras dan menekan? Saya cuba meneliti dan membandingkan rakan2 GB yang lain bagaimana cara mereka menguruskan sekolah. Sehingga ada yang mendapat anugerah GB cemerlang (DGA38) atau anugerah sekolah cemerlang. Seharusnya saya perlu mencuba sesuatu yang baru namun bukanlah bertujuan untuk menekan atau menyusahkan sesiapa. Menjelang separuh kedua tahun 2009, beberapa perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah akan dibuat bersesuaian dengan keperluan semasa dan anjakan matlamat bagi tahun 2009.

Selasa, 19 Mei 2009

Perjumpaan Profesionalime Guru Besar

Sejak semalam saya menghadiri Perjumpaan Profesionalime Guru Besar Zon Kuala Muda2, daerah Kuala Muda/Yan, Kedah. Perjumpaan ini memberi peluang untuk para GB berdiskusi pelbagai isu yang berkaitan pengurusan dan kepimpinan sekolah. Dalam ucapan perasmian, Tuan PPD menarik perhatian kepada beberapa isu antara lainnya berkaitan pengutan bayaran wang daripada ibu bapa serta hal-hal yang berkaitan perancangan strategik sekolah. Keramahan dan ketidakprotokolan tuan PPD membuka banyak ruang kepada kami untuk berdailog dengan beliau khususnya berkaitan isu pengutan bayaran daripada ibu bapa. Dalam hal ini, saya lihat KPM sudah membuat kesilapan sehingga menjejaskan sedikit pengurusan sekolah dari aspek untuk menjalankan aktiviti-aktiviti murid, sehingga kementerian telah menyalurkan peruntukan khas 'one off' kepada PIBG sekolah. Di dalam perjumpaan ini, kami melihat betapi para pemimpin sekolah tidak sedikitpun didengar pandangan mereka. Apa saja isu di sekolah seharusnya orang yang paling dekat perlu diajak berunding dan diberi peluang untuk memberi pandangan.

Perjumpaan begini sangat bermakna kepada kepimpinan sekolah, wpun pandangan kami tidak diendahkan, tetapi kami cuba untuk bersama-sama membangunkan pendidikan negara ke tahap yang terbaik.

Ahad, 17 Mei 2009

Selamat Hari Guru, terima kasih semua.

Semalam, 17 Mei 2009, sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Program dan aktiviti, macam biasa, tak banyak perubahan yang luar biasa. Lebih 20 tahun jadi guru dan sudah 8 buah sekolah saya bertugas, idea kepada aktiviti sambutan tidak menunjukkan perubahan zaman yang semakin baik. Jawapan yang ada dalam hati saya, berlaku pertembungan antara keinginan pemimpin sekolah dengan kehendak guru yang ramai. Guru-guru, dari dulu lagi, mereka seronok kalau dapat bermain-main seperti telemacth atau perlawanan dengan murid. Wpun, dah bertahun tak main, nak juga main. Mungkin sebab kerja cikgu, jadi permainan itu adalah sebahagian daripada tugas mereka.

Saya mengidamkan sambutan hari guru disambut dengan lebih rasmi, seperti perarakan masuk guru-guru ke dalam dewan (seperti para graduan diarak masuk sebelum majlis konvokesyen) dan didudukkan di satu tempat khas. Suasana penuh warna warni dengan perlbagai acara termasuk anugerah2 khas peringkat sekolah, pengumuman penting, perghargaan daripada ibu bapa serta persembahan khas dari guru dan murid-murid. Sambutan hari guru seperti satu karnival khas di sekolah yang melibatkan semua ibu bapa. Suasana yang hebat ini turut dirasai oleh semua yang terlibat dengan sekolah. Majlis perasmian mungkin dibuat oleh seseorang yang dijemput khas. Saya gambarkan seperti sambutan peringkat kebangsaan. Jika ada pertandingan atau permainan untuk guru-guru, diadakan lebih awal. Mungkin rancangan saya ini akan kita laksanakan pada masa hadapan.

Sempena sambutan semalam, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua murid dan ibu bapa yang memberikan penghargaan dengan ucapan serta pelbagai hadiah. Wpun kecil, tetapi bagi saya ianya sangat bermakna. Budaya menghargai ini seharusnya dipupuk pada peringkat kanak-kanak lagi agar mereka sentiasa hidup dalam suasana yang harmoni dan tahu menilai dan menghargai orang lain. Kepada guru-guru, sempena hari guru ini saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas semua usaha yang baik bukan saja untuk kecemerlangan murid dan sekolah, tetapi juga kecemerlangan diri sendiri.

Rabu, 13 Mei 2009

Tahniah Pasukan Bola Baling, Juara Daerah KMY

Sekali lagi pasukan sekolah yang mewakili Zon PKG Sungai Petani merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Baling L12 peringkat Daerah Kuala Muda/Yan 2009. Sementara pasukan perempuan hanya merangkul naib johan. Tahniah diucapkan kepada semua murid dan guru terlibat. Sebahagian besar pemain sekolah akan mewakili daerah ke Kejohanan peringkat negeri yang akan diadakan pada minggu depan.

Kanak2, jika diberi bimbingan dan latihan yang betul, mereka boleh jadi apa saja. Jika kita lihat di negara-negara blok komunis, seperti Cina, Rusia, Romania dll, mereka melatih kanak-kanak sejak dari kecil lagi untuk lahir sebagai ahli sukan yang berjaya. Selain itu, kebolehan dan kepakaran jurulatih juga main peranan yang sangat besar bukan saja untuk mencungkil bakat dan seterusnya melatih mereka dengan cara yang betul. Guru-guru seharusnya dilatih dan diberi pendedahan yang secukupnya sebagai guru sukan. Dalam sukan, jurulatih perlu memahami sains sukan, serta mempunyai pengetahuan yang luas dalam selok belok pertandingan dan penyediaan pasukan. Guru-guru yang diberi tanggungjawab perlu serius dan bersungguh-sungguh seperti seorang jurulatih profesional yang mengetahui keperluan semasa latihan dan pertandingan.

Saya merasa gembira dan bangga usaha untuk meningkatkan mutu kokurikulum dan sukan dengan mengadakan projek kecemerlangan sukan telah menampakkan hasil yang baik. saya sangat berharap semua guru yang diberi tanggungjawab sebagai jurulatih kepada pasukan sekolah meneruskan perancangan program pembangunan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ini bermakna, latihan perlu dibuat sepanjang tahun dan membina pasukan pelapis yang boleh diketangahkan pada masa akan datang.

Pembangunan sukan dan kokurikulum yang baik di sekolah, akan memblehkan murid-murid sihat dan cerdas serta mengelak mereka daripada aktiviti yang tidak berfaedah dan membuang masa. Penumpuan kepada akademik semata-mata tidak menjamin sepenuhnya kita akan melahirkan manusia yang cemerlang.

Selasa, 12 Mei 2009

Waktu bekerja GB/Pengetua

Beberapa minggu lalu, saya terbaca surat peringatan dari Pengarah Pelajaran Negeri berkaitan waktu bekerja GB/pengetua siap dgn lampiran pekelilingnya serta teguran dan kiasan bahawa GB/Pengetua tidak menjalankan tugas mengikut masa yang ditetapkan dan menjejaskan kredibiliti sekolah, JPN dan KPM. Jauh di sudut hati saya rasa terkilan juga dengan surat peringatan tersebut kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit. Pada pandangan saya, seharusnya surat peringatan tersebut ditujukan kepada 'kerbau yang membawa lumpur' tadi. Hukumlah orang yang membuat onar, bukan sebaliknya. Bukankah ketua jabatan berhak meminta surat tunjuk sebab, jika dirasakan perlu bila gb/pengetua tidak mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan.

Saya teringat kembali surat peringatan tersebut setelah petang kelmarin saya terkejar-kejar ke empat tempat berasingan atas urusan rasmi sekolah. Mengapa jadi begitu, kerana saya keluar dari sekolah mengambil kira masa bekerja sehingga saya boleh sampai ke tempat yang dituju dan menyelesaikan urusan tepat pada masanya, tanpa lebih masa untuk mundar mandir (mencuri waktu kerja). Alangkah penatnya rasa apabila tiba di rumah hampir jam 6.30 petang.

Bercakap tentang waktu kerja GB/Pengetua, saya rasa tidak adil jika kita hendak bandingkan dengan pegawai kerajaan yang lain. Di sekolah rutin kerja yang sangat rencam dan tidak tentu masa dan ketika. Kadang2 mesti berada di sekolah waktu malam, hari minggu, hari cuti kelepasan dan sebagainya, kerana itu tanggungjawab yang diamanahkan. Saya merasa heran bagaimana arahan pekeliling yang menyatakan GB/Pengetua boleh rehat pada jam 12.45 tengahhari sama dengan pgawai kjaan yang lain, sedangkan pada waktu itulah, waktu puncak kepada tugas GB/Pengetua di sekolah, lebih2 lagi jika sekolah itu 2 sesi. Selain dari itu, GB/pengetua juga mempunyai tanggungjawab perhubungan dan komuikasi yang pelbagai sebagaimana rencah kerja yang semakin pelbagai di sekolah. Berdiskusi tentang perkara ini, kebenaran tentang hakikat waktu kerja sebenar GB/Pengetua tidak pernah diketahui dengan jelas oleh awam, hatta para pemimpin atasan pendidikan negara sekalipun, kerana GB/Pengetua tidak pernah dipanggil berbincang. Dasar dan peraturan kadang-kadang dibuat hanya mengikut selera dan nafsu politik PTD dalam kementerian dan orang-orang yang berkepentingan. Kita harap perkara ini diperbincang dan ditambahbaikan sesuai dengan era sekolah klaster dan dunia teknologi terkini.

Ahad, 10 Mei 2009

Perancangan Sekolah Setengah Tahun Kedua

Semalam berlangsung mesyuarat Kurikulum 2/2009. Matlamat mesyuarat ini adalah untuk membuat tinjauan semula (post mortem) perancangan sekolah setangah tahun pertama dan menambahbaik perancangan sekolah bagi setengah tahun kedua 2009. Jika sebuah syarikat swasta, membuat tinjauan semula dan menjana perancangan kehadapan merupakan suatu agenda penting dalam pengurusan syarikat untuk memastikan matlamat 2009 dan visi syarikat tercapai. Di sekolah, perkara ini jarang dilihat secara serius bukan saja kepada pemimpin sekolah, tetapi juga guru-guru yang mempunyai tanggungjawab besar kepada matlamat pencapaian murid pada tahun semasa. Selalunya, sekolah berlalu seperti biasa, dan jika ada mesyuarat hanyalah sebagai satu rutin yang memenuhi takwim sekolah. Perbincangan tidak benar-benar menjurus kepada post mortem dan analisis pencapaian terkini dan sasaran masa depan.

Saya cuba menghadapi situasi ini, dengan cara agak santai sebagai permulaan perubahan sistem pengurusan sekolah. Tetapi bukanlah sesuatu yang senang untuk mengajak guru duduk berjam-jam berbincang dan membuat analisis kekuatan dan kelemahan apa yang mereka buat sepanjang hampir 5 bulan sesi persekolahan 2009. Namun demikian, dengan merujuk kembali fokus perancangan strategik semasa (2009) serta menarik perhatian guru kepada headcount kurikulum/akademik sekolah, saya sangat berharap guru-guru faham hala tuju wawasan sekolah. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan pencapaian semasa aktiviti kokurikulum dan hal ehwal murid, seharusnya menjadi turning point kepada semua guru untuk menambahbaik semua perancangan dan gerakkerja untuk sesi setengah tahun kedua (penggal 2) nanti. Dengan segala kemudahan yang ada dan telah disediakan seharusnya guru-guru tahu dan sedar apa yang harus mereka lakukan untuk memastikan matlamat 2009, anjakan kecemerlangan menyeluruh, tercapai.

Saya tidak terlalu optimis untuk melihat perubahan yang sangat besar, memadai berlaku perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya dan memberikan kekuatan untuk kecemerlangan seterusnya. Guru-guru harus tahu mengukur dan meletakkan sasaran bukan saja murid-murid di bawah tanggungjawabnya tetapi juga sasaran peribadi. Saya sering katakan, tidak akan berlaku sekolah itu cemerlang, jika guru dan kepimpinan sekolahnya tidak cemerlang.