Isnin, 22 Februari 2010

Ops Sikap atau Ops kira kematian

Ops sikap yang bermatlamatkan mengubah sikap rakyat negara kita menjadi pemandu yang baik itu sudah masuk kali ke 21. Namun hasilnya saya rasa hanyalah sekadar mengira jumlah kematian dan jumlah saman dikeluarkan. Dalam hal ini semua kita seharusnya memikir dan mengambil tindakan penambahbaikan masa kini dan masa akan datang. Nampaknya Ops sikap tidak berjaya mencapai matlamatnya. Secara kasarnya sikap buruk rakyat Malaysia bukanlah d jalan raya sahaja tetapi banyak lagi situasi yang memperlihatkan betapa kita sudah berada pada tahap yang hampir kronik. Budaya dan nilai hidup kita sudah tidak ada budaya Malaysia lagi walaupun rakyat negara kita yang terdiri daripada 3 kaum utama asalnya mempunyai nilai budaya yang sangat tinggi. Di mana silapnya? Pada pandangan saya semuanya bermula daripada pendidikan dan nilai yang dibawa oleh masyarakat kita. Sistem yang ada dalam negara juga terlibat sama menjadi penyebab kepada 'kerosakan' ini.

Pendidikan kita seharusnya kembali ke pangkal jalan berteraskan apa yang digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang baik mengikut acuan kita yang dikatakan JERI ( jasmani, emosi, rohani dan intelek ) itu. Rakyat kita bukan sekadar faseh berbahasa Malaysia tetapi juga mempunyai nilai kenagaraan yang sangat tinggi merangkumi pelbagai nilai hidup termasuk sikap di jalan raya. Apalah gunanya kelulusan yang hanya dinilai dengan pencapaian A tetapi tiada jiwa dan nilai diri Malaysia. Sistem yang diamalkan dalam negara juga seharusnya berubah ke arah membantuk negara yang kuat dan bermaruah bukan sekadar berhimpun menunjukkan protes hanya bila ada orang mempertikaikan sistem perundangan kita, sedangkan banyak lagi kelemahan negara yang harus diambil tindakan segara. Paling menyedihkan dan memalukan, betapa negara kita ini menjadi longgokkan penjenayah dan rakyat asing yang positif melakukan jenayah. Saya cadangkan lebih baik buat 'Ops Halau' pendatang asing daripada operasi mengumpul duit rakyat melalui saman ops sikap.

Rabu, 17 Februari 2010

Lagi tanggungjawab GB

Beberapa minggu ni saya didatangi pekerja2 JKR Mekanikal dan Letrik atas urusan penyenggaraan hal-hal yang berkaitan sekolah. Apa yang nak saya kongsikan ialah bezanya jawatan GB dengan jawatan Ketua Jabatan yang lain. Mula2 saya menerima laporan drp pekerja tentang kerosakan pam air dan pam najis. Supaya saya faham semua tentang benda2 tu, saya turun padang dan selidiki apa yang berlaku. Terus menghubungi JKR yang berkenaan untuk urusan baikpulih. Oleh kerana saya pernah berurusan sendiri dengan mereka dan mula bersahabat, urusan menjadi sangat mudah. Daripada urusan yang sepatutnya bersurat, hanya percakapan lisan sudah ada tindakan. Inilah hasilnya berusaha melayan dengan baik sesiapa saja yang berurusan dengan sekolah. Untungnya saya apabila para juruteknik datang membuat kerja-kerja penyenggaraan saya sentiasa bersama mereka, dan saya tahu selok belok urusan penyenggaraan di sekolah. Apa yang saya nak kongsikan di sini, kalau di jabatan lain, pastinya urusan itu kita boleh arahkan juruteknik untuk uruskan sehingga perkara itu selesai dan bos hanya perlukan laporan sahaja. Tapi di sekolah, semuanya GB kena turun padang sehingga selesai. Mungkin juga GB lain tak buat macam tu, atau mereka lebih pro. Tapi pengalaman saya bersama-sama dengan orang-orang yang hadir membantu kita di sekolah, hasilnya mengejutkan. Inilah yang dikatakan kemahiran perundingan dan kemahiran komunikasi berkesan.

Isnin, 8 Februari 2010

Kita semakin terbalik

Aneh dan semakin luar biasa. Kalau dulu, guru-guru mendidik kita bagaimana cara melintas jalan, berjalan kaki di sebelah kiri jalan dan berbagai lagi, walaupun pada waktu itu, jumlah kenderaan sedikit. Tempat saya mula-mula membesar di Hulu Kelantan, boleh dikatakan bukan saja kenderaan, jalan raya yang sempurnapun hampir tidak ada. Tetapi guru-guru masih tetap memberi bimbingan tentang keselamatan di jalan raya. Namun, hari ini berbeza sekali, dan kebanyakan guru seperti menganggap murid-murid sudah faham sendiri. Kesannya, di jalan raya hari ini, kita seperti tidak ada peraturan langsung. Di mana-mana kita akan melihat perlanggaran peraturan jalan raya sewenang-wenangnya. Kebanyakan orang kadang2 kita lihat seperti dia merasakan dia lebih tahu undang-undang daripada orang lain. Sebagai contoh2 paling mudah antaranya memandu perlahan di lorong utama, menukar warna lampu kepada lampu yang menyilaukan mata, memasang lampu kecemasan ketika hujan lebat dan sebagainya. Terfikir kita, sekolah memandu mana dan JPJ mana yang membimbing dan meluluskan lesen memandu mereka?

Merenung apa yang belaku dalam negara kita, semakin banyak perkara yang seakan terbalik, pelik dan luar biasa. Satu lagi contoh, satu ketika kita melaungkan untuk memajukan sukan negara dan sukan bertahap tinggi. Begini dan begitu menteri bercakap dan tidak kurang juga surat-surat siaran dan pekeliling sampai ke sekolah. Nampak bagus sekali. Namun pada masa yang sama, kita tidak benar2 membuat persediaan pada peringkat asas, iaitu pada peringkat awal kanak2 di sekolah. Sepatutnya sekolahlah tempat melahirkan bakat ahli sukan negara, tetapi persoalannya, apa ada pada sekolah? Sesetengah sekolah, jangankan gelanggang dan kemudahan lain, padang pun tidak ada. Sepatutnya di sekolah, ada jurulatih dan kepakaran khas dalam bidang sukan yang berperanan mencungkil dan membina bakat kanak-kanak dengan jadual dan peruntukan yang sesuai. Pengiktirafan juga harus diberi kepada pencapaian dan kecemerlangan guru dan pelajar ke tahap tertinggi. Hadiah harus diberi dengan nilai yang baik dan menarik, bukan menilai akademik semata-mata.

Jadi seharusnya kita sudah mulai sedar dan melakukan sesuatu untuk negara kita yang kita cintai ini. Marilah kita, terbalikkan kembali 'dunia' kita ini.

Rabu, 3 Februari 2010

Mengetuai Kontinjen Gimrama

Tahun ini saya dilantik sebagai pengerusi pengelola Kejohanan Gimrama peringkat Daerah KMY. Sebenarnya secara kebetulan, kerana Pn. Sharifah Shahrina, guru sekolah saya adalah Pengerusi Teknik Gimrama negeri Kedah. Nasib baik juga saya meminati hampir semua jenis sukan, tugas ini saya cuba buat sebaik mungkin. Mula2 mendekati sukan gimrama ini, saya rasa agak kekok juga untuk berada di kalangan guru-guru wanita dan para pelajar perempuan yang mengambil bahagian. Maklumlah, sukan ini memerlukan pergerakan dan penonjolan seluruh bentuk badan pelajar2 perempuan. Dalam sesi latihan pusat, saya diperkenalkan kepada semua peserta secara rasmi sebagai ketua kontinjen. Wpun agak kekok, saya cuba memperlihatkan saya serius dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan. Esok, 4 Feb, kami akan bertanding di peringkat negeri Kedah di SMK Hosba, Jitra.

Mendekati sukan ini, jelaslah betapa semua jenis sukan mempunyai keistimewaan tersendiri. Gimrama, yang dilihat sebagai sukan hanya untuk sesetengah golongan saja ini, sebenarnya mempunyai kelebihan dari pelbagai aspek sukan dan seni. Bukan senang untuk menggerakkan seluruh badan mengikut disiplin2 yang telah ditetapkan dalam sukan ini. Kelembutan, ketepatan dan kesenian pergerakan menjadi aset kepada seseorang gimnas. Ianya perlu diberi pendedahan seawal umur 3 atau 4 tahun. Dan kejayaan sukan ini juga bergantung kepada aspek disiplin diri dan kesungguhan peserta.