Sabtu, 25 Disember 2010

Persediaan Sesi Persekolahan 2011

Alhamdulillah diberi kesihatan dan kekuatan sehingga persiapan untuk sesi persekolahan 2011 berjalan lancar. Perancangan Pelan Tindakan Strategik Sekolah 2011 telah dapat disiapkan sebelum Mesyuarat Guru 1/2011 pada 19 Disember 2011. Dua minggu menjelang buka sekolah, SKTI sudah mula membuat pelbagai persediaan. Mesyuarat Guru, Mesyuarat Kurikulum dan Mesyuarat Panitia MP sudah dan sedang berlangsung. 29 Dis, mesyuarat HEM 1/2011 dan 30 Dis, Majlis Pendaftaran Tahun 1/2011 dan gotong royong Budaya Buka Sekolah. Terima kasih dan syabas kepada guru-guru kerana sudah 'kembali' ke sekolah. Semoga tahun 2011 akan memberi impak yang lebih besar kepada sekolah dalam usaha mencapai visi Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang 2015.

Khamis, 23 Disember 2010

Terus menulis

Menulis satu hobi menarik bagi sesetengah orang dengan pelbagai genre dan hala tuju apa yang hendak diceritakan. Namun bukan mudah untuk mengekalkan mementum terus menulis wpun pelbagai ide bermain di minda dek pelbagai kerenah alam dan manusia. Sudah begitu lama saya tidak meluahkan perasaan dan perkongsian. Harap tahun 2011, minat itu datang kembali. Terima kasih kepada rakan2 bloger yang sesekali singgah dan menjadi pengikut.

Ahad, 17 Oktober 2010

Setiakah kita sebagai pengikut ?

Setiap organisasi, ada pemimpin dan ada pengikutnya. Tanpa kedua-dua ini, organisasi tidak wujud. Namun antara pemimpin dan pengikut, ada prosedur atau sistem yang menjadi amalan organisasi untuk mencapai matlamatnya. Soalnya, sejauh mana jujurnya pemimpin dan pengikut dengan peranan dan hak masing-masing. Sesetengah kita begitu setia sebagai pengikut. Tetapi kesetiaan kita itu adakah benar-benar setia kerana pemimpin atau kerana organisasi. Dalam hal ini, mungkin sudah menjadi lumrah atau juga kerana dikatakan adat kita orang Melayu, jarang sekali sebagai pengikut kita berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan sama ada kealpaan pemimpin atau sistem yang kita amalkan. Jika mengikut hukum, lengkuk normal statistik pastinya 95% adalah 'pak turut' atau 'play safe' dan hanya segelintir yang berani bersuara dan mengambil resiko secara berhadapan. Tapi anehnya, bila di belakang atau di luar mesyuarat, 95% menjadi sebaliknya dengan pelbagai isu dan dilontarkan nampak begitu bijaksana. Inilah yang menjadikan hakikat kita berada pada takuk lama dengan sistem semua selamat, pemimpin atau pengikut. Mari kita fikir-fikirkan.

Selasa, 7 September 2010

Kegelojohan dan undang-undang

Menjelang raya kegelojohan mengaut untung sukar dibendung. Walaupun ini satu peluang menambahkan rezeki umat Islam, namun 'kegelojohan' mengaut untung bukanlah sesuatu yang menguntungkan sebenarnya apabila unsur-unsur penipuan dan tidak jujur para peniaga masih ada. Paling menyedihkan ia mengganggu hak orang lain dan hak awam apabila para peniaga dan pengusaha premis perniagaan sewenang-wenangnya mengunakan hak awam sebagai tempat berniaga. Tak cukup dengan ruang kedai dan kaki lima, didirikan khemah sebagai ruang tambahan untuk meletakkan barang-barang jualan. Hal ini bukan saja mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan dan manusia ia juga boleh menimbulkan pelbagai aplikasi lain yang berkaitan undang-undang dan keselamatan pengguna. Peraturan dan undang-undang penguasa tempatan jelas menunjukkan kaki lima sesebuah premis perniagaan adalah bukan hak premis berkenaan, tetapi adalah hak orang awam sebagai laluan awam. Begitu juga tempat-tempat meletak kenderaan. Saya kadang-kadang merasa jengkel dengan budaya umat Islam di negara kita hari ini khususnya dalam persiapan menyambut hari raya. Tidak cukup lagikah pararaya2 dan pusat membeli belah sehingga terpaksa menjadikan tempat-tempat urusan awam dijadikan premis perniagaan. Dalam hal ini, pada saya pihak penguasa tempatan harus melihat perkara ini secara lebih positif untuk kepentingan semua pihak. Jika perlu memberi peluang untuk perniagaan bermusim ini, sediakanlah tempat khas yang tidak mengganggu kelancaran urusan harian semua orang. Perketatkan penguatkuasaan kepada premis perniagaan agar tidak keterlaluan dan gelojoh sehingga menjadikan hak awam harta mak bapak mereka sewenang-wenangnya. Ini semua akan menjadi teladan negatif kepada masyarakat dan rakyat negara kita seluruhnya dengan menganggap semua perkara adalah 'boleh' wpun ia melanggar peraturan dan undang-undang yang ada. Mari kita sama-sama 'mendidik' anak-anak kita dan masyarakat kepada pendidikan terbaik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.

Ahad, 29 Ogos 2010

Doa seorang anak kecil

Suatu ketika dulu, saya sebak sendirian, bila salah seorang anak saya memberitahu, "hari ini abang Iman, membaca doa di perhimpunan sekolah". Hari ini, setiap pagi saya bersama seluruh warga sekolah mengaminkan doa anak kecil di sekolah. Anak kecil yang selalunya lebih tulus ikhlas ini daripada kita orang-orang dewasa, mencuba sebaik mungkin seperti seorang khatib di depan ratusan rakan dan guru-guru. Anak siapa ini, pastinya kedua ibu bapanya merasa bangga. Dan kita sebagai pendidik biasa, menadah tangan semoga doa anak kecil ini, begitu besar ertinya kepada semua orang yang didoakannya. Amin.

Isnin, 16 Ogos 2010

Malasnya menulis

Mengapa jadi begini, malas sekali untuk menulis dan mengaktifkan blog ini wpun banyak perkara yang bermain di hati dan fikiran. Idea ada tetapi keinginan terhapus. Semoga Allah memberi kekuatan untuk berkongsi, yang baik itu anaugerah Dia, selebihnya itu adalah kekuranganku jua. Terima kasih kepada rakan2 yang dikenali dan tak dikenali yang mengunjungi ilham jiwaku ini.

Ahad, 4 Julai 2010

Kita mengambil zaman kanak-kanak terlalu awal

Zaman kanak-kanak adalah masa yang paling menyeronokkan buat kita semua. Mari kita 'kembali' sejenak apa yang kita lakukan pada zaman kita kanak-kanak. Segala-galanya menyeronokkan, apa lagi menjelang bulan puasa dan hari raya. Kehidupan kita penuh dengan kreativiti dan penciptaan apa saja yang kita bayangkan dan inginkan berdasarkan persekitaran hidup kita. Menarik dan mencabar. Namun hari ini, terlalu banyak perbezaannya. Kita mengurus kanak-kanak seperti kita tidak pernah menjadi kanak-kanak seperti mereka. Di rumah, di sekolah dan persekitaran hidup kanak-kanak hari ini sangat membeban dan mendera mereka. Kehendak dan hak kanak-kanak terlalu banyak ditentukan oleh kita orang dewasa. Zaman kanak-kanak terlalu cepat kita ragut daripada kehidupan mereka. Akibat dan impaknya, tempias kepada kita juga.

Rabu, 23 Jun 2010

kelacuran akademik

Satu istilah menarik untuk diperkatakan. Menurut Prof. Omar Abdull Karim ahli-ahli kademik yang benar-benar tulin akan memperkatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah tanpa memihak kepada sesiapa. Namun apa yang berlaku hari ini, kelacuran akademik berleluasa dan memberi impak negatif bukan saja kepada bidang akademik itu sendiri tetapi juga pelbagai aspek kehidupan dan negara.

Sabtu, 19 Jun 2010

dulu dan sekarang

Kita sering mendengar, banyak perkara, dulu, tidak sama dengan hari ini. Ada guru mengatakan, guru hari ini tidak sama dengan guru dahulu, pelajar hari ini tidak sama dengan pelajar dahulu, kanak-kanak hari ini tidak sama dengan kanak-kanak dahulu. Macam-macam perkara yang sudah lagi tidak sama dulu dan sekarang, sehinggakan para doktor dan peguam juga mengatakan mereka juga tidak sama dulu dan sekarang. Perbezaan yang diperkatakan ini adalah dari aspek nilai dan budaya yang memberi impak kepada kehidupan. Di mana silapnya?

Ahad, 6 Jun 2010

Guru & Pendidik

Pada pandangan anda, apa bezanya antara guru & pendidik? Pada saya, serupa tapi tak sama. Mana yang lebih baik?

Ahad, 9 Mei 2010

Kanak-kanak

Kalau di sekolah rendah, semua pelajarnya kanak-kanak. Memahami jiwa dan naluri kanak-kanak sebenarnya lebih menyenangkan daripada memikirkan hal-hal kita. Senangnya hati sebagai seorang kanak-kanak, sentiasa riang dan gembira dengan pelbagai kerenah wpun kadang-kadang mencabar kita orang dewasa. Sebagai guru di sekolah rendah, tugas paling utama adalah memahami jiwa dan naluri kanak-kanak. Tanpa kefahaman dan menjiwai kanak-kanak, tugas kita menjadi agak kekok dan sukar mencapai matlamat memberi didikan dan pelajaran. Atas keperluan inilah, sebelum menjadi guru, kita belajar ilmu psikologi tentang kanak-kanak. Di sekolah, P&P yang paling berkesan adalah yang berasaskan keperluan kanak-kanak, bukan keperluan kita orang dewasa. Tidak rugi dan tidak berkurangnya ilmu di dada jika kita mengubah personaliti dan berada di alam kanak-kanak ketika mengajar. Perkara yang paling digemari kanak-kanak adalah bermain dan bersuka ria bersama rakan-rakan. Jadi sebagai guru, kita harus bijak 'bermain' dan bersuka ria sambil mengajar dan belajar.

Selasa, 20 April 2010

Impak pendidikan awal kanak-kanak

Saya agak beruntung, ketika kanak-kanak, saya mencuri-curi guna barangan kerja pertukangan bapa saya untuk berjinak-jinak bukan sebagai tukang, tetapi sekadar menyiapkan mainan buatan sendiri seperti kereta/lori mainan, senapang kayu dan sebagainya. Itulah dunia kanak-kanak kita 50 tahun yang lalu yang tidak ada atau tidak berlaku lagi pada hari ini. Itu semua pendidikan, wpun tidak formal, tetapi kita sudah mula tahu bagaimana menggunakan peralatan kerja pertukangan dan sebagainya. Paling utama, tahu 'memegang' dan 'menggunakannya' dengan cara yang betul. Namun apa yang berlaku hari ini, jauh berbeza. Sebahagian kita, orang muda2, atau remaja tidak tahu bukan saja untuk mengguna tetapi tidak tahu juga untuk memegang dengan cara yang betul segala macam peralatan di rumah atau di mana saja. Hatta, yang paling mudah, memegang dan menggunakan cangkul pun, banyak orang yang tidak betul2 tahu. Ini terbukti, saya melihat kebanyakan orang sekarang, wpun sudah berkeluarga, masih tidak tahu atau tidak boleh menguruskan kerja2 mudah seperti menggunakan cangkul, parang, gergaji, tukul dan sebagainya untuk membuat kerja penambahbaikan mudah di rumah atau ditempat kerja. Akibatnya, berlakulah penambahan kos sara hidup bila semua urusan kecil terpaksa diupah kepada orang lain.

Ini semua pada saya, impak pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan berlaku secara formal oleh guru-guru di sekolah atau sebaliknya. Di sekolah terdapat pelbagai mata pelajaran khususnya untuk mendidik kemahiran kepada kanak-kanak. Seperti mata pelajaran kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan sebagainya. Namun hasilnya, amat mengecewakan. Saya mula menyedari hakikat ini, apabila saya bermain badminton dengan rakan-rakan yang baru belajar bermain badminton ketika usia dewasa. Kebanyakan mereka memegang raket dengan cara yang salah dan sudah mestinya tidak mampu bermain dengan baik sebaik orang yang mula bermain sejak kecil. Wpun saya cuba memperbetulkan rakan2 ini, namun pendidikan itu ternyata sudah terlambat. Saya mula meneliti kesilapan ini bukan saja cara mereka memegang raket badminton tetapi juga memegang benda-benda lain seperti cangkul, parang, golok (yang ada hulunya) yang hampir sama dengan pemegang raket itu, juga salah. Ini bermakna mereka ini tidak pernah dibimbing oleh sesiapa pun kebolehan memegang dengan cara yang betul. Siapa yang harus dipersalahkan, guru atau ibu bapa? Dalam soal ini, saya tidak pernah mendapat bimbingan formal daripada seorang guru mengajar saya bermain badminton dengan cara yang betul, tetapi kerana saya banyak mendapat bimbingan bapa saya kemahiran mengguna peralatan kerja, secara tidak langsung saya boleh memengang raket badminton dan bermain badminton dengan cara yang betul dengan baik serta dapat melakukan kerja-kerja pertukangan dengan baik dan boleh menjimatkan belanja apabila kebanyakan urusan penambahbaikan di rumah dan di tempat kerja saya lakukan sendiri.

Jadi, bayangkan jika pendidikan benar-benar berlaku di sekolah, hidup kita akan menjadi lebih baik daripada yang kita alami hari ini. Mungkin kita boleh bersukan, bersenaman dan boleh melakukan kerja-kerja penambahbaikan di rumah tanpa perlu mengupah orang lain. Kita jadi sihat dan serba boleh. Jadi, sebagai guru, renung2kanlah, jika kita tidak mendidik sebaik mungkin, impaknya sangatlah besar kepada anak-anak kita nanti.

Selasa, 6 April 2010

Antara beban kerja dan keinginan bekerja


Umum mengatakan, guru hari ini sangat terbeban dengan pelbagai tugas. Namun demikian masih tidak ada kajian yang signifikan yang membuktikan guru benar2 terbeban. Secara psikologi, bila umum (di kalangan guru) mengatakan guru banyak kerja, semua guru merasa sangat letih, wpun baru jadi guru atau belum lagi memulakan sesuatu tugas di sekolah. Beban tugas diperbesarkan seenaknya mengikut cita rasa masing-masing. Itu hak masing-masing. Namun apa yang ingin saya perkatakan di sini, antara beban kerja dan keinginan bekerja. Sebelum mendapat pekerjaan setiap kita begitu inginkan pekerjaan itu, dengan harapan hidup lebih terjamin. Namun bila sudah mempunyai pekerjaan, pelbagai cara dan pendekatan orang bekerja mengikut tafsiran, kefahaman dan keinginan untuk bekerja masing-masing. Kepada orang-orang yang tidak mempunyai pekerjaan, mereka memikirkan alangkah baik jika mereka juga memperoleh pekerjaan sebagaimana kita semua yang bernasib baik mendapat pekerjaan.

Dalam tugas guru di sekolah hari saya akui memang banyak yang perlu diuruskan guru. Namun demikian, dunia hari ini sangat berbeza dengan sepuluh atau 20 tahun yang lalu. Kepada orang-orang yang sangat cintakan pekerjaannya mereka berusaha melakukan pelbagai cara dan pendekatan untuk memastikan pekerjaan yang dilakukannya sebijak dirinya dan zaman yang serba moden ini. Kita boleh melihat, dalam zaman yang serba moden ini, manusia melakukan pekerjaan dengan mengekploitasi sebanyak mungkin teknologi yang ada agar pekerjaan yang dilakukannya dilihat sangat berkualiti oleh orang lain dan memberikan kesan yang sangat positif kepada dirinya sendiri. Begitulah juga dengan tugas guru di sekolah. Hampir setiap hari, bulan dan tahun, kita melakukan kerja-kerja rutin yang kita ulang-ulang sehingga kita bersara dari jawatan guru. Namun, sejauh mana kita mengambil peluang menggunakan kemudahan dan teknologi moden ke dalam kerja kita di sekolah rasanya tidak seiring dengan perkembangan teknologi itu sendiri. Sepatutnya, semua kerja kita menjadi lebih mudah dan tidak membebankan sekiranya kita seiring dengan teknologi moden hari ini. Sebagai contoh, hampir semua urusan hari ini boleh diurus dihujung jari melalui kemudahan ICT, di mana saja dan pada bila-bila masa. Namun, jarang sekali kita lihat, keadaan ini berlaku di sekolah. Entah mengapa, kita begitu tradisional dan konvensional. Kita masih terikut-ikut dengan pengalaman yang kita hadapi dengan guru-guru kita dahulu, wpun sebahagiannya kita sendiri tidak menyukainya. Inilah yang dikatakan, dunia canggih tetapi kita masih jauh ketinggalan.

Khamis, 18 Mac 2010

Amazing Thailand





Selayaknya Thailand mengunakan cogan kata Amazing Thailand sebagai promosi pelancongan negara Siam itu. Satu lagi pengalaman menarik saya dan pasukan 'Pangkah Team' ketika menyertai xpdc memancing di laut dalam kepulauan Adang, Thailand. Apa yang ingin saya kongsikan di sini betapa Thailand begitu bersungguh-sungguh menggunakan pelancongan sebagai salah satu sumber ekonominya. Aktiviti memancing merupakan salah satu aktiviti yang dimasukkan di dalam kalendar pelancongan. jadi tidak hairanlah terdapat banyak bot-bot untuk memancing serta terdapat pasukan polis peronda khas untuk memastikan keselamatan pemancing. Untuk menyewa sebuah bot, kami telah membuat tempahan hampir 4 bulan. Hari yang ditunggu-tunggu tiba pada 25 -28 Februari 2010. Kali pertama menyertai xpdc ini sangat mengejutkan saya dengan keadaan laut yang cantik di sekitar kepulauan Adang yang juga merupakan pulau2 pelancongan setaraf Kepulauan Phi Phi di Phuket. Wpun di kelilingi pulau, disebabkan ianya terletak di lautan Andaman, kedalaman airnya mencecah 50 - 70 meter. Ini memberi ruang bersarangnya ikan2 bersaiz A dan berkualiti. Memang benar apabila pasukan kami pulang dengan hasil yang agak lumayan.

Menariknya juga, layanan tekong dan kru bot sangat memuaskan kami. Sepanjang 4 hari 3 malam di atas bot, paling hebat pada saya ialah masakan yang disediakan oleh Kru Usop, sebagai tukang masak hampir setaraf dengan masakan di hotel. Luar biasa dari segi menu dan rasanya menggambarkan kepada kita Thailand antara negara yang kaya dengan pelbagai masakan. Kebanyakan masakan berasaskan ikan segar yang kami pancing itu sangat menyelerakan apa lagi tukang masak melayan kami seperti pelancong yang kaya bersantai di atas bot sambil memancing. Inilah bezanya Thailand, setiap apa yang diberikan kepada pelancong diuruskan dengan cara terbaik sehingga kita sangat berpuas hati dan merasakan berbaloi dengan apa yang dibayar. Saya bercakap atas perkara-perkara positif yang tidak kelihatan di negara kita yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Banyak yang boleh dipelajari dan diambil iktibar dengan apa yang ada di negara jiran ini. Rakyatnya begitu berbudi bahasa dan sangat menghormati orang luar dengan amalan budaya yang sangat tinggi. Ini semua semakin hilang di negara kita sehingga kita merasa takut dan rimas untuk ke mana-mana apa lagi jika berseorangan. Saya sangat tertarik dengan kebolehan Usop, yang saya anggap tukang masak yang hebat sehingga saya bercadang untuk membawanya ke Malaysia jika saya membuka sebuah restoran. Kesemua tekong dan kru bot kami adalah Muslim, yang kebetulan perkampungan nelayan Pak Bara di Segenting Kra, Thailand itu terdiri hampir 60% penduduk Islam.

Sabtu, 13 Mac 2010

Celcom untung 1.9 billion

Bagus, jika bisnes ada untung macam ni. Hebatnya celcom antara gergasi telekomunikasi di negara kita. Kalau boleh kita nak semua bisnes dan apa yang ada di negara kita terus bergerak maju. Namun apa yang ingin saya perkatakan di sini, tidak banyak keuntungan itu dikongsikan sedikit dengan pengguna atau rakyat jelata. Itu hak mereka, tetapi pengguna juga ada hak sebenarnya. Sejak melanggan celcom 10 tahun yang lalu, rasanya saya atau pelanggan2 yang lain tidak pernah menerima apa2 insentif atau bonus daripada celcom sebagai penghargaan kepada pelanggannya yang setia. Mungkin ini budaya di negara kita. Budaya menghargai orang lain terlalu sedikit walaupun pelanggan sendiri. Banyak contohnya, syarikat besar yang dilanggani rakyat, tidak mempedulikan pelanggannya. Walhal kesetiaan pelanggan merekalah yang menjadikan mereka mengecapi keuntungan berlipat ganda. Syarikat2 telekomunikasi, television berbayar, dan sebagainya, sentiasa berusaha hanya untuk menarik pelanggan tetapi untuk menghargai pelanggan jauh sekali. Apalah salahnya sekali sekala atau setahun sekali, berikan rebet kepada pelanggan 5 atau 10%. Ini sudah membuatkan kita sebagai pelanggan merasa gembira dan dihargai. Sebagai contoh, jika saya membayar bil celcom sebanyak, rm1500 setahun, jika diberikan rebet 10%, bermakna saya sebagai pelanggan dapat menikmati potongan sebanyak rm150. Alangkah seronoknya kita walaupun dapat sedikit sebagai tanda terima kasih dan penghargaan. Ini tidak, kalau astro tu, lambat bayar bil, dikenakan lagi bayaran denda. Contoh yang agak baik, apa yang dilakukan oleh syarikat2 pam minyak yang membuat dalam bentuk peraduan mudah untuk menghargai pelanggan. Ini pada saya sangat bagus, wpun saya tak pernah dapat, tetapi sebagai pelanggan, saya sudah merasa dihargai bila melihat ada pelanggan2 lain yang berjaya mendapat penghargaan itu. Yang peliknya, kadang-kadang kita tengok mereka boleh menaja hal-hal yang tidak banyak manfaatnya kepada rakyat di negara kita, seperti penajaan kejohanan sukan yang tiada seorangpun akhli sukan negara kita yang menyertainya. Berbillion RM dihabiskan hanya untuk itu. Kita seperti merempat di negara sendiri. Panjang umur, tengoklah satu hari nanti, di mana anak cucu kita terpaksa meminta-minta untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan mencari sesuap nasi.

Isnin, 22 Februari 2010

Ops Sikap atau Ops kira kematian

Ops sikap yang bermatlamatkan mengubah sikap rakyat negara kita menjadi pemandu yang baik itu sudah masuk kali ke 21. Namun hasilnya saya rasa hanyalah sekadar mengira jumlah kematian dan jumlah saman dikeluarkan. Dalam hal ini semua kita seharusnya memikir dan mengambil tindakan penambahbaikan masa kini dan masa akan datang. Nampaknya Ops sikap tidak berjaya mencapai matlamatnya. Secara kasarnya sikap buruk rakyat Malaysia bukanlah d jalan raya sahaja tetapi banyak lagi situasi yang memperlihatkan betapa kita sudah berada pada tahap yang hampir kronik. Budaya dan nilai hidup kita sudah tidak ada budaya Malaysia lagi walaupun rakyat negara kita yang terdiri daripada 3 kaum utama asalnya mempunyai nilai budaya yang sangat tinggi. Di mana silapnya? Pada pandangan saya semuanya bermula daripada pendidikan dan nilai yang dibawa oleh masyarakat kita. Sistem yang ada dalam negara juga terlibat sama menjadi penyebab kepada 'kerosakan' ini.

Pendidikan kita seharusnya kembali ke pangkal jalan berteraskan apa yang digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang baik mengikut acuan kita yang dikatakan JERI ( jasmani, emosi, rohani dan intelek ) itu. Rakyat kita bukan sekadar faseh berbahasa Malaysia tetapi juga mempunyai nilai kenagaraan yang sangat tinggi merangkumi pelbagai nilai hidup termasuk sikap di jalan raya. Apalah gunanya kelulusan yang hanya dinilai dengan pencapaian A tetapi tiada jiwa dan nilai diri Malaysia. Sistem yang diamalkan dalam negara juga seharusnya berubah ke arah membantuk negara yang kuat dan bermaruah bukan sekadar berhimpun menunjukkan protes hanya bila ada orang mempertikaikan sistem perundangan kita, sedangkan banyak lagi kelemahan negara yang harus diambil tindakan segara. Paling menyedihkan dan memalukan, betapa negara kita ini menjadi longgokkan penjenayah dan rakyat asing yang positif melakukan jenayah. Saya cadangkan lebih baik buat 'Ops Halau' pendatang asing daripada operasi mengumpul duit rakyat melalui saman ops sikap.

Rabu, 17 Februari 2010

Lagi tanggungjawab GB

Beberapa minggu ni saya didatangi pekerja2 JKR Mekanikal dan Letrik atas urusan penyenggaraan hal-hal yang berkaitan sekolah. Apa yang nak saya kongsikan ialah bezanya jawatan GB dengan jawatan Ketua Jabatan yang lain. Mula2 saya menerima laporan drp pekerja tentang kerosakan pam air dan pam najis. Supaya saya faham semua tentang benda2 tu, saya turun padang dan selidiki apa yang berlaku. Terus menghubungi JKR yang berkenaan untuk urusan baikpulih. Oleh kerana saya pernah berurusan sendiri dengan mereka dan mula bersahabat, urusan menjadi sangat mudah. Daripada urusan yang sepatutnya bersurat, hanya percakapan lisan sudah ada tindakan. Inilah hasilnya berusaha melayan dengan baik sesiapa saja yang berurusan dengan sekolah. Untungnya saya apabila para juruteknik datang membuat kerja-kerja penyenggaraan saya sentiasa bersama mereka, dan saya tahu selok belok urusan penyenggaraan di sekolah. Apa yang saya nak kongsikan di sini, kalau di jabatan lain, pastinya urusan itu kita boleh arahkan juruteknik untuk uruskan sehingga perkara itu selesai dan bos hanya perlukan laporan sahaja. Tapi di sekolah, semuanya GB kena turun padang sehingga selesai. Mungkin juga GB lain tak buat macam tu, atau mereka lebih pro. Tapi pengalaman saya bersama-sama dengan orang-orang yang hadir membantu kita di sekolah, hasilnya mengejutkan. Inilah yang dikatakan kemahiran perundingan dan kemahiran komunikasi berkesan.

Isnin, 8 Februari 2010

Kita semakin terbalik

Aneh dan semakin luar biasa. Kalau dulu, guru-guru mendidik kita bagaimana cara melintas jalan, berjalan kaki di sebelah kiri jalan dan berbagai lagi, walaupun pada waktu itu, jumlah kenderaan sedikit. Tempat saya mula-mula membesar di Hulu Kelantan, boleh dikatakan bukan saja kenderaan, jalan raya yang sempurnapun hampir tidak ada. Tetapi guru-guru masih tetap memberi bimbingan tentang keselamatan di jalan raya. Namun, hari ini berbeza sekali, dan kebanyakan guru seperti menganggap murid-murid sudah faham sendiri. Kesannya, di jalan raya hari ini, kita seperti tidak ada peraturan langsung. Di mana-mana kita akan melihat perlanggaran peraturan jalan raya sewenang-wenangnya. Kebanyakan orang kadang2 kita lihat seperti dia merasakan dia lebih tahu undang-undang daripada orang lain. Sebagai contoh2 paling mudah antaranya memandu perlahan di lorong utama, menukar warna lampu kepada lampu yang menyilaukan mata, memasang lampu kecemasan ketika hujan lebat dan sebagainya. Terfikir kita, sekolah memandu mana dan JPJ mana yang membimbing dan meluluskan lesen memandu mereka?

Merenung apa yang belaku dalam negara kita, semakin banyak perkara yang seakan terbalik, pelik dan luar biasa. Satu lagi contoh, satu ketika kita melaungkan untuk memajukan sukan negara dan sukan bertahap tinggi. Begini dan begitu menteri bercakap dan tidak kurang juga surat-surat siaran dan pekeliling sampai ke sekolah. Nampak bagus sekali. Namun pada masa yang sama, kita tidak benar2 membuat persediaan pada peringkat asas, iaitu pada peringkat awal kanak2 di sekolah. Sepatutnya sekolahlah tempat melahirkan bakat ahli sukan negara, tetapi persoalannya, apa ada pada sekolah? Sesetengah sekolah, jangankan gelanggang dan kemudahan lain, padang pun tidak ada. Sepatutnya di sekolah, ada jurulatih dan kepakaran khas dalam bidang sukan yang berperanan mencungkil dan membina bakat kanak-kanak dengan jadual dan peruntukan yang sesuai. Pengiktirafan juga harus diberi kepada pencapaian dan kecemerlangan guru dan pelajar ke tahap tertinggi. Hadiah harus diberi dengan nilai yang baik dan menarik, bukan menilai akademik semata-mata.

Jadi seharusnya kita sudah mulai sedar dan melakukan sesuatu untuk negara kita yang kita cintai ini. Marilah kita, terbalikkan kembali 'dunia' kita ini.

Rabu, 3 Februari 2010

Mengetuai Kontinjen Gimrama

Tahun ini saya dilantik sebagai pengerusi pengelola Kejohanan Gimrama peringkat Daerah KMY. Sebenarnya secara kebetulan, kerana Pn. Sharifah Shahrina, guru sekolah saya adalah Pengerusi Teknik Gimrama negeri Kedah. Nasib baik juga saya meminati hampir semua jenis sukan, tugas ini saya cuba buat sebaik mungkin. Mula2 mendekati sukan gimrama ini, saya rasa agak kekok juga untuk berada di kalangan guru-guru wanita dan para pelajar perempuan yang mengambil bahagian. Maklumlah, sukan ini memerlukan pergerakan dan penonjolan seluruh bentuk badan pelajar2 perempuan. Dalam sesi latihan pusat, saya diperkenalkan kepada semua peserta secara rasmi sebagai ketua kontinjen. Wpun agak kekok, saya cuba memperlihatkan saya serius dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan. Esok, 4 Feb, kami akan bertanding di peringkat negeri Kedah di SMK Hosba, Jitra.

Mendekati sukan ini, jelaslah betapa semua jenis sukan mempunyai keistimewaan tersendiri. Gimrama, yang dilihat sebagai sukan hanya untuk sesetengah golongan saja ini, sebenarnya mempunyai kelebihan dari pelbagai aspek sukan dan seni. Bukan senang untuk menggerakkan seluruh badan mengikut disiplin2 yang telah ditetapkan dalam sukan ini. Kelembutan, ketepatan dan kesenian pergerakan menjadi aset kepada seseorang gimnas. Ianya perlu diberi pendedahan seawal umur 3 atau 4 tahun. Dan kejayaan sukan ini juga bergantung kepada aspek disiplin diri dan kesungguhan peserta.

Rabu, 27 Januari 2010

Bila hati sudah tidak sayang

Soal kasih sayang sukar untuk kita berbicara lebih tepat dan ilmiah. Walaupun ada kajian-kajian ilmiah tentang kasih sayang, tetapi kasih sayang boleh dianggap begitu subjektif mengikut tafsiran individu. Kita tidak tahu apa yang terdetik di hati seseorang walaupun dia begitu dekat dengan kita. Kita hanya mungkin mampu mentafsir apa yang ada di dalam diri kita sendiri. Dan kita, tetap kita, dengan rahsia tersendiri. Terlalu banyak yang boleh kita jadikan iktibar sejauh mana untuk mengukur kasih sayang diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita. Di mana-mana saja kita mampu melihat bagaimana kasih sayang wujud dan tidak ternilai pada pandangan biasa. Perhubungan antara binatang juga kadang-kadang memberikan kita makna kasih sayang yang tersendiri. Alangkah baiknya jika perhubungan kita semua sentiasa terbentuk melalui hubungan kasih sayang. Namun, manusia terlalu banyak ragam dengan naluri yang sukar dibaca sehinggakan sukar untuk kita mengerti mengapa jadi begini dan begitu akibat kasih sayang. Terbaru, pasangan kekasih selebriti negara, Fahrin dan Linda yang dulunya saling menyintai dengan kasih sayang, tiba-tiba berubah menjadi sebaliknya. Dan banyak lagi yang pernah kita dengar yang menjadi sebutan rakyat seluruh negara, tiba-tiba berubah sebaliknya. Inilah yang saya maksudkan, betapa kasih sayang yang begitu bermakna di dalam hidup ini bisa menjadi onak yang menyakitkan. Sehingga ada yang sanggup membunuh dan memperlakukan melebihi tabiat biasa seorang insan.

Soalnya, benarkah kasih sayang itu wujud dan benarkah ianya boleh berubah sehingga menjejaskan kehidupan kita?

Isnin, 18 Januari 2010

Siapa Guru Besar sebenarnya?

Sejak jadi GB, saya tidak pernah merasa agak selesa sebagai orang no 1 di sekolah. Bahkan setiap hari dikejar kebimbangan dan keresahan dek pelbagai perkara dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya. Semuanya perlu diurus dengan baik, supaya semua orang puas hati. Guru, murid, ibu bapa dan semua yang berkaitan dengan sekolah merasa senang dan selesa. Tapi diri sendiri, tidak pernah merasa selesa. Kadang-kadang seperti seorang hamba yang diperhambakan tuannya dengan pelbagai tugas yang membebankan. Semua orang yang berkenaan dengan sekolah boleh 'mengarahkan' GB dengan itu dan ini. Lebih-lebih lagi pada zaman yang serba canggih ini, semua boleh memberi arahan dan tekanan. Sebagai contoh, semua pegawai di PPD, JPN dan KPM dari yang tiada pangkat hinggalah yang berpangkat boleh memberi arahan kepada GB dan sek dengan hanya mengemelkan arahan sahaja. Saya merasa jengkel apabila kadang2 menerima arahan dan tekanan daripada semua pihak untuk menghantar maklumat itu dan ini. Pegawai2 yang gred jawatannya lebih rendah daripada Gb dan Pengetua, boleh mengeluarkan arahan dan tekanan pada bila2 masa. Kadang2 arahan dikeluarkan hari ini, hari ini juga perkara tersebut perlu diselesaikan.

Siapalah GB sebenarnya, yang terpaksa melayan semua orang dengan pelbagai cara. Paling menyedihkan, di sekolahpun, masih ada lagi sikap guru dan staf yang sengaja tidak kreatif, inovatif dan proaktif. Cuba mengelak mengambil tanggungjawab, wpun sudah menjadi tugasnya yang hakiki. Wpun diberi layanan dengan baik, mereka masih tidak mahu menjalankan tugas dengan baik. Apa sebenarnya mereka mahu? Sudah selesa, mahu lebih selesa, sehingga tugas hakiki terabai.