Selasa, 20 April 2010

Impak pendidikan awal kanak-kanak

Saya agak beruntung, ketika kanak-kanak, saya mencuri-curi guna barangan kerja pertukangan bapa saya untuk berjinak-jinak bukan sebagai tukang, tetapi sekadar menyiapkan mainan buatan sendiri seperti kereta/lori mainan, senapang kayu dan sebagainya. Itulah dunia kanak-kanak kita 50 tahun yang lalu yang tidak ada atau tidak berlaku lagi pada hari ini. Itu semua pendidikan, wpun tidak formal, tetapi kita sudah mula tahu bagaimana menggunakan peralatan kerja pertukangan dan sebagainya. Paling utama, tahu 'memegang' dan 'menggunakannya' dengan cara yang betul. Namun apa yang berlaku hari ini, jauh berbeza. Sebahagian kita, orang muda2, atau remaja tidak tahu bukan saja untuk mengguna tetapi tidak tahu juga untuk memegang dengan cara yang betul segala macam peralatan di rumah atau di mana saja. Hatta, yang paling mudah, memegang dan menggunakan cangkul pun, banyak orang yang tidak betul2 tahu. Ini terbukti, saya melihat kebanyakan orang sekarang, wpun sudah berkeluarga, masih tidak tahu atau tidak boleh menguruskan kerja2 mudah seperti menggunakan cangkul, parang, gergaji, tukul dan sebagainya untuk membuat kerja penambahbaikan mudah di rumah atau ditempat kerja. Akibatnya, berlakulah penambahan kos sara hidup bila semua urusan kecil terpaksa diupah kepada orang lain.

Ini semua pada saya, impak pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan berlaku secara formal oleh guru-guru di sekolah atau sebaliknya. Di sekolah terdapat pelbagai mata pelajaran khususnya untuk mendidik kemahiran kepada kanak-kanak. Seperti mata pelajaran kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan sebagainya. Namun hasilnya, amat mengecewakan. Saya mula menyedari hakikat ini, apabila saya bermain badminton dengan rakan-rakan yang baru belajar bermain badminton ketika usia dewasa. Kebanyakan mereka memegang raket dengan cara yang salah dan sudah mestinya tidak mampu bermain dengan baik sebaik orang yang mula bermain sejak kecil. Wpun saya cuba memperbetulkan rakan2 ini, namun pendidikan itu ternyata sudah terlambat. Saya mula meneliti kesilapan ini bukan saja cara mereka memegang raket badminton tetapi juga memegang benda-benda lain seperti cangkul, parang, golok (yang ada hulunya) yang hampir sama dengan pemegang raket itu, juga salah. Ini bermakna mereka ini tidak pernah dibimbing oleh sesiapa pun kebolehan memegang dengan cara yang betul. Siapa yang harus dipersalahkan, guru atau ibu bapa? Dalam soal ini, saya tidak pernah mendapat bimbingan formal daripada seorang guru mengajar saya bermain badminton dengan cara yang betul, tetapi kerana saya banyak mendapat bimbingan bapa saya kemahiran mengguna peralatan kerja, secara tidak langsung saya boleh memengang raket badminton dan bermain badminton dengan cara yang betul dengan baik serta dapat melakukan kerja-kerja pertukangan dengan baik dan boleh menjimatkan belanja apabila kebanyakan urusan penambahbaikan di rumah dan di tempat kerja saya lakukan sendiri.

Jadi, bayangkan jika pendidikan benar-benar berlaku di sekolah, hidup kita akan menjadi lebih baik daripada yang kita alami hari ini. Mungkin kita boleh bersukan, bersenaman dan boleh melakukan kerja-kerja penambahbaikan di rumah tanpa perlu mengupah orang lain. Kita jadi sihat dan serba boleh. Jadi, sebagai guru, renung2kanlah, jika kita tidak mendidik sebaik mungkin, impaknya sangatlah besar kepada anak-anak kita nanti.

Selasa, 6 April 2010

Antara beban kerja dan keinginan bekerja


Umum mengatakan, guru hari ini sangat terbeban dengan pelbagai tugas. Namun demikian masih tidak ada kajian yang signifikan yang membuktikan guru benar2 terbeban. Secara psikologi, bila umum (di kalangan guru) mengatakan guru banyak kerja, semua guru merasa sangat letih, wpun baru jadi guru atau belum lagi memulakan sesuatu tugas di sekolah. Beban tugas diperbesarkan seenaknya mengikut cita rasa masing-masing. Itu hak masing-masing. Namun apa yang ingin saya perkatakan di sini, antara beban kerja dan keinginan bekerja. Sebelum mendapat pekerjaan setiap kita begitu inginkan pekerjaan itu, dengan harapan hidup lebih terjamin. Namun bila sudah mempunyai pekerjaan, pelbagai cara dan pendekatan orang bekerja mengikut tafsiran, kefahaman dan keinginan untuk bekerja masing-masing. Kepada orang-orang yang tidak mempunyai pekerjaan, mereka memikirkan alangkah baik jika mereka juga memperoleh pekerjaan sebagaimana kita semua yang bernasib baik mendapat pekerjaan.

Dalam tugas guru di sekolah hari saya akui memang banyak yang perlu diuruskan guru. Namun demikian, dunia hari ini sangat berbeza dengan sepuluh atau 20 tahun yang lalu. Kepada orang-orang yang sangat cintakan pekerjaannya mereka berusaha melakukan pelbagai cara dan pendekatan untuk memastikan pekerjaan yang dilakukannya sebijak dirinya dan zaman yang serba moden ini. Kita boleh melihat, dalam zaman yang serba moden ini, manusia melakukan pekerjaan dengan mengekploitasi sebanyak mungkin teknologi yang ada agar pekerjaan yang dilakukannya dilihat sangat berkualiti oleh orang lain dan memberikan kesan yang sangat positif kepada dirinya sendiri. Begitulah juga dengan tugas guru di sekolah. Hampir setiap hari, bulan dan tahun, kita melakukan kerja-kerja rutin yang kita ulang-ulang sehingga kita bersara dari jawatan guru. Namun, sejauh mana kita mengambil peluang menggunakan kemudahan dan teknologi moden ke dalam kerja kita di sekolah rasanya tidak seiring dengan perkembangan teknologi itu sendiri. Sepatutnya, semua kerja kita menjadi lebih mudah dan tidak membebankan sekiranya kita seiring dengan teknologi moden hari ini. Sebagai contoh, hampir semua urusan hari ini boleh diurus dihujung jari melalui kemudahan ICT, di mana saja dan pada bila-bila masa. Namun, jarang sekali kita lihat, keadaan ini berlaku di sekolah. Entah mengapa, kita begitu tradisional dan konvensional. Kita masih terikut-ikut dengan pengalaman yang kita hadapi dengan guru-guru kita dahulu, wpun sebahagiannya kita sendiri tidak menyukainya. Inilah yang dikatakan, dunia canggih tetapi kita masih jauh ketinggalan.