Selasa, 28 Julai 2009

Matinya seorang patriot

Alfatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad, pengarah filem terkenal negara. Katanya kehilangan besar kepada negara. Saya setuju. Bakat, kreativiti dan kesediaan menghadapi cabaran dalam berkarya, Allahyarham ternyata 'outstanding'. Hasil seni yang digarap beliau agak berlainan daripada orang lain yang sebelumnya. Seni yang bukan saja menghibur, tetapi juga mendidik masyarakat (penggemar filem Melayu) negara kita. Dari sudut itu, wajarlah jika dikatakan negara kehilangan besar. Namun demikian, apa yang ingin saya utarakan di sini, ialah sikap dan mungkin juga boleh dikatakan seperti 'dasar' tidak adil masyarakat dan negara dalam memberi pengiktirafan dan penghargaan. Lebih-lebih lagi, media massa. Saya sering merasa sangat terkilan menghadapi situasi seperti ini. Apabila meninggalnya orang-orang seni (hiburan), seluruh negara seperti berkabung. Kadang-kadang berita mengenainya sampai seminggu. Begitu juga dalam pemberian anugerah dan pingat kebesaran negara. Wpun hanya setahun jagung, sudah dianguerahi pingat kebesaran. Pada pandangan saya, kita perlu berani berubah ke arah yang lebih baik dan positif, bukan mengikut telunjuk membuta-tuli. Nilai-nilai ini seharusnya dipupuk dengan baik oleh seluruh warga negara. Pendidikan sentiasa berlaku di mana-mana, terutama media massa yang begitu tinggi pengaruhnya. Janganlah kerana terlalu mengejar pengaruh dan glamor, nilai yang baik ditinggalkan. Kita juga yang rugi.


Apa yang berlaku di sekolah hari ini, ternyata impaknya daripada nilai yang dibawa masyarakat dan negara. Seorang guru hanya dilihat seperti hamba (abdi) kepada ibu bapa untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Walaupun ibu bapa meletakkan harapan begitu tinggi, hakikatnya bukanlah kepada guru, tetapi kepada anak-anak mereka agar mencapai hasrat yang mereka impikan. Tinggallah guru, ibarat melukut ditepi gantang. Hakikatnya hari ini, tidak banyak guru yang merasa bangga akan diri mereka kerana menjadi guru. Sesetengahnya merasakan mereka hanya hadir ke sekolah, sekadar memenuhi rutin untuk menerima gaji seadanya. Salah satu puncanya adalah, pengiktirafan dan penghargaan masyarakat dan negara kepada guru. Walaupun saban tahun, ada sambutan hari guru, tetapi guru hanya syok sendiri dengan sambutan ala kadar. Berita tentang guru, besarlah tajuknya, jika ianya negatif. Yang positifpun cuba dinegatifkan. Inilah sikap yang sangat memalukan dan melukakan hati para guru. Guru sering diugut, dengan peraturan dan arahan yang sangat rijik dan memualkan. Sebagai contoh, Guru Besar dan Pengetua boleh diambil tindakan tatatertib jika didapati berlakunya wabak Hsatu Nsatu di sekolah. Tidak disebutpun, ketua-ketua jabatan lain, kepala-kepala intitusi lain atau menteri kesihatan dan menteri pendidikan sendiri. Yang salah dan lemahnya guru. Hipokrit sungguh kita. Seperti kita ini tidak pernah menerima sentuhan seorang guru, sehingga kita jadi pengarah filem, sehingga kita jadi, sehingga kita jadi seorang bintang, sehingga kita jadi seorang menteri, atau apa saja kita hari ini. Mungkin, puisi karya agung Osman Awang, 'Guru oh Guru' hanya sekadar retorik setiap kali hari guru.

Ahad, 19 Julai 2009

Rehat

Rehat merupakan salah satu faktor penting kesihatan optimum. Rehat bermaksud tidur yang cukup, selasa, tenang dan sedikit rekreasi. Ianya berkait rapat dengan fizikal dan minda. Rehat yang cukup membolehkan kita kembali segar dan bersedia melakukan tanggungjawab dengan lebih baik dan berkesan. Selalunya ia boleh dianggap sebagai salah satu cara menghilangkan stres dan tekanan. Hubungan sex yang sempurna dan romentik juga merupakan sebahagian daripada keperluan rehat yang baik. Ini bermakna ianya sangat penting bagi membolehkan kita sentiasa sihat dan terhindar daripada penyakit kronik. Perkara ini seharusnya dilihat dengan serius oleh semua orang dan ianya perlu diurus sebaik mungkin, kerana ia melibatkan masa, wang ringgit serta tahap kesihatan semasa. Salah satu cara berehat ialah dengan membawa diri ke suatu tempat yang mungkin baru bagi kita atau pergi melancong. Untuk berbuat demikian, pastinya kita juga perlu mempunyai persediaan yang cukup dari semua aspek agar perjalanan kita itu tidak menjejaskan diri kita dan orang lain.

Sejak jumaat lalu, saya berada di Kota Kinabalu bersama isteri dan rakan-rakan untuk berehat. Alhamdulilah, wpun tidaklah mencapai tahap maksimum, tetapi saya merasakan perjalanan begini merupakan satu cara saya boleh menghilangkan tekanan dan tidak perlu berfikir perkara-perkara rutin yang membosankan. Dengan berada di suatu tempat yang agak asing bagi kita, pemikiran kita akan menjurus kepada perkara-perkara baru yang mungkin tidak pernah singgah di kotak pemikiran kita sebelum ini. Kita sering melihat, orang-orang yang berhijrah boleh membina hidup baru yang lebih baik dan mungkin lebih cemerlang daripada sebelumnya. Ini bermakna, sesuatu yang baru akan menghadirkan inspirasi yang baru kepada hidup kita. Jadi, berehatlah.

Rabu, 15 Julai 2009

Impian dan matlamat

Dalam kehidupan kita, semua orang mempunyai impian dan matlamat. Impian (dream) bermakna apa yang kita inginkan dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya mengikut naluri dan nafsu seseorang. Sementara matlamat pula ialah ukuran pencapaian-pencapaian mengikut tahap dan waktu tertentu ke arah mencapai impian. Kebanyakan kita, tahu ini. Yang kita tidak tahu, selalunya bagaimana untuk membina matlamat dan impian. Impian dan matlamat kita, hanya berlegar-legar sekitar pemikiran yang hadir sekali-sekala. Selalunya orang sering bercakap tentang azam ketika menjelang tahun baru, selepas itu orang tidak pernah bertanya, sudahkan anda mencapai matlamat dan impian anda?.

Bagi sesetangah orang, membina matlamat dan impian tidaklah begitu sukar. Dan kita sering melihat mereka berjaya mencapainya dalam tempoh yang ditetapkan. Tetapi bagi kebanyakan orang, mereka merasa begitu sukar sekali. Ini bergantung kepada tabiat dan sikap diri yang telah terdidik sejak kecil. Namun demikian, sikap dan tabiat ini boleh berubah, bergantung kepada berapa kuat tarikan kepada impian yang telah dibina. Selalunya ia berkait rapat dengan halangan atau cabaran yang dihadapi. Sebagai contoh, kesusahan dan kesempitan hidup atau tekanan yang mendesak. Kita mungkin tewas jika kita berlumba dengan seekor anjing, tetapi kita mungkin berjaya melarikan diri jika kita dikejar anjing. Ini bermakna, kita mampu melakukannya jika kita dalam keadaan terdesak. Kita mempunyai potensi sebenarnya. Walau bagaimanapun, tabiat atau sikap tetap menjadi faktor utama kepada usaha sesorang untuk berubah bagi mencapai matlamat dan impiannya.

Saya pernah melalui berbagai-bagai pengalaman melihat orang-orang yang berjaya mencapai matlamat dan impian mereka. Semuanya membuktikan bahawa, usaha dan keinginan untuk berubah akan mendorong mereka mencapai apa yang mereka ingini. Sesetengahnya dilihat sebagai gila kepada orang-orang biasa yang tidak memahaminya. Seorang anak muda dari Indonesia menceritakan, bagaimana dia menampal-nampal penuh di dalam bilik tidurnya gambar-gambar dan tulisan tentang matlamat dan impiannya. Akhirnya dia bisa mencapai semuanya dalam tempoh yang lebih singkat daripada yang disasarkannya. Ini kerana semua gambar dan tulisannya itu telah mempengaruhi pemikiran di bawah sedarnya untuk sentiasa fokus dan bekerja ke arah itu. Ada rakan-rakan menyatakan dia gila, tetapi katanya, orang itu lebih gila daripadanya kerana tidak mencapai apa-apa seperti yang dia capai. Orang yang sering melihat dan memfokuskan kepada impiannya, dia tidak nampak apapun halangan dan cabaran yang bakal ditempuh. Seperti para pendaki gunung, kerana impian mereka puncak gunung, halangan sewaktu mendaki tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka.

Sesungguhnya dalam hidup ini tersangat banyak iktibar yang boleh kita jadikan contoh yang baik untuk berubah membangunkan diri ke arah mencapai matlamat dan impian kita.

Berubah

Membaca bibliografi orang-orang berjaya, semuanya menceritakan tentang keinginan yang kuat untuk berubah. Bermula dengan perubahan yang kecil sehinggalah kepada yang besar dan cemerlang. Kebanyakan kita keinginan untuk berubah tetap ada di dalam diri dan sanubari mengikut matlamat masing-masing. Namun demikian, perubahan akan berlaku hanya setelah kita berusaha dan melakukan kerja ke arah perubahan. Jika kita hanya melakukan kerja-kerja rutin sekadar memenuhkan masa yang diperuntukan kepada kita, kita bukanlah menuju perubahan walaupun sedikit. Yang hanya berubah, mungkin juga perkara-perkara rutin, seperti masa, umur kita, fizikal kita, atau tapak kasut kita yang saban hari haus menanggung beratnya beban badan kita yang juga semakin berubah. Yang paling menyedihkan kita kadang-kadang tidak menyedari bahawa kita tidak sedikitpun membuat perubahan tetapi diri kita sebenarnya berubah mengikut ketentuan alam.

Rabu, 1 Julai 2009

Kitalah yang menentukannya

Malam tadi kami anak beranak (warga sekolah) makan malam bersama sempena persaraan Pn. Hjh. Rohani. Majlis yang agak sederhana ini diadakan di dataran perhimpunan sekolah, secara santai dan mudah. Wpun tidak semeriah makan malam di hotel, tetapi rasanya kita telah berjaya mengadakan satu majlis yang sangat baik dan sentimental. Wpun ada juga guru dan staf tidak hadir, tetapi yang hadir itu telah menunjukkan komitmen yang tinggi bukan saja untuk menjayakan majlis tetapi juga untuk menyuburkan semangat kekitaan sebagai satu keluarga di sekolah ini. Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Abd. Rahman pengurusi kelab staf dan rakan2 JK yang telah berjaya mengadakan majlis ini dengan baik sekali. Kebolehan guru-guru mendisign susun letak meja serta hiasan untuk menceriakan majlis sangat baik dan berkesan. Syabas cikgu zahir, ustaz izad, dan lain2 guru dan staf yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Inilah yang diharapkan dalam apa jua program dan aktiviti di sekolah. Semangat bekerjasama tanpa berkira, bukan saja kita boleh menjayakan apa saja program tetapi juga boleh mengeratkan perhubungan dan mewujudkan semangat kekitaan. Sekolah ini, kitalah segala-galanya, kitalah yang menentukannya.