Selasa, 30 Disember 2008

Persiapan terakhir

Persiapan terakhir untuk sesi persekolahan 2009 siap hampir sepenuhnya. Alhamdulilah, berkat kerjasama semua guru dan staf permulaan 2009 pastinya menjanjikan yang terbaik. Takwim Sekolah bulan Disember 2008 dan Pelan Tindakan Buka Sekolah 2009 yang diedarkan kepada semua guru dan staf sebelum sekolah bercuti, banyak membantu. Secara praktikal dan psikologinya semua guru telah bersedia awal walaupun mereka sedang bercuti. Bermula 21 Dis 2008, semua guru sudah mula kembali ke sekolah dengan Mesyuarat Guru 1/2009 mendahului semua senarai pelan tindakan buka sekolah 2009.

Sehingga hari ini, 30 Dis 2009, alhamdulilah, mesyuarat kurikulum, mesyuarat HEM dan Mesyuarat Kokurikulum telahpun selesai. LDP (Bengkel menyediakan Headcount 2009) juga telah dibuat. Pagi tadi semua guru hadir menjalankan gotong-royong membersih kelas dan keceriaan sekolah. Hari ini juga aku mengambil kesempatan mengadakan menyuarat pengurusan sekolah dan memberi taklimat persiapan terakhir untuk hari pertama persekolahan (4 Jan 2009) dan tahun 2009 seluruhnya. Terima kasih, syabas dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penolong kanan dan guru yang tidak merungut dan bersedia menghadapi perancangan sekolah yang bakal ditempuh. Setakat ini saya sangat berpuas hati dan merasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan guru-guru. Harapan saya, semoga permulaan yang baik akan membuahkan hasil yang baik nanti. InsyaAllah.

Selasai di sekolah, di sebelah petangnya saya menghadiri taklimat khas dengan PPD berkaitan persediaan buka sekolah. Wpun minggu lepas telah dibuat, saya merasakan seperti PPD tidak begitu yakin apa yang telah dibuat oleh guru besar dan pengetua. Perasaan bimbang dan takut timbulnya pelbagai isu pada hari pertama seperi satu fobia kepada para pemimpin pendidikan. Heran juga, mengapa jadi begini. Isu pungutan bayaran, sehingga saat ini tiada siapa berani bertanggungjawab. Begitu takutnya kepada komplen drp hanya segelintir ibu bapa yang tidak faham atau sengaja mencari publisiti murah yang boleh dianggap kes terpencil. Maka terpinga-pingalah guru besar dan pengetua menunggu sehingga bulan mei atau jun, untuk memohon bayaran drp ibu bapa setelah diluluskan di dalam mesyuarat agung PIBG. Itupun jika disokong oleh semua ahli yang hadir. Bayangkanlah kekuatan yang perlu ada oleh guru besar dan pengetua ketika membentangkan perancangan kewangan untuk dikutip daripada ibu bapa, pastinya akan mendapat respon yang pelbagai bergantung kepada kewibawaan guru besar/pengetua dan pengerusi pibg. Ini bermakna, jika semua ahli tidak bersetuju dengan cadangan gb/pengetua untuk sekolah memungut bayaran, maknanya tidakakan ada apa-apa bayaran yang boleh dipungut drp ibu bapa.

Apa maknanya ini semua, siapa yang lebih berkuasa dalam pendidikan di negara kita? Siapa pembuat dan penentu dasar sebenarnya? Apa yang saya faham, berjuanglah gb/pengetua dengan cara tersendiri untuk membangunkan sekolahnya. Pada hemat saya, rakan2 gb/pengetua seharusnya berani menghadapi semua ini dengan cara yang profesional. Menurut buku manual pengurusan PIBG, GB/Pengetua sebagai penasihat berhak mencadangkan kepada pendaftar sekolah untuk membubarkan PIBG, seandainya PIBG tidak memberi apa-apa manfaat kepada sekolah.

Sabtu, 27 Disember 2008

Aku dahulu dan anak2ku sekarang

Jumaat, 26 Dec aku dan isteri menghantar anak ketiga melapor diri di UITM Sri Iskandar, Perak. Seperti yang sulung dan yang kedua, pastinya kami hantar sampai ke muka pintu. Aku percaya orang lain dan rakan2 juga begitu. Turut merasa bangga dan teruja bila bersama-sama anak masuk ke kampus universiti untuk mendaftar. Berduyun2 dari serata pelusuk negara. Ada yang dua buah kereta menghantarkannya walaupun sianak sudah besar panjang dan muda remaja. Hampir semua hal masih ibu bapa yang mengurus dan memperingatkan semua hal termasuklah soal2 yang kecil seperti berus gigi dan sabun mandi. Sampai di asrama, siemaknyalah yang mengemas tilam, almari dan bilik yang akan didiami anak sehingga hampir 4 tahun itu. Jadi, macam gotong royong pula. Tapi ada baiknya, beri peluang kita ibu bapa berkenalan antara satu sama lain, wpun hanya seketika.

Apa yang aku nak nyatakan di sini, bezanya antara aku dahulu dengan anak2ku ini. Aku dulu, tak pernah dihantar ibu bapa. Masuk darjah satu, aku masih ingat aku dibawa abangku melapor diri kepada guru kelas. Naik tingkatan satu di SM Lemal, Pasir Mas, aku sendiri tercari2 dan melapor diri kepada guru kelas. Masuk maktab, juga seorang diri. Aku masih ingat bagaimana hari aku melapor diri di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Pukul 4 pagi, aku menaiki keretapi dari Gua Musang (kelantan) menuju Kuala Lipis, Pahang. Waktu itu, masih belum ada jalanraya dan bas yang menghubungkan Gua Musang, Kuala Lipis dan Kuala Lumpur. Jam 7 pagi sampai di kuala lipis, kerana terlalu teruja nak masuk maktab, tanpa sarapan pagi, aku terus menaiki teksi ke Kuala Lumpur. Tiba di Kuala Lumpur, seingat aku itulah kali ke 2 aku menjejak kaki di Puduraya dan Kuala Lumpur, aku terus menaiki teksi ke MPIK. Alhamdulilah, semuanya berjalan lancar sehinggalah aku jadi cikgu.

Pelik jugakan, mengapa ibu bapa aku langsung tak peduli. Sebenarnya bukan tak peduli, tapi kerana terlalu daif dan buta huruf, ibu bapaku mengajar kami adik beradik berdikari, sehingga aku pandai mengurus diri, dengan memasak dan membasuh pakaian sendiri sejak tingkatan 1. Bukan duduk asrama, tapi kami adik beradik duduk di sebuah rumah kecil yang dibina ayah untuk kami jadikan 'asrama' di kg. Chicha Tinggi, Pasir Mas Kelantan. Sebab waktu itu, di Gua Musang, tempat ibu bapaku cari rezeki masih belum ada sekolah menengah dan serba kekurangan. Perhubungan hanya menggunakan keretapi dua kali sehari.

Sesungguhnya banyak yang aku belajar ketika itu tentang kesusahan dan kehidupan. Aku cuba mendidik anak2ku seperti aku dididik kedua ibu bapaku dahulu. Tapi, hari ini tidak seperti dahulu. Bukan anak2 kita sahaja yang tidak kuat menghadapi cabaran kehidupan, kita juga terumbang ambing dek perubahan masa dan keadaan. Aku cuba usik2 anakku minta pergi sendiri, naik bas atau teksi yang banyak sekarang ini. Tapi, awal2 lagi mereka mengalah dan merasa tidak lojik nak naik bas dan teksi sedangkan ibu bapa ada kereta sendiri. Kitapun sebenarnya tak sampai hati. Tapi dalam aku mengusik dan cerita2 dengan isteri dan anakku di dalam kereta ketika tiba di Sri Iskandar, rupa2nya masih ada anak2 yang menjenjeng beg besar, berjalan hampir beberapa km untuk sampai ke pintu masuk UiTM Sri Iskandar. Aku fikir, mungkin mereka ini dari sabah atau sarawak. Kasihan aku melihat mereka. Tapi, itulah yang sepatutnya dihadapi anak2. Tahu susah payah, merasai keperitan sebelum menempa kejayaan. Diri jadi kuat, berani dan yakin menghadapi apa jua keadaan. Bukan sikit2 call ayah dan mak, mengadu dan minta itu dan ini. Semuanya tak ada sedikitpun rasa bimbang, takda duit ke, sakit demam ke atau rasa bosan menghadapi kerenah di asrama, cepat2 buat laporan kepada dua orang tua. Bezanya dengan aku dulu, duit rm10 boleh tahan sampai 4/5 hari. Menyewa bilik di Bandar Tun Razak, makan nasi bungkus dan air sejuk saja. Anak2 hari ini, lebih rm10 sehari belanja makan dan macam2 lagi.

Kerana aku ni cikgu, sering kali aku ceritakan kepada murid2ku, bezanya hari ini dan dahulu, sebagai satu pengajaran. Tapi, mereka senyum sinis, kerana mereka juga seperti anak2ku hari ini.

Selasa, 23 Disember 2008

Keterujaan menghadapi sesi persekolahan 2009

Sudah enam bulan aku bertugas sebagai GB di SK Tunku Ismail Sg. Petani, Kedah. Ketika melapor diri, 6 bulan yang lalu dan kini memahami SWOT analisis sekolah ini, aku rasakan terlalu banyak yang perlu aku perbetulkan, membuat penambahbaikan dan perubahan. Dengan sejarah dan latar belakang sekolah yang satu ketika dulu antara sekolah terbaik di daerah ini, aku sangat yakin sekolah ini boleh menjadi antara sekolah cemerlang dan terbaik. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada dalam bidang kepimpinan, aku telah membuat pelan tindakan strategik yang rapi dan penuh berhati-hati. Alhamdulilah dengan pengalaman ( 3 tahun sebagai penyelia petang, 3 tahun sebagai PKKO, 3 tahun sebagai PKHEM, 3 tahun sebagai PK1, 2 th sebagai GB SKM, Beberapa bulan di EPRD) dan sudah lebih 5 th sebagai GB, (di 5 buah sekolah) rasanya, ini semua cukup banyak membantu. Memang betul, dari pengalaman mengurus dan memimpin sekolah, jika kita sebagai GB pernah menjawat jawatan semua PK, kita tidak banyak masalah menyelesaikan apa saja isu yang timbul dan kita mampu memberi bimbingan kepada PK dan semua guru. Guru dan PK sentiasa ingin melihat dan mengharap kita (GB) lebih baik daripada mereka. Kalau tidak, macam2 isu yang timbul. Perasaan hormat (respect) dan akur tidak akan wujud di kalangan guru. Dengan kata lain, semua yang kita cakap, rancang dan nak buat, memang kita boleh buat dan kita pernah buat. Kita buat bukan sekadar ada, tetapi buat yang terbaik.

Hari Ahad (21 Dec) yang lalu, sekolah aku dah mesyuarat Guru 1/2009. Hari ni (23 Dec) mesyuarat JK Kurikulum 1/2009, esok, 24 Dec, Bengkel Penyediaan Headcount Sekolah sehinggalah hari pertama persekolahan, 4 Jan nanti, kami sudah mula bekerja. Pelan tindakan awal buka sekolah 2009 telah diedarkan kepada semua guru sebelum sekolah bercuti. Semua pelan tindakan strategik sekolah 2009 telahpun siap. Yang tinggal hanyalah Pelan Taktikal yang akan dibuat di dalam mesyuarat Panitia pada minggu pertama persekolahan. Antara fokus pelan strategik sek pada tahun ini ialah, pembangunan kecemerlangan kurikulum, pembangunan pengurusan HEM dan KOKO, E-pentadbiran, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembangunan Pengurusan Prestasi.

Alhamdulilah, daripada msg yang aku terima daripada guru-guru, mereka juga teruja dengan perubahan yang bakal dibuat dan dihadapi. Aku tidak ada guru yang dalam kategori bermasalah. Jadi tumpuan boleh diberikan sepenuhnya kepada perancangan yang telah dibuat. InsyaAllah.

Sabtu, 20 Disember 2008

Berkat keuntungan

Tahniah, Pn. Halifah kerana ada blog. Macam Tengku juga, akupun malas nak update blog. Mcm2 tergerak di hati, macm kata ayahku, prasangka. Tapi, aku suka merayau2 membaca blog2 yang boleh masuk. Banyak maklumat yang baik yang diperolehi. Yang lebih baiknya, ia tak macam kita baca surat khabar kerana penulisnya ikhlas takda niat koner2 ikut telunjuk kuasa di belakang. Blog faris, blog semantanguru dan blog taifor pada aku paling menarik minat. Mungkin mereka ni banyak maklumat dan idea untuk dikongsikan. Walaupun blog seperti catatan diari, tapi adakalanya ia banyak memberi pengajaran kepada pembaca.

Kali ini aku ingin berkongsi dengan rakan2 pengalaman setiap kali aku pulang ke kampung di Kelantan. Selapas tamatnya banjir minggu lalu, aku membawa anak-anak balik kg. Macm biasa bila cuti sekolah. Anak2 aku seronok sekali bila berkunjung ke kelantan. Mungkin mereka dapat bersama-sama dengan sepupu2 dan kaum keluarga sebelah aku yang jarang2 ditemui. Yang paling menariknya ialah cerita pasal makan. Bukan makan di rumah, tapi makan di luar. Sebut pasal makan ni, umum tahu, negeri kelantan terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang pelik2 dan sedap2. Kalau 2 /3 hari balik kelantan tu, tak masak pun takpa, kerana banyak pilihan yang tidak menjemukan. Yang mengkagumkan aku (bukan kerana aku anak kelantan) ialah pasal harga. Aku sudah 8 tahun bermastautin di kedah, jadi bila aku buat perbandingan harga rasanya makanan di kelantan jauh lebih murah. Nasi berlauk seketul ayam boleh dibeli dengan harga cuma RM1.50, kalau di kedah 3.00 atau 3.50. Aku heran juga, kerana bila aku servey di pasar harga ayam di kelantan (rm6.50 sekilo) jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga di kedah sekitar 5.50 sekilo. Jadi di mana silapnya. Ketika aku berbual-bual dengan adikku tentang harga barang2 makan di kelantan ni, dia menceritaka seorang makcik yang hanya membuka kedai runcit kecil2lan sahaja dapat membeli sebuah Honda Accord baru. Jauh di sudut hati aku, inilah yang dikatakan berkat. Berniaga mencari keberkatan bukan mencari untung semata-mata. Sebab tu kita lihat ramai 'orang kita' yang berniaga sudah berpuluh tahun, dok macam tu juga. Mungkin tiada keberkatannya.

Sabtu, 13 Disember 2008

Kenduri Kendara

Macam biasa, cuti sekolah bersedialah kita dengan pelbagai panggilan kenduri daripada rakan2, jiran tetangga dan kaum keluarga. Petang ni, aku mengunjungi satu majlis kenduri sahabat baik yang juga bekas staf di sekolah aku. Katanya kahwinkan anak ketiga. Tahniah, sahabat ni, banyak anak dara, jadi cepatlah dapat menantu. Ketika aku sampai ke rumah kenduri ni, kelihatan ahli pancak silat yang dijemput khas sedang mempersembahkan aksi masing2 di hadapan raja sehari. Nampak meriah sekali apabila kedengaran gendang silat ni. Aku, isteri dan anak bongsuku mencari tempat yang sesuai iaitu, perempuan di tempat perempuan dan lelaki di tempat lelaki. Sebenarnya cara tempat makan begini pada aku ada juga kekurangannya kerana kita tak boleh bersama-sama keluarga. Jadi bawalah diri masing-masing. Jika ada kawan yang kenal, ok jugalah boleh jadikan kawan bersembang ketika makan.

Kenduri zaman sekarang ni, semuanya moden dan mudah. Katanya takut membazir, lalu dibuat cara bufet macam makan di hotel (tapi taklah macam dihotel dgn pelbagai hidangan). masing-masing ambik sendiri tak ada pelayan atau bentara (di kelantan dipanggil 'jong kaka'). Ada jugalah baiknya cara ni. Tapi pada aku cara tradisional adalah paling baik jika buat kenduri kendara. Cara tradisional selalunya tuan rumah akan bermesyuarat dan meletakkan tanggungjawab kepada orang2 yang dipercayainya dengan harapan dapat menjaga maruah tuan rumah. Maka bermulalah kerja besar dengan tanggungjawab masing2 yang dipantau oleh ketua mengikut bahagian masing-masing. Aku masih ingat ketika aku kecil, bapa aku ni cukup mahir dalam kerja2 kenduri ni. Katanya, yang paling penting dalam kerja kenduri ni ialah menjaga maruah tuan rumah. Banyak maknanya tu. Bermula dengan tukang masak (kalau di kelantan, yang masak orang perempuan), tukang hidang, tukang cuci, tukang jaga pelayan, tukang jaga lauk, tukang jaga cenderahati tetamu, tukang jaga air, tukang jaga kayu api dan sebagainya perlu diurus dengan baik oleh ketua2 yang telah dilantik. Hebatnya macam kenduri di istana raja (dalam filem melayu). Tuan rumah hanya mengambil tanggungjawab menyambut dan melayan tetamu yang hadir. Jika ada yang kurang yang perlu diketahui oleh tuan rumah, ketua2 tadi akan datang berbisik kepada tuan rumah untuk mendapatkan arahan atau cara penyelesaian terbaik. Cara beginilah yang aku idamkan jika satu hari aku membuat kerja kenduri ni.

Sejak aku di Kedah, aku rasa bab kenduri kendara ni, tak boleh lawan di kelantan. Bukan saja cara depa urus kenduri tu, tetapi lauk yang dipilih sebagai hidangan pun boleh dikatakan menyelerakan dan sesuailah untuk diberi makan tetamu. Mungkin di kelantan, hari inipun ada bezanya juga dengan dahulu.

Apa yang nak aku katakan di sini, bila kita buat kenduri, buatlah dengan betul dan ikhlas. Kita menjemput tetamu, dan biarlah tetamu merasa puas bukan sahaja dengan makanan yang kita hidang tetapi juga dengan layanan yang kita berikan. kita tahu, tuan rumah sangat sibuk untuk melayan kita. Tatapi jika kena caranya, kita sebagai tetamu akan merasakan tuan rumah sangat menghargai tetamu-tetamunya. Jadi kepada rakan-rakan yang akan membuat kerja kenduri, aku harap cubalah kembali kepada cara tradisional dan buatlah sedikit penyelidikan dan persediaan yang sepatutnya, agar kenduri yang kita buat itu dipenuhi keberkatan.

Jumaat, 12 Disember 2008

Faktor kesihatan Optimum

Pagi Jumaat seperti biasa, selepas subuh aku bersedia untuk menjalankan aktiviti rutin, main badminton dengan rakan2 di kelab kami. Alhamdulilah, pada usia yang hampir 50 ini, aku masih boleh bersaing dengan rakan2 yang lebih muda. Mungkin kerana mula bermain badminton sejak kecil lagi. Walaupun tak pernah dilatih jurulatih berkelayakan, tapi dengan minat dan usaha aku boleh bermain, boleh dikatakan baik jugalah. Ditambah lagi, dengan pengalaman yang ditimba ketika mengambil sijil kejurulatihan badminton dan menjadi pengadil bertauliah dengan BAM ketika usia muda dahulu. Ada banyak kelebihannya bermain badminton ini. Walaupun banyak kita dengar ada orang meninggal di gelanggang badminton, tetapi sebenarnya beriadah dengan bermain badminton sangatlah baik, kerana seluruh bahagian badan akan bergerak dan berpeluh. Jika kita tahu selok belok dan kemahiran bermain badminton di dalam gelanggang, janganlah takut untuk bermain, berpeluh dan menjadikan badan sihat. Tetapi nasihat saya, jika baru berjinak-jinak dengan sukan badminton ketika usia sudah lanjut, inilah yang perlu berhati-hati. Kerana pergerakan di gelanggang badminton ketika berusaha mengembalikan bulu tangkis kepada pihak lawan selalunya memerlukan pergerakan badan yang sukar bagi orang yang tidak mempunyai kemahiran asas bermain sukan ini.

Seperti biasa, bermain pada pagi Jumaat (hari cuti di Kedah) ini memberikan kepuasan kepada saya dari aspek kekerapan bermain dan kebolehan rakan2 sekelab jika dibandingkan bermain pada waktu malam. Ini mungkin disebabkan oleh, bermain pada waktu malam, kita sudah kepenatan bekerja seharian. Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan, bersenamlah walaupun sedikit, tetapi banyak manfaatnya, kerana dengan bersenam, jantung kita berpeluang bergerak dengan lebih cepat dan menjadikan ia sihhat. Banyak caranya boleh kita bersenam. Cara yang paling mudah, berjogging. Hayunkan kaki perlahan2, sejauh mungkin dan selama mungkin. Sebab, kelori akan mula terbakar (menghancurkan lemak) setelah badan kita bergerak tanpa henti sekurang-kurangnya 40 minit. Jadi cubalah. Percayalah, daripada pengalaman saya sendiri, saya merasakan diri saya jauh banyak bezanya dengan rakan-rakan seumur dalam banyak aspek. Alhamdulillah.

Lepas bermain kurang lebih 3 jam, hari ini seorang rakan mengajak kami makan capati yang terkenal di Sungai Petani. Sambil makan ni, macam2 cerita yang kami kongsi. Antaranya banyak yang menceritakan tentang rakan2 yang sedang sakit dengan pelbagai penyakit. Jadi, sebagai ikhtibar, saya merasa kita semua wajib membuat senaman dengan apa cara sekalipun untuk menjadikan diri sentiasa sihat.

Aku ada juga membaca buku-buku tentang kesihatan. Antara yang dapat aku kongsikan di sini ialah, empat faktor kesihatan optimum ialah, pemakanan seimbang, senaman, rehat dan sentiasa berfikiran positif. Dan saya amalkan, Alhamdulillah.

Rabu, 10 Disember 2008

Cuti, tapi kerja

Terlebih dahulu terima kasih kepada rakan2 yang bagi support. Ayahku, T, CkguYusoff dan tentunya my sifu bloger Soprompin. Aku rasa terharu dan teruja dengan sokongan ini. Aku harap kawan2 juga sentiasa sihat dan aktif bukan saja berbloger tetapi juga membuat sesuatu perubahan dalam organisasi dan kehidupan keluarga. Perubahan yang positif membolehkan kita sihat dan sentiasa kreatif.

Sejak ahad lalu sebenarnya aku dah mula mengambil cuti sehingga hari ini dan bersambung jumaat sabtu. Rancangan awal untuk ziarah kaum keluarga di kelantan, aku terpaksa simpan dek beberapa faktor yang mendesak. Disebabkan perubahan niat dan rancangan ini, aku fikirkan apa maknanya bercuti jika hanya berperap di rumah. Jadi sejak ahad (kecuali cuti raya, isnin dan selasa) hingga hari ini, aku batalkan cuti dan terus berada di sekolah. Sebenarnya bukan duduk bersantai. Bila di sekolah je, macam-macam idea datang, maknanya banyak kerja yang boleh dibuat.

Aku dah hampir siap Perancangan dan persediaan buka sekolah 2009, tinggal lagi nak dimurni dalam mesyuarat pengurusan sek minggu depan. Yang lain-lainnya, aku mengambil kesempatan ketika cuti ini untuk membuat beberapa perubahan berkaitan fizikal sekolah yang aku rasa sangat memerlukan perubahan terutama dataran perhimpunan dan pintu masuk sekolah. Apa yang aku buat ialah, aku dirikan sebuah pentas khas yang besar dan boleh memuatkan 50 orang guru ketika perhimpunan rasmi. Aku heran juga, sekolah (SK Tunku Ismail, Sg. Petani) ni yang dulunya gah sebaris dengan SK Ibrahim dan Convent, tidak ada pentas di tapak perhimpunan dan ternyata sekolah ini sudah jauh tergelunsur berbanding 5 tahun yang lalu.

Aku rasakan inilah satu cabaran buat aku dan mungkin juga diberi tanggungjawab mengembalikan kegemilangan sek ini. Bersesuaian sekali, insyaAllah dengan ilmu yang aku timba di iab dan upsi, tanggungjawab ini akan aku laksanakan. Setakat ini aku beruntung kerana sek ini mempunyai kekuatan dan peluang yang hebat. Namun apa yang aku harapkan, aku sentiasa diberi kekuatan, kesihatan dan sokongan bukan saja drp staf sek ini, tetapi juga drp komuniti sekolah ini dan rakan-rakan bloger khususnya the best gradute PPGBK5 UPSI ini.

Ahad, 7 Disember 2008

Permulaan

Hari ini, boring tak ke mana ghaya aji ni, aku cuba-cuba buat blog ni. Aku harap dengan blog ni, aku boleh berhubungan dengan rakan2, guru di sktunkuismail dan sesiapa saja yang rasa boleh berkongsi ilmu dan apa saja yang baik untuk kehidupan kita. Jumpa anda nanti.