Sabtu, 13 Disember 2008

Kenduri Kendara

Macam biasa, cuti sekolah bersedialah kita dengan pelbagai panggilan kenduri daripada rakan2, jiran tetangga dan kaum keluarga. Petang ni, aku mengunjungi satu majlis kenduri sahabat baik yang juga bekas staf di sekolah aku. Katanya kahwinkan anak ketiga. Tahniah, sahabat ni, banyak anak dara, jadi cepatlah dapat menantu. Ketika aku sampai ke rumah kenduri ni, kelihatan ahli pancak silat yang dijemput khas sedang mempersembahkan aksi masing2 di hadapan raja sehari. Nampak meriah sekali apabila kedengaran gendang silat ni. Aku, isteri dan anak bongsuku mencari tempat yang sesuai iaitu, perempuan di tempat perempuan dan lelaki di tempat lelaki. Sebenarnya cara tempat makan begini pada aku ada juga kekurangannya kerana kita tak boleh bersama-sama keluarga. Jadi bawalah diri masing-masing. Jika ada kawan yang kenal, ok jugalah boleh jadikan kawan bersembang ketika makan.

Kenduri zaman sekarang ni, semuanya moden dan mudah. Katanya takut membazir, lalu dibuat cara bufet macam makan di hotel (tapi taklah macam dihotel dgn pelbagai hidangan). masing-masing ambik sendiri tak ada pelayan atau bentara (di kelantan dipanggil 'jong kaka'). Ada jugalah baiknya cara ni. Tapi pada aku cara tradisional adalah paling baik jika buat kenduri kendara. Cara tradisional selalunya tuan rumah akan bermesyuarat dan meletakkan tanggungjawab kepada orang2 yang dipercayainya dengan harapan dapat menjaga maruah tuan rumah. Maka bermulalah kerja besar dengan tanggungjawab masing2 yang dipantau oleh ketua mengikut bahagian masing-masing. Aku masih ingat ketika aku kecil, bapa aku ni cukup mahir dalam kerja2 kenduri ni. Katanya, yang paling penting dalam kerja kenduri ni ialah menjaga maruah tuan rumah. Banyak maknanya tu. Bermula dengan tukang masak (kalau di kelantan, yang masak orang perempuan), tukang hidang, tukang cuci, tukang jaga pelayan, tukang jaga lauk, tukang jaga cenderahati tetamu, tukang jaga air, tukang jaga kayu api dan sebagainya perlu diurus dengan baik oleh ketua2 yang telah dilantik. Hebatnya macam kenduri di istana raja (dalam filem melayu). Tuan rumah hanya mengambil tanggungjawab menyambut dan melayan tetamu yang hadir. Jika ada yang kurang yang perlu diketahui oleh tuan rumah, ketua2 tadi akan datang berbisik kepada tuan rumah untuk mendapatkan arahan atau cara penyelesaian terbaik. Cara beginilah yang aku idamkan jika satu hari aku membuat kerja kenduri ni.

Sejak aku di Kedah, aku rasa bab kenduri kendara ni, tak boleh lawan di kelantan. Bukan saja cara depa urus kenduri tu, tetapi lauk yang dipilih sebagai hidangan pun boleh dikatakan menyelerakan dan sesuailah untuk diberi makan tetamu. Mungkin di kelantan, hari inipun ada bezanya juga dengan dahulu.

Apa yang nak aku katakan di sini, bila kita buat kenduri, buatlah dengan betul dan ikhlas. Kita menjemput tetamu, dan biarlah tetamu merasa puas bukan sahaja dengan makanan yang kita hidang tetapi juga dengan layanan yang kita berikan. kita tahu, tuan rumah sangat sibuk untuk melayan kita. Tatapi jika kena caranya, kita sebagai tetamu akan merasakan tuan rumah sangat menghargai tetamu-tetamunya. Jadi kepada rakan-rakan yang akan membuat kerja kenduri, aku harap cubalah kembali kepada cara tradisional dan buatlah sedikit penyelidikan dan persediaan yang sepatutnya, agar kenduri yang kita buat itu dipenuhi keberkatan.

Tiada ulasan: