Selasa, 20 April 2010

Impak pendidikan awal kanak-kanak

Saya agak beruntung, ketika kanak-kanak, saya mencuri-curi guna barangan kerja pertukangan bapa saya untuk berjinak-jinak bukan sebagai tukang, tetapi sekadar menyiapkan mainan buatan sendiri seperti kereta/lori mainan, senapang kayu dan sebagainya. Itulah dunia kanak-kanak kita 50 tahun yang lalu yang tidak ada atau tidak berlaku lagi pada hari ini. Itu semua pendidikan, wpun tidak formal, tetapi kita sudah mula tahu bagaimana menggunakan peralatan kerja pertukangan dan sebagainya. Paling utama, tahu 'memegang' dan 'menggunakannya' dengan cara yang betul. Namun apa yang berlaku hari ini, jauh berbeza. Sebahagian kita, orang muda2, atau remaja tidak tahu bukan saja untuk mengguna tetapi tidak tahu juga untuk memegang dengan cara yang betul segala macam peralatan di rumah atau di mana saja. Hatta, yang paling mudah, memegang dan menggunakan cangkul pun, banyak orang yang tidak betul2 tahu. Ini terbukti, saya melihat kebanyakan orang sekarang, wpun sudah berkeluarga, masih tidak tahu atau tidak boleh menguruskan kerja2 mudah seperti menggunakan cangkul, parang, gergaji, tukul dan sebagainya untuk membuat kerja penambahbaikan mudah di rumah atau ditempat kerja. Akibatnya, berlakulah penambahan kos sara hidup bila semua urusan kecil terpaksa diupah kepada orang lain.

Ini semua pada saya, impak pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan berlaku secara formal oleh guru-guru di sekolah atau sebaliknya. Di sekolah terdapat pelbagai mata pelajaran khususnya untuk mendidik kemahiran kepada kanak-kanak. Seperti mata pelajaran kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan sebagainya. Namun hasilnya, amat mengecewakan. Saya mula menyedari hakikat ini, apabila saya bermain badminton dengan rakan-rakan yang baru belajar bermain badminton ketika usia dewasa. Kebanyakan mereka memegang raket dengan cara yang salah dan sudah mestinya tidak mampu bermain dengan baik sebaik orang yang mula bermain sejak kecil. Wpun saya cuba memperbetulkan rakan2 ini, namun pendidikan itu ternyata sudah terlambat. Saya mula meneliti kesilapan ini bukan saja cara mereka memegang raket badminton tetapi juga memegang benda-benda lain seperti cangkul, parang, golok (yang ada hulunya) yang hampir sama dengan pemegang raket itu, juga salah. Ini bermakna mereka ini tidak pernah dibimbing oleh sesiapa pun kebolehan memegang dengan cara yang betul. Siapa yang harus dipersalahkan, guru atau ibu bapa? Dalam soal ini, saya tidak pernah mendapat bimbingan formal daripada seorang guru mengajar saya bermain badminton dengan cara yang betul, tetapi kerana saya banyak mendapat bimbingan bapa saya kemahiran mengguna peralatan kerja, secara tidak langsung saya boleh memengang raket badminton dan bermain badminton dengan cara yang betul dengan baik serta dapat melakukan kerja-kerja pertukangan dengan baik dan boleh menjimatkan belanja apabila kebanyakan urusan penambahbaikan di rumah dan di tempat kerja saya lakukan sendiri.

Jadi, bayangkan jika pendidikan benar-benar berlaku di sekolah, hidup kita akan menjadi lebih baik daripada yang kita alami hari ini. Mungkin kita boleh bersukan, bersenaman dan boleh melakukan kerja-kerja penambahbaikan di rumah tanpa perlu mengupah orang lain. Kita jadi sihat dan serba boleh. Jadi, sebagai guru, renung2kanlah, jika kita tidak mendidik sebaik mungkin, impaknya sangatlah besar kepada anak-anak kita nanti.

2 ulasan:

Taifor berkata...

Bagaimana untuk mengembalikan perkara ini, sekurang-kurangnya ada lah sikit kebolehan itu sebagaimana dulu?

chehassan berkata...

Semua guru di sekolah kembali kepada tanggungjawab mendidik yang sebenar. Ajarlah kanak-kanak kemahiran 'hidup' yang sebenar bukan kemahiran 'A' dalam mata pelajaran. Guru PJ ajarlah PJ dengan cara yang betul, guru agama ajarlah agama dan sahsiah yang betul, guru kemahiran hidup, belajarlah pegang tukul dengan betul sebelum mengaku jadi guru KH, jadi semua guru perlu jadi pakar dalam bidang yang sepatutnya dia pakar. Apa yang berlaku di sekolah hari ini, guru yang dikatakan 'Guru Pakar' pun tidak pakar, apa lagi guru lain. Bayangkan jika di sekolah, kita ada pelbagai guru pakar, saya yakin murid kita akan jadi yang terbaik dunia dan akhirat.