Rabu, 30 Disember 2009

Kualiti

Kesibukan persediaan buka sekolah dan melanjutkan pelajaran di upsi, buat saya berat untuk menulis. Suatu hari, secara kebetulan saya menghadiri kuliah bertajuk KUALITI bersama Dr. Abdul Raheem. Sesuatu yang mengejutkan saya, set induksi pengajarannya, beliau memaparkan website Kobe Beaf, di Jepun yang memaparkan harga sekilo daging lembu Kobe ini mencecah RM800 sekilo. Gila, sekilo daging lembu mampu dibeli dengan harga setinggi itu. Tapi itulah kenyataannya bila kita bercakap tentang kualiti. Keinginan dan keupayaan pengguna tidak terhad. Jadi jika kita bertanggungjawab menjual barangan atau perkhidmatan, kualiti tidak ada komprominya.

Saya ingin menarik perhatian kepada apa yang sedang berlaku di negara kita. Jika kita memperkatakan tentang kualiti, terlalu banyak isu yang boleh kita perdebatkan kerana kualiti adalah sesuatu yang subjektif. Namun sesuatu barangan dan perkhidmatan pastinya mempunyai standard tersendiri sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa. Saya sering juga menginap di hotel bila berkunjung ke Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan saya, ada hotel di Kuala Lumpur wpun mempunyai nama yang gah dan berbintang 4 atau 5, tetapi tahap perkhidmatannya pada saya sangat tidak berkualiti. Saya cuba membuat perbandingan dengan hotel-hotel di Indonesia dan Thailand negara yang pernah saya kunjungi. Rasanya sangat berbeza jika dibandingkan dari aspek harga dan perkhidmatan yang ditawarkan. Hotel2 di Indonesia dan Thailand, harga yang mereka tawarkan sekitar RM70 memberikan nilai kualiti yang lebih tinggi jika dibandingkan hotel2 besar 4 atau 5 bintang di Kuala Lumpur yang terpaksa kita bayar antara RM150-RM250. Hampir semua perkhidmatan yang diberikan kualitinya melebihi kita. Tilam, Cadar, Perabot, TV dan rangkaian Siaran, Bilik air dan pelbagai lagi, pendek kata memuaskan hati kita. Baru beberapa minggu lalu, saya dan keluarga menginap di sebuah hotel (saya kira 4 bintang) di jalan Ipoh Kuala Lumpur. Sebenarnya sudah beberapa kali saya menginap di sini, dan saya lihat kualitinya semakin menurun. Apa yang ada sangat menyedihkan saya. Yang memalukan kita apabila hotel ini menjadi antara persinggahan penginapan banyak pelancong asing. Sehinggakan isteri saya meminta katil ditukar kerana salah satu kakinya sudah patah dan senget. Belum lagi di nilai dengan cadar dan selimut yang seperti tidak dicuci. Siaran TV pula, satu siaranpun tidak boleh berfiungsi dengan baik. Sedangkan hotel di Hadyai, Phuket dan Bangkok, Thailand, ada sebanyak hampir 30 rangkaian yang semuanya mempunyai gambar berkualiti. Yang mengejutkan saya juga, semua pekerja housekeepingnya yang dulunya anak2 gadis dan remaja tempatan kini sudah diambil alih oleh warga bangla. Jadi, apa yang saya faham bermakna pengurusan hotel ini cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan sebanyak mungkin dengan menggaji buruh asing yang lebih murah. Akibatnya, inilah yang terjadi. Saya rasa nilai yang saya bayar RM160 sangat mahal dan saya tertipu. Heran juga saya, di mana kawalan standard yang ditetapkan mengikut peraturan perkhidmatan hotel yang ada. Pada saya, ini satu penipuan dan memalukan negara.

Pada pandangan saya, isu ini seharusnya juga menjadi perhatian kerajaan. Apakah ini standard yang kita ada?.Kita sering melaungkan matlamat untuk menarik lebih ramai pelancong, tapi apa gunanya jika mereka hanya hadir sekali dan kemudian tidak lagi berminat untuk kembali. Kita bukan saja rugi, tetapi memalukan negara. Kita belum lagi memperkatakan kualiti perkara-perkara lain, seperti Proton dan sebagainya. Seharusnya, kita mengambil ikhtibar apa saja yang kita lalui untuk kebaikan negara kita.

6 ulasan:

mantan berkata...

Che,
Bila kita sebut tentang rendahnya kualiti (apa-apa saja) di negara kita jika dibandingkan dengan negara lain, bemakna kita memang tidak berpuashati.

Apa saja, kualiti nampaknya bukan sesuatu yang penting. Keuntungan material diutamakan.

Pada saya ini adalah pengaruh sikap "tidak apa","biarlah", "cukuplah", "bolehlah", "ala kadar", "apa peduli" yang membudaya dalam masyarakat kita. Majoriti tidak ambil kisah. Maka itu semua jadilah trademak Malaysia.

Anehnya hal-hal kecil dan tidak penting yang memudratkan kualiti kehidupan seringkali diberi perhatian dan diperbesar-besarkan.

Ekonomi, konsumerisme, sukan, politik, pendidikan, komunikasi, hiburan, kehidupan masyarakat semuanya dianggap sudah berkualiti namun hakikatnya kita jauh ketinggalan. Dan kita amat berbangga dengan segalanya...

seri berkata...

che hassan
itu baru bab hotel
banyak lagi perkara lain yg pincang...
tak daya nak bercakap...kita memang selalu tertipu tanpa kita sedari tapi secara halus kita mampu berfikir...sedangkan orang yg sepatutnya berfikir tentang hal2 begini bukan kita....

chehassan berkata...

Mantan,
Kita sebenarnya masih diulit mimpi. Tapi pada saya, pendidikanlah punca segalanya. Kalau kita nak kata pemimpin, dari mana dia belajar? tentunya pendidikan negara kita.

Seri,
Kitalah yang harus berfikir dan berubah. Dan kita juga yang mendidik pemimpin masa depan. Jadi mari kita ubah yang sepatutnya berubah.

kembara kelana berkata...

KUALITI LAGI

selain dari hotel, kualiti juga perlu dilihat dalam sudut pendidikan. salah satunya kualiti semasa membuat asingment dan menjawap peperiksaan. ada yang berbangga mendapat banyak A sedang sebenarnya dia meniru kawan kawannya dgn pelbagai kaedah. pelajar pmr, spm dan stp ada modus operandi mereka dalam menjawab soalan objektif, mahasiswa..ada yang menerobos sistem koputer pensyarahnya utk melihat soalan yang bakal keluar..mahasistua juga ada kaedah utk membantu mereka berjaya dalam peperiksaaan... dapatlah mereka ijazah, masters atau phd...wal hal....kualiti pendidikan mereka? ternyata kualiti adalah sesuatu yang amat sukar di capai jika sesaorang itu tiada integriti dan kualiti peribadi yang mantab.

chehassan berkata...

Sop, aku setuju pandanganmu. Tapi pandangan aku pulak, peperiksaan bukan jalan terbaik dalam menentukan kualiti. Tengok saja PTK, yang takda kualiti di sekolahpun boleh lulus PTK. Penilaian kualiti sangat subjektif. Tapi yang penting tahap kepuasan pengguna diutamakan.

mantan berkata...

Che,
peperiksaan di sekolah hanyalah meluahkan kembali apa yang disuap dan apa yang mampu diingat.