Jumaat, 20 Mac 2009

Persediaan suku kedua sesi persekolahan 2009

Lusa kita akan kembali ke sekolah untuk meneruskan tanggungjawab pada suku kedua sesi 2009. 3 bulan atau suku pertama sesi 2009 sudah berlalu. Seharusnya semua guru dan staf sekolah sudah membuat penilaian tahap pencapaian diri dalam melaksanakan tugasan masing-masing dan merancang penambahbaikan menjelang sesi kedua ini.

Melaksanakan tanggungjawab dengan membuat post mortem terhadap apa yang telah berlalu dan merancang ke hadapan dengan memberi fokus kepada penambahbaikan merupakan satu sikap yang sangat baik. Walaupun sekolah sudah menyediakan takwim dan pelan strategik tahunan, adalah menjadi tanggungjawab semua guru dan staf untuk menyediakan pelan perancangan kendiri berasaskan tugas masing-masing. Sesungguhnya bekerja dengan cara merancang dan memfokuskan kepada matlamat, visi dan misi sekolah merupakan kaedah terbaik kepada pencapaian kecemerlangan diri, murid dan sekolah. Walaupun kita sudah lama menjadi guru dan boleh dianggap berpengalaman di sekolah, tetapi situasi hari ini memerlukan kebijaksanaan kita untuk bertindak dengan cara yang lebih efisien. Kemudahan teknologi dan sumber yang terkini di sekolah seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya agar kita tidak lagi ketinggalan dan sentiasa signifikan kepada perkembangan dunia hari ini.

Merujuk kepada takwim dan perancangan, kita sebenarnya tidak punya masa untuk bersenang lenang. Setiap minggu kita sentiasa sibuk dan bergerak dengan pelbagai aktiviti. Apa yang saya harapkan, kesibukan dan pergerakan kita ini seharusnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan bukan membebankan. Justeru, saya sangat berharap kita sentiasa bersedia mengikut tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan2 guru yang sentiasa peka dengan takwim dan perancangan sekolah dengan bertindak secara proaktif untuk memastikan sekolah sentiasa 'hidup' dengan pembelajaran dan pendidikan.

Selamat kembali ke sekolah.

4 ulasan:

Taifor berkata...

Satu catatan yang amat bermakna. Harap semua warga sekolah cikgu Hassan membaca mesej ikhlas ini. Kalau beginilah pemikiran semua guru dan pengetua atau pentadbir sekolah, tidak syak lagi mutu pendidikan negara boleh mencapai taraf dunia.

Taifor berkata...

Saya dah semak kebayakan website sekolah-sekolah Kelantan yang dilinkkan ke website JPN Kelantan. semuanya tidak dikemaskini. Pada saya ini merupakan satu indikator betapa cuainya orang kita dalam menangani kemajuan dam pembangunan. Terkadang terfikir juga saya, barangkali inilah faktornya bila banyak perbincangan saya dengan pihak pengurusan tertinggi sekolah dan juga jabatan, kesannya mereka rasakan saya ni banayak lawan tauke/bos. Padahal bila saya kaji balik bukan lawan bos, tapi bos tu rasa terancam kerana pendapat saya tak sebulu dengan mereka. Nak sebulu macam mana, rata-rata mereka tak membaca. Memimpin sebuah organisasi hanya pakai sedap dan ikut persasaan bukan ikut akal. Tahniah sekali lagi untuk Cikgu Hassan. Seorang pemimpin yang saya yakin sentiasa mengguna pakai ilmu yang dipelajarinya.

chehassan berkata...

Terima kasih cikgu, saya sependapat dengan cikgu. Kita masih lagi mengamalkan sistem feudal peninggalan sejarah wpun kita dah 50 tahun merdeka. Saya pernah mendengar perbincangan kalau tak silap saya Dr. Hasbulah (org kelantan) tentang perlunya perubahan dalam sistem pendidikan negara. Orang2 yang hebat yang boleh buat perubahan, wpun masih muda perlu diberi peluang untuk jadi pemimpin. Cakap tentang perubahan ni, jarang sekali pemimpin dapat menguruskannya dengan baik kerana dia sendiri tidak mahu berubah. Dia hanya cuba mempertahankan kuasa dan kedudukannya, wpun dia sebenarnya tidak layak. Apapun, cikgu jangan takut untuk memberi teguran berasaskan fakta dan ilmu.

Taifor berkata...

Hebat ! teruskan semangat itu, /Sekali sekali berlari bersama pelajar tubagus. /Saya juga alhamdulillah masih mampu untuk berlari bersama pelajar. Dan pada hujung minggu lepas saya bawa pelajar berlari di pantai tok bali sempena kurus yang saya anjurkan untuk pemegang-pemegang biasiswa