Isnin, 12 Januari 2009

Bertindaklah sebijaknya

Sesi persekolahan 2009 sudah menjengah minggu kedua. Mod bercuti dan bersantai sepatutnya sudah berlalu bersama kenangan 2008. Kita sudah berada pada landasan tanggungjawab untuk bergerak menuju matlamat 2009 dan visi sekolah 2010. Seharusnya kita semua sudah benar-benar bersedia dan mengumpul kekuatan untuk membuat 'takeoff' terbaik supaya kita berada pada sasaran sebenar menjelang rintangan dan cabaran yang lebih getir pada pertengahan perjalanan nanti. Hampir segala-galanya sudah tersedia berasaskan SWOT analisis sekolah dan kita sepatutnya berjaya menggapai kecemerlangan pada akhir nanti.

Guru-guru yang saya hormati, bertindaklah sebijaknya. Tindakan yang proaktif akan membuahkan hasil yang kadang-kadang melampaui matlamat yang kita buat. Kita tidak perlu lagi menunggu arahan-arahan rutin seperti seorang murid menunggu apa saja yang akan diberikan oleh gurunya pada dekad pembelajaran yang lalu. Gunakanlah segala perancangan dan takwim sekolah yang ada untuk terus memacu tanggungjawab dengan penuh wibawa dan komited. Belajarlah berdikari dan mendapatkan maklumat dengan teknologi dan kemudahan yang ada secara efisyen dan kompetatif bagi melambangkan kita ini guru yang profesional pada era global ini. Sebagai pemimpin saya akan sentiasa memberikan yang terbaik, sokongan, bimbingan dan penghargaan seadanya saya ini. Teruskanlah apa yang sepatutnya kita buat mengikut bidang, kepakaran dan tanggungjawab yang terpikul pada kedaifan diri kita ini sebagai guru dan pemimpin di sekolah dan keluarga.

Untuk memacu perjalanan kita ini, kita seharusnya bergerak sederap dalam keutuhan kekitaan di sekolah yang kita cinta dan bangga ini. Kita saling memerlukan seperti jari-jemari yang punya kekuatan jika kelima-limanya berfungsi dengan baik mengikut tanggungjawab masing-masing. Ada ketikanya berseorangan itu lebih baik bagi kita, tetapi percayalah, bersatu itu lebih utuh dan kuat untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang akan kita tempuh.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan-rakan guru yang sudah mulai faham aspirasi saya sebagai pemimpin di sekolah ini untuk menjana kecemerlangan sekolah secara berpasukan dan satu keluarga. Teruskanlah apa jua niat dan rancangan yang baik itu dengan penuh berhemah dan bijaksana. Saya sangat yakin dan sentiasa optimis kita akan berada di puncak dengan penuh rasa terhormat dan kebanggaan bahawa kita ini insan yang dipilih tepat untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik seluruh anak bangsa. Jadi, bertindaklah sebijaknya.

Tiada ulasan: