Rabu, 14 Januari 2009

Pelan Tindakan Strategik UPSR 2009

Hari ini pada sebelah paginya saya menghadiri mesyuarat JK Pengelola Kejohanan Olahraga MSS Daerah Kuala Muda/Yan. Tahun ini, SKTI diberi kepercayaan sebagai JK Kebersihan. Mungkin kerana venue kejohanan di SMK Tunku Ismail adalah jiran kami, maka tugas ini diamanahkan kepada kami.

Habis meeting di PPD, saya berkejar balik ke sekolah kerana ada lagi meeting, JK Kecemerlangan UPSR 2009. Dari reaksi JK, saya yakin mereka sudah bersedia dengan satu pelan perubahan yang mungkin agak drastik memandangkan berlakunya kemerosotan dalam pencapaian 2008. Memang benar, jauh di sudut hati saya, saya sangat berharap untuk melakukan perubahan ke arah penambahbaikan dan kecemerlangan jangka panjang. Daripada analisis yang saya buat serta post mortem pencapaian 2008 menunjukkan banyak yang perlu diperbaiki dalam semua aspek. Antara punca kelemahan boleh dikatakan 80% boleh dipertanggungjawabkan kepada sekolah. Faktor-faktor yang dikenal pasti, hampir semuanya menunjukkan banyak perkara perlu diperbaiki pada peringkat pengurusan kurikulum, HEM, Kokurikulum dan pengurusan sekolah seluruhnya. Berdasarkan kajian2 yang menunjukkan ciri-ciri sekolah berkesan antaranya; kepimpinan yang profesional, visi & matlamat yang dikongsi, persekitaran pembelajaran (learning enviroment), penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran, jangkaan tinggi, ganjaran positif, memantau kemajuan pelajar, hak dan tanggungjawab pelajar, pengajaran yang jelas tujuannya, organisasi pembelajaran dan perkongsian sekolah dan rumah, menunjukkan sekolah ini masih memerlukan kerja-kerja penambahbaikan.

Hasil pemerhatian dan analisis saya serta mesyuarat hari ini memberikan banyak gambaran bahawa sekolah ini telah lama membudayakan pengajaran dan pembelajaran di Tahun 6 berorientasikan peperiksaan. Ini jelas sekali bertentangan dengan amalan yang sepatutnya. Perasaan takut murid-murid gagal atau tidak mencapai A dalam mata pelajaran menghantui setiap guru yang mengajar. Tapi yang menghairankan perasaan itu tidak dikongsi bersama dengan guru-guru di Tahun 4 dan 5. Amalan meniru apa yang dilakukan oleh sekolah-sekolah lain juga menjadi budaya sekolah.

Merumus segala isu berkaitan UPSR, pelan tindakan strategik UPSR 2009 seharusnya merangkumi juga pelan pembangunan murid Tahun 4 dan 5 serta memberi fokus juga kepada Perancangan Strategik Kecemerlangan Sekolah 2012. Apapun hasil perbincangan menunjukkan guru-guru Tahun 6 belum bersedia untuk berubah sepenuhnya dengan strategi baru penambahbaikan akademik sekolah. Namun demikian, persetujuan dibuat perubahan sepenuhnya kepada fokus 2010. Ini merupakan satu perkembangan dan penerimaan yang baik dikalangan guru yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan akademik sekolah. Saya sebagai pemimpin bertanggungjawab memberi ruang dan peluang serta pimpinan terbaik untuk merealisasikan visi sekolah.

Saya sangat berharap akan berlaku penambahbaikan dan perkembangan yang sangat baik berasaskan kefahaman dan pemakaian headcount serta pelan tindakan yang strategik dalam semua aspek. Semua guru tidak perlu takut dengan perubahan sebaliknya menerima sebagai satu cabaran yang menguntungkan semua pihak. Bangunkanlah SK Tunku Ismail sehebat namanya.

2 ulasan:

yusofsipan berkata...

Semoga chehassan berjaya mengembleng tenaga seluruh subordinat ke arah menggapai harapan dan wawasan!

chehassan berkata...

Terima kasih cikgu Yusuf atas kunjungan dan komen ikhlas. Saya menghargainya. InsyaAllah.