Khamis, 15 Januari 2009

Membudayakan sekolah

Hari ini saya bermesyuarat lagi di sekolah. Kali ini dengan JK Disiplin Sekolah. Post mortem 2008 menggambarkan keadaan disiplin sekolah tidaklah seteruk mana. Namun demikian, masih terdapat kes-kes salahlaku murid yang serius. Faktor penyebab kepada isu ini boleh dirumuskan ianya dipengerahui oleh budaya sekolah.

Budaya sekolah adalah sebuah sistem sosial di sekolah. Menurut Reid dan Holly (1987), budaya sekolah ialah hasil daripada cara individu di sekolah itu berinteraksi, bagaimana mereka berkelakuan antara satu sama lain dan harapan mereka untuk hidup dengan harmoni antara satu sama lain. Budaya sekolah mempunyai pengaruh yang kuat terhadap hidup warganya dari segi kemajuan akademik, sosial dan personal yang dicapai oleh individu di sekolah. Budaya sekolah dipengaruhi oleh pelbagai faktor; sejarah, warganya, komuniti sekeliling, polisi pendidikan serta perubahan dalam ekonomi dan politik negara. Budaya sekolah dikatakan berubah kerana kedinamikannya. Mengikut Bolman dan Deal (1971), budaya merupakan produk dan proses. Sebagai produk budaya sekolah mengandungi pengetahuan dan kebijaksanaan para pendidik, sebagai proses pula, budaya sekolah sentiasa diperbaharui dan dibina semula oleh warga sekolah itu sendiri mengikut keperluan dan jenis norma yang hendak diubah.

Budaya sekolah mempunyai peranan yang penting dalam mengubah sekolah ke arah menjadi sekolah lebih berkesan. Hal ini dipengaruhi oleh bagaimana warga sekolah mengubah cara mereka berfikir dan bertindak dengan nilai-nilai keberkesanan yang dikongsi bersama. Program-program menjayakan sekolah harus memberi perhatian kepada pembentukan budaya sekolah. Jadi apa saja usaha untuk mengubah sekolah jika tidak mengambil kira nilai dan kepercayaan (budaya) sekolah, akan menghadapi kegagalan. Budaya sekolah mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan kualiti peluang yang disediakan untuk setiap pelajar. Sekolah secara keseluruhan dan iklim bilik darjah mempunyai pengaruh yang kuat dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta pembentukan sikap warga sekolah. Dari itu pengetahuan tentang budaya sekolah adalah penting bagi guru-guru yang ingin mengubah sekolah.

Pembangunan disiplin dan jatidiri murid merupakan sebahagian daripada faktor perkembangan budaya sekolah yang baik. Justeru, kita perlu merancang pelan tindakan strategik yang baik berasaskan SWOT analisis sekolah dengan matlamat kemenjadian murid dijadikan pemangkin kejayaan membudayakan sekolah.

Tiada ulasan: