Khamis, 8 Januari 2009

Sekolah, padang dan guru

Hari ini saya merasa sangat teruja bila turun ke padang sekolah melihat rakan2 guru dan pekerja mesin rumput untuk membuat persediaan kejohanan olahraga tahunan sekolah. Sebenarnya kerja-kerja mesin rumput ni dah bermula 3 hari yang lalu. Cikgu Shidi, Cikgu Pendi, Ustaz Amir, seperti dah tukar profesion, menolak mesin rumput di padang yang sangat luas itu. Sebenarnya SKTI merupakan sebuah sekolah yang mempunyai kawasan padang yang paling luas di Sg. Petani. Selalunya kebanyakan sekolah, ada kawasan padang untuk murid-murid bermain hanya sekangkang kera. Tapi SKTI, luasnya saujana mata memandang. Disebabkan padang dan kawasan sekolah yang luas inilah, ianya sukar dijaga. Tapi itu bukan alasannya, mulai tahun 2009 ini, saya sangat berharap apa yang dirancangkan dalam program kokurikulum dan sukan akan memberi impak yang besar bukan sahaja kepada murid, tetapi juga kepada kebersihan dan keceriaan padang sekolah.

Saya, sejak remaja sangat teruja bila melihat padang sekolah yang cantik. Terasa diri amat sihat dan segar bila berdiri di tengah padang dengan tiupan angin pagi yang bersih itu. "Macam stadium Wembley", ujar cikgu Pendi menggambarkan kepuasannya bila melihat padang bersih dan rata selepas mesin rumput yang baru dibeli itu berlalu dengan deruan dan hayunan langkah gagah orang kuat sekolah, Sethuraman. Dialah orang harapan sekolah dalam apa jua kerja penyelengaraan dan penambahbaikan fizikal sekolah.

Memang betul, sekolah kami mempunyai padang yang cantik, jika dijaga dengan baik. Tapi malangnya selama ini ia terbiar usang dan semak-samun bermaharajalela. Harapan saya selepas ini ianya akan mengubah dan membuka satu lembaran baru kepada perkembangan sukan dan kokurikulum sekolah.

Sukan dan kokurikulum di sekolah bukan sekadar untuk memenuhi takwim sekolah dan dibuat ala kadar sahaja, tetapi ianya merupakan sebahagian daripada apa yang dihasratkan oleh FPN. Dimensi dan oreintasi sekolah yang menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata seharusnya diperbetulkan. Kesilapan membina sekolah tanpa padang dan ruang rekreasi yang cukup seharusnya tidak diulangi lagi jika kita mengharapkan rakyat menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Sekolah sepatutnya bukan sahaja dibekalkan dengan kemudahan sukan dan rekreasi tetapi juga guru-guru atau jurulatih yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam acara sukan. Di sekolahlah sepatutnya bermula seorang jaguh sukan, bukannya selepas tamat sekolah. Pertumbuhan pada peringkat kanak-kanak ini seharusnya dijadikan peluang untuk membina kecemerlangan insan secara menyeluruh, bukan hanya tumpuan kepada akademik semata-mata. Guru-guru di sekolah, termasuk pemimpin sekolah sepatutnya serba boleh dan mampu menguruskan semua aktiviti pendidikan di dalam dan di luar bilik darjah.

Saya sangat berharap guru-guru di sekolah ini mengubah paradigma daripada seorang guru yang hanya pakar dalam akademik kepada guru yang serba boleh. Jangan takut, kita sebenarnya adalah orang-orang terpilih. Ruang dan peluang belajar sentiasa terbuka. Teruskanlah kecemerlangan diri.

3 ulasan:

mantan berkata...

Chehassan,
Perubahan di sekolah harus meliputi semua, termasuk padangnya juga.

Memang bagus kalau dapat diubah padang yang "statik"kepada padang yang "dinamik". Banyak yang boleh dilakukan.

chehassan berkata...

Terima kasih cikgu atas dorongan yang sangat dihargai ini.

Puteri Azizul berkata...

apa-apa pun buat yang terbaik untuk kegunnaan semua warga sekolah dan komuniti setempat